Monday, January 04, 2010

Isu Kalimah Allah: Menangani Perbezaan Pendapat


Isu pengunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam nampaknya terus menjadi 'panas' dan sehingga kini ia masih lagi menjadi topik perbualan utama di mana-mana sahaja termasuk di laman maya atau di kedai-kedai kopi. Meneliti sepintas lalu pandangan-pandangan yang diberikan, ada yang melihat seolah-olah umat Islam sendiri masih lagi berbelah bahagi bagaimana pendirian yang perlu diambil dalam menangani isu ini. Malah perbezaan pendapat ini sudah mula menimbulkan bibit-bibit perpecahan, apabila pihak-pihak yang mempunyai pandangan berbeza mula cabar-mencabar dan saling memprovokasi. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam keadaan yang genting ini sepatutnya semua umat Islam bersatu dan mula memikirkan pelan tindakan yang sesuai dan berkesan agar situasi ini tidak terlalu memberi kesan yang buruk kepada kita.

Daripada pandangan-pandangan yang diberikan, secara ringkasnya terdapat sekurang-kurangnya 3 pandangan yang dilihat mendominasi perbahasan isu ini iaitu:

  1. Pendapat yang mentakan bahawa kerajaan perlu menggunakan undang-undang yang sesuai untuk menangani situasi ini termasuk melalui arahan KDN atau melalui perintah mahkamah semata-mata.
  2. Pendapat yang melihat isu ini dari sudut positif di mana isu ini memberi kelebihan kepada umat Islam untuk menyampaikan dakwah kepada penganut kristian dengan lebih berkesan.
  3. Pendapat yang menyeru umat Islam agar memngukuhkan dan memantapkan akidah masing-masing agar dakwah agama lain dapat ditangkis. Bagi mereka isu ini mengambarkan bagaimana keadaan umat Islam yang lemah dari segi pemahaman akidah sehingga boleh terpedaya dengan dakyah agama lain.

Daripada semua pandangan yang diberikan jelas masing-masing mahu mempertahankan kesucian kalimah Allah dan mahu memartabatkan agama Islam di negara ini namun mereka cuma berbeza pandangan tentang bagaimana pendekatan terbaik yang sewajarnya diambil. Perbezaan pendekatan ini hanyalah perbezaan kecil sahaja dan tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan sesama sendiri kerana yang penting matlamat mereka masih lagi sama.

Perpecahan

Namun begitu, apa yang dikesalkan adalah situasi sekarang menyaksikan ketiga-tiga golongan ini seperti menyalahkan satu sama lain. Masing-masing mahu menjadi jaguh. Ada satu pihak yang mahukan kerajaan dan undang-undang sahaja yang bertindak dan mereka tidak perlu melakukan apa-apa selain daripada mendesak melalui saluran media, provokasi dan demonstrasi. Mereka langsung tidak berminat untuk menyediakan pelan bagi memantapkan akidah orang Islam dan bagaimana menambah ilmu pengetahuan untuk berhujah dengan golongan kristian. Malah ramai dari kalangan mereka ini tidak berbuat apa-apa apabila melihat ramai umat Islam mulai meminggirkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Begitu juga dengan golongan ke dua dan ke tiga apabila mereka juga hanya berminat mempromosikan pendekatan mereka sahaja tanpa melihat sebarang kebaikan pendekatan yang dicadangkan oleh golongan yang memperjuangkan hak umat Islam dari sudut undang-undang.

Memang diakui bahawa pendekatan melalui perundangan sangat penting kerana ia sebagai satu jaminan dan benteng yang akan mempertahankan kedudukan Islam dan kepentingan umat Islam secara umum di negara ini. Namun kita juga harus mengakui bahawa pendekatan melalui akidah juga penting kerana ia menjadi benteng kepada setiap individu dalam menghadapi dakyah kristian.

Begitu juga dengan pendekatan melalui usaha dakwah, kerana isu ini akan membuka peluang kepada para pendakwah untuk mendekati penganut Kristian dan berdepan dengan mereka secara terbuka. Namun, sesuatu yang harus difikirkan juga adalah sebelum berhasrat untuk berdakwah atau berdebat, kita juga perlu pastikan yang akidah umat Islam sendiri berada dalam keadaan yang mantap agar tidak mudah diperdayakan oleh pihak lain.

