Saturday, December 19, 2009

Penjagaan Anak: Antara Hak dan Amanah


Persoalan mengenai Hak Jagaan Anak sering disalah anggap dan diberi tafsiran yang tidak tepat sehingga menimbulkan pelbagai masalah. Anak-anak yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama antara suami dan isteri, kini dianggap hak ekslusif bagi sesiapa yang diberi Hak Jagaan. Ramai beranggapan bahawa apabila Mahkamah memerintahkan Hak Jagaan anak diberi kepada mereka, maka mereka telah memperolehi kemenangan besar ke atas bekas pasangannya. Anak-anak akan tinggal bersama dengan mereka sepanjang masa dan sudah tentu mereka merasakan mereka mempunyai kuasa yang penuh dalam menentukan perjalanan hidup anak mereka.

Bapa atau ibu yang tidak mendapat Hak Jagaan pula menganggap, keputusan sebegitu adalah malapetaka besar kepada mereka. Bagi mereka, setelah rumahtangga yang dibina telah musnah kini anak-anak pula dirampas dari mereka. Hubungan dengan anak-anak menjadi renggang malah kadang-kadang mereka terpaksa menyabung nyawa terlebih dahulu jika berhasrat mahu melihat anak mereka sendiri yang kini dijaga oleh bekas pasangan mereka. Entah berapa banyak Laporan Polis telah dibuat sampai anggota polis yang berkenaan pun sudah familiar dengan kes mereka. Malu memang malu. Kalau dulu tak pernah pun menjejakkan kaki ke Balai Polis, tetapi kini hampir setiap minggu ada sahaja urusan di Balai Polis. Masing-masing tidak mahu mengalah. Hanya menang menjadi matlamat mereka. Justeru, kes-kes yang berkaitan Hak Jagaan anak biasanya adalah kes yang sangat rumit untuk diselesaikan oleh para peguam. Mereka mungkin teralpa bahawa apa yang sedang mereka rebutkan itu adalah AMANAH yang perlu ditunaikan.

Hak Atau Amanah

Hakikat yang perlu disedari adalah, apabila mahkamah memberi Hak Jagaan kepada ibu atau bapa misalnya, ia tidak bermaksud anda berhak menentukan segala-galanya berkaitan anak tersebut. Bagi para ibu, ditegaskan di sini bahawa Hak Jagaan menurut Hukum Syarak bukanlah bermaksud anda telah menggantikan tempat dan kewajipan seorang bapa. Hak Jagaan bukan juga bermaksud untuk menafikan terus hak seorang bapa ke atas anaknya. Hak jagaan juga bukan bererti bapa tidak mempunyai kuasa langsung ke atas anaknya. Ringkasnya, hak Jagaan bukan bermaksud HAK bahkan ia hanyalah AMANAH yang perlu ditunaikan.

Sesiapa yang mendapat Hak Jagaan bererti mereka mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan. Amanah bererti seseorang yang diberi Hak Jagaan perlu memastikan kepentingan dan kebajikan anak-anak mereka diutamakan dalam segala hal. Selain itu, pendidikan, keperluan, tempat tinggal, persekitaran yang sesuai untuk anak-anak juga perlu diusahakan agar anak-anak mendapat yang terbaik. Penjaga juga perlu mempastikan hubungan anak-anak tersebut dengan ibu atau bapa yang tidak mendapat hak jagaan sentiasa baik dan mereka dibenarkan untuk mengambil, membawa keluar dan bermalam dengan anak-anak pada waktu-waktu yang sesuai. Mahkamah juga mempunyai kuasa untuk meletakkan apa-apa syarat lain kepada penjaga dalam mempastikan hak pihak yang satu lagi tidak terluput, umpamanya seperti mengeluarkan perintah kepada penjaga agar tidak menukar tempat pemastautinannya dan tidak membawa anak ke luar negara tanpa kebenaran. Jika penjaga gagal menjalankan tanggungjawab ini terhadap anak-anak, maka tidak mustahil hak penjagaan itu akan berpindah kepada pihak yang satu lagi.

Menurut Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya Mughni al-muhtaj, jil 3, juz 3, di halaman 425 ada menyebut:


“Hadhanah dari segi syara’ bererti tanggungjawab menjaga seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, oleh kerana masih belum mampu atau tidak mampu membuat pilihan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk, seperti kanak-kanak kecil atau orang dewasa yang gila, dan juga tanggungjawab memberi pendidikan kepada mereka yang berkenaan itu hingga menyebabkan mereka berjaya menjadi manusia yang baik serta tanggungjawab memberi makan minum dan seumpamanya kepada mereka"

Sekiranya semua pihak memahami bahawa apa yang disebut sebagai "HAK" itu sebenarnya adalah "AMANAH" atau "TANGGUNGJAWAB" sudah tentu kes-kes sebegini dapat diselesaikan dengan harmoni dan saling menang-menang. Yang menang tidak dapat semua dan Yang kalah tidak kalah semua.

No comments: