Saturday, December 05, 2009

Musim Makan Kenduri Kahwin.... Kita Ada Peranan


Musim cuti sekolah sudah tiba. Lazimnya, pada ketika ini ramai ibubapa yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan anak-anak mereka. Malah kadang-kadang dalam satu hari, kita terpaksa menghadiri jemputan walimah lebih dari satu sehingga tidak menang tangan. Jika yang melangsungkan pernikahan itu adalah sanak saudara kita yang terdekat atau sahabat handai, biasanya kita akan turut sama mengiringi pengantin ketika majlis akad nikah diadakan untuk turut sama merasai saat-saat manis pasangan terbabit.


Nak Bercerai tetapi Nikah Tidak Sah Pulak..


Dalam kesibukan dan kemeriahan majlis pernikahan ini, saya teringat kepada satu kes yang baru sahaja diputuskan di Mahkamah Syariah di sini, iaitu kes berkenaan dengan pengesahan perceraian secara taalik talak. Fakta kesnya adalah isteri memohon perceraian kerana mendakwa suaminya telah melanggar syarat yang terkandung dalam taklik talak seperti tercatat di belakang Sijil Nikah pihak-pihak. Taklik talak ini biasanya dilafazkan oleh suami sebaik selepas selesai akad nikah.

Suami tersebut dalam pembelaannya menyatakan bahawa tiada sama sekali berlaku lafaz taklik talak kerana menurutnya pernikahan mereka pada tarikh tersebut adalah tidak sah. Apabila pernikahan tidak sah maka lafaz talak yang dibuat selepas itu juga tidak sah. Beliau turut mendakwa pernikahan mereka terpaksa dilakukan semula, 2 hari selepas akad nikah yang pertama dan kebetulan pula, tiada lafaz taklik talak dibuat selepas pernikahan kali kedua. Bagaimanapun pernikahan kali kedua tersebut tidak direkodkan dan tidak didaftarkan. Jadi, pasangan ini masih menggunakan Sijil Nikah yang asal, iaitu akadnikah kali pertama.


Bukti Rakaman Video...




Persoalannya adalah, apakah bukti menunjukkan pernikahan kali pertama mereka tidak sah. Mujur pihak suami masih menyimpan rapi bukti yang berupa rakaman video majlis akad nikah yang diambil sejak 10 tahun yang lalu dan ianya telah dikemukakan dalam perbicaraan. Apabila diteliti bukti yang dikemukakan saya amat terkejut kerana pernikahan kali pertama dianggap sebagai tidak sah kerana lafaz ijab dari Imam yang tidak ditentukan pengantin perempuan. Manakala lafaz qabul dari pengantin lelaki boleh disifatkan sebagai sempurna.

Dalam lafaz ijabnya, Imam menyatakan ..."Si Polan Bin Si Polan, Aku nikah akan dikau yang berwakil walikan saudaranya kepada aku dengan maskahwin.................tunai ". Jelas pada kita bahawa lafaz ini adalah tidak lengkap dan tidak sah. Lafaz ijab adalah lafaz yang berbentuk satu penawaran kepada pengantin lelaki untuk dinikahkan dengan pengantin perempuan. Tetapi dalam lafaz Imam di atas jelas, penawaran yang dibuat tidak sempurna kerana tidak ditentukan mana satu pengantin perempuannya yang ditawarkan kepada pengantin lelaki.

Peguam bijaksana yang mewakil pihak isteri cuba berhujah bahawa pengantin perempuan memang telah ditentukan iaitu melalui peminangan, merisik, perkenalan kedua pihak, perwakilan wali kepada Imam untuk mengakadnikahkan perempuan tersebut, tiada pasangan lain yang diakadnikahkan pada waktu yang sama dan lain-lain petunjuk. Namun hujah tersebut tidak boleh diambilkira kerana semuanya itu berlaku di luar majlis akad sedangkan yang menjadikan sesuatu akad itu sah atau tidak adalah pengantin perempuan hendaklah ditentukan dalam akad nikah tersebut. Malah menurut pandangan ulamak jika bapa menikahkan anaknya sendiri bernama Fatimah dengan lafaz ijab kepada bakal suami ....."Aku Nikah akan dikau dengan Fatimah"...yang tidak disebutkan Fatimah yang mana satu sama ada anaknya atau atau Fatimah yang lain, maka pernikahan ini juga tidak sah.

Dalam keputusannya YA Hakim telah memutuskan bahawa pernikahan pasangan ini adalah tidak sah dan lafaz taklik talak juga terbatal. Justeru kes ini di tolak oleh mahkamah.


Peranan Kita..


Daripada kes di atas, suka saya mengingatkan diri saya sendiri dan sesiapa sahaja yang biasanya akan hadir beramai-ramai di mahlis akadnikah. Ada yang hadir sebagai pengapit, jurumekap, saksi, jurukamera dan lain-lain lagi. Lazimnya apabila sampai kepada peringkat Imam akan mengakadnikahkan pengantin lelaki, para tetamu dan hadirin tidak mendengar dengan teliti lafaz Ijab sama ada dari Imam atau dari wali, sebaliknya kita sibuk menunggu lafaz qabul dari pengantin lelaki sahaja. Ya lah, Imam tu tentu tak buat silap.....hari-hari akadnikah orang kan. Pengantin lelaki pula biasanya akan gabra dan berpeluh-peluh semasa memegang tangan Imam...jadi sudah tentu mereka akan mudah membuat kesilapan. Tetapi kes ini telah memberi pengajaran supaya kita sama-sama turut meneliti lafaz ijab dari Imam kerana Imam juga manusia biasa dan kadang-kadang terdedah kepada kesilapan.

Lihat sahaja dalam kes ini, apabila kesilapan Imam itu hanya disedari selepas ahli keluarga berkumpul dan melihat kembali rakaman video majlis akadnikah mereka. Dan pada ketika itulah kesilapan Imam dapat dilihat dengan jelas yang membawa mereka kepada akad nikah kali kedua. Semasa majlis akad nikah yang dihadiri seramai berpuluh-puluh tetamu, malangnya tiada siapa yang menyedari kesilapan Imam tersebut termasuk 2 orang saksi akad nikah yang nama mereka tercatat dalam Sijil Nikah. Jelas, pencapaian manusia dalam teknologi sains ketika ini telah berjaya membantu mahkamah mebuat keputusan dengan adil. Hanya FIFA sahaja yang masih belum menerima bukti rakaman video dalam menentukan keputusan perlawanan seperti yang berlaku dalam pertemuan Perancis dan Ireland, apabila FIFA mengiktiraf kemenangan Perancis, walaupun bukti rakaman video menunjukkan dengan jelas bahawa Thiery Henry (Perancis) telah menyentuh bola tersebut dengan tangannya terlebih dahulu sebelum mengumpan kepada William Gallas untuk disudahi dengan gol.

2 comments:

~albazrah~ said...

Dr. Asmadi komen artikel Dr. MAZA tentang masalah ijma': http://drasmadinet.blogspot.com/2009/12/ulasan-terhadap-artikel-dr-maza-salah.html

Nizam Sudan

hamdi Ishak said...

Thank u nizam...memang atikel Dr Asmadi ni sangat baik tapi tak ramai yang membacanya jika dibandingka dengan tulisan Dr Maza.