Bersatu

Hakikatnya, semua umat Islam perlu bersatu dalam isu ini kerana semua pandangan dan pendekatan yang diberikan saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dalam memperjuangkan agama ini, kita perlu merebut segala peluang yang ada dan jangan sesekali memberi musuh kita laluan yang mudah sebagaimana yang telah berlaku di negara-negara umat Islam yang lain.Semua pihak perlu bersatu dan berkerjasama menentang musuh kita yang sebenar kerana yang penting bukan keegoan kita tetapi agama Allah yang dipertahankan. Bersatu Teguh Bercerai Roboh....

Sunday, January 03, 2010

Isu Larangan Penggunaan Kalimah Allah dan Kesannya





Ketika seluruh dunia sedang berpesta menyambut Tahun Baru Masehi 2010 dengan berbagai acara, umat Islam di Malaysia pula di’gempar’kan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membuat membenarkan pihak Gereja Katholik untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan sekaligus membatalkan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi menghalang kalimah ‘Allah’ digunakan oleh orang bukan Islam. Menurut Hakim itu lagi, kalimah Allah bukanlah milik eksklusif bagi penganut Islam sahaja justeru semua rakyat Malaysia berhak menggunakan perkataan ‘Allah’.



Latarbelakang kes



Pada 7 Jan lalu, Menteri dalam Negeri meluluskan permit akhbar ‘The Herald’ bagi tempoh 1 Jan 2009 hingga 31 Dis 2009 dengan syarat penggunaan perkataan Allah dilarang dan perkataan ‘Terhad’ perlu dicetak di muka depan majalah tersebut, iaitu hanya diedarkan kepada penganut Kristian sahaja.



Menteri berkenaan melarang penggunaan perkataan Allah atas alasan keselamatan negara dan mengelak salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.



Tidak berpuas hati dengan keputusan Menteri berkenaan, pada 16 Feb 2009 yang lalu, Ketua Biskop Datuk Murphy Nicholas Xavier Pakiam, sebagai penerbit Herald, memfailkan permohonan semakan kehakiman (undang-undang) bagi membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia tersebut dan beberapa tuntutan lain.



Tujuh deklarasi lain yang dituntut ialah:



· That the applicant has the constitutional right to use the word “Allah” in the Herald in the exercise of his right that other religions other than Islam may be practised in peace.



· That Article 3(1) of the Federal Constitution does not empower the respondents to prohibit the applicant from using the word “Allah” in the Herald.



· That the applicant has the constitutional right to use the word “Allah” in the weekly in the exercise of his right to freedom of speech and expression.



· That the applicant has the constitutional right to use the word “Allah” in the Herald in the exercise of his freedom of religion which includes the right to manage its own religious affairs.



· That the applicant has the constitutional right to use the word “Allah” in the Herald in the exercise his right in respect of education of the Catholic congregation in the Christian religion.



· That the Printing Presses and Publications Act 1984 does not authorise the respondents to prohibit the applicant from using the word “Allah” in the Herald and



· That the word “Allah” is not exclusive to the religion of Islam.

BERNAMA/sun2surf



Isu Yang Perlu Difikirkan Umat Islam



Jelas dalam tuntutan mereka di atas, bahawa mereka seperti mahu menggunakan perkataan Allah dengan sebebas-bebasnya dan tanpa sebarang sekatan kerana kononnya untuk melaksanakan hak kebebasan bersuara dan beragama sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.



Mereka juga mahu diberi hak untuk mengatakan apa sahaja mengenai Allah kerana perkataan Allah bukan milik eksklusif orang Islam sahaja. Mereka tidak pernah memberi jaminan bahawa perkataan Allah yang hendak mereka gunakan dalam penerbitan mereka hanyalah terhad kepada maksud sebagaimana yang digunakan dalam al-Quran.



Justeru dengan keputusan Mahkamah Tinggi ini, kita sangat bimbang kerana apakah ia juga akan membolehkan mana-mana pihak untuk mengatakan apa sahaja mengenai Allah termasuk jika mereka mahu mencemarkan nama Allah dengan menyebut Allah mempunyai anak dan menghina, mencerca dan sebagainya.



Namun begitu, di kalangan umat Islam sendiri, isu ini masih lagi diperdebatkan di mana ramai yang menyokong tindakan KDN tetapi tidak kurang juga yang membantah. Malah sebahagian mereka berhujah bahawa al-Quran sendiri membenarkan kalimah Allah digunakan untuk penganut agama kristian. Tetapi kita yakin bahawa jika semua pihak memahami isu ini dengan jelas nescaya mereka juga akan bersependapat larangan penggunaan kalimah Allah ini. Hal ini kerana tuntutan Gereja Katholik ini sangat umum dan kita sendiri tidak jelas sejauhmana mereka akan menulis mengenai Allah dalam penerbitan mereka. Di dalam al-Quran, walaupun disebutkan juga tentang ajaran agama lain yang mengakui kewujudan Allah namun ia sekadar menunjukkan bahawa mereka adalah golongan yang sesat yang sanggup memesongkan fakta sebenar mengenai Allah. Dan al-Quran juga mengajak manusia agar menggunakan akal fikiran untuk menolak semua fakta palsu tersebut. Wallu “Alam.



Perkara ini mungkin tidak menjadi isu yang terlalu besar jika mereka hanya mahu menggunakannya di dalam kitab suci mereka sahaja sebagaimana di Negara-negara Arab, tetapi apabila mereka mahu menggunakan kalimah mulia ini di dalam penerbitan akhbar sudah tentu ia menimbulkan kebimbangan terhadap umat Islam. Ini kerana penerbitan berbentuk risalah atau akhbar ini biasanya mudah didapati dan diedarkan di tempat awam termasuk kepada umat Islam sendiri. Ibubapa sendiri akan mengalami kesukaran untuk mengesan bentuk akhbar berkenaan jika dibaca oleh anak-anak mereka. Malah lebih membimbangkan kita apabila akhbar The Herald ini didakwa dicetak dalam empat bahasa termasuk dengan pengedaran sebanyak 14,000 nashkah seminggu. Inilah implikasi besar yang ditanggung oleh umat Islam jika keputusan kes ini diterima dan rayuan terhadapnya tidak dibuat.



Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan



Isu yang lebih penting di sini, adalah tafsiran mahkamah terhadap bagaimana kedudukan agama Islam dalam perlembagaan negara kita. Meskipun dengan jelas termaktub di dalam Per. 3 (1) agama Islam adalah agama rasmi persekutuan namun kedudukannya sentiasa dicabar dengan sengit atas alasan kebebasan beragama. Banyak kes-kes murtad dan pemelukan Islam yang masih lagi tidak berjaya diselesaikan kerana mahkamah terperangkap dengan isu ini. Kes ini dan juga beberapa kes lain sebelum ini telah membuktikan kedudukan Islam dalam perlembagaan negara masih lagi belum cukup kukuh kerana mahkamah dilihat lebih menghormati hak penganut agama lain mengamalkan ajaran agama mereka daripada hak penganut Islam sendiri untuk mengamalkan dan menjalankan ajaran Islam sepenuhnya.



Di peringkat ini, semua pihak perlu bertenang dan jangan terlalu terikut-ikut dengan desakan beberapa pihak yang terlalu emosional kerana kita harus memberi peluang kepada Mahkamah menyelesaikan kes ini menurut undang-undang terlebih dahulu. Namun, jika rayuan kes ini juga tidak memihak kepada kita, maka sudah tiba masanya untuk semua umat Islam bersatu bagi membolehkan perlembagaan yang sedia ada dipinda agar kedudukan Islam dalam Negara kita tidak tergugat lagi. Kita juga berharap agar agama-agama lain diberikan kebebasan untuk diamalkan selagi mereka tidak menyentuh mengenai kesucian ajaran Islam.