Kes-Kes Kesahtarafan Anak
>> Thursday, November 05, 2009
Pendaftaran Kelahiran di JPN
Minggu lepas sahaja lebih kurang 3 pasangan yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman kami bagi membantu mereka mengemukakan Permohonan Pengesahan Taraf Anak di Mahkamah Syariah. Menurut mereka lagi, mereka terpaksa mengemukakan permohonan ini kerana pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menolak pendaftaran anak mereka sebagai anak sahtaraf kecuali Mahkamah Syariah sendiri mengeluarkan perintah bagi mengesahkan status anak mereka.
Daripada temubual kami dengan mereka, didapati sejak 2 tahun kebelakangan ini, pihak JPN begitu tegas dalam mengendalikan pendaftaran kelahiran bayi. Sebarang keraguan terhadap Sijil Nikah anda, akan dapat dikesan oleh pegawai yang berkenaan dengan cepat dan pasti akan menjejaskan pendaftaran kelahiran bayi anda. Sebelum ini, JPN menggunakan pendekatan yang lebih longgar dan mudah dalam proses pendaftaran kelahiran bayi. Ini jelas apabila data kami menunjukkan bahawa terdapat beberapa pasangan yang memohon pengesahtarafan anak ini adalah pasangan yang telah berkahwin hampir 10 tahun yang lalu dan tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendaftarkan kelahiran bayi mereka sebelum ini di JPN, namun mereka menghadapai kesulitan untuk mendaftarkan anak mereka yang baru dilahirkan dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini.
Berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikan, biasanya kes kesahtarafan ini berkait rapat dengan status pernikahan pasangan tersebut sama ada sah, tidak sah atau diragui dan secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada 3 kategori seperti berikut::
1. Pernikahan Sindiket
Pasangan seperti ini telah diakadnikahkan oleh seorang jurunikah palsu atau jurunikah tidak bertauliah di Malaysia. Jurunikah ini juga telah mengeluarkan kepada mereka sijil nikah yang palsu tetapi bentuknya seakan menyamai sijil nikah yang asli seperti mana yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama. Anak pertama dan kedua mereka berjaya didaftarkan sebagai anak yang sah kerana pada ketika itu JPN mungkin tidak dapat mengesan kepalsuan sijil nikah tersebut. Namun apabila memperolehi cahaya mata ketiga setahun yang lalu, pihak JPN telah berjaya mengesan Sijil Nikah mereka adalah palsu , justeru anak ketiga mereka tidak boleh didaftarkan sebagai anak yang sah walaupun kedua-dua anak mereka sebelum ini adalah didaftarkan sebagai anak yang sah.
2. Pernikahan Di Thailand
Pasangan seperti ini telah melangsungkan pernikahan di Thailand. Apabila balik ke Malaysia, pernikahan mereka masih belum didaftarkan lagi, tetapi mereka pula telah memperolehi anak. Mereka akan menghadapi masalah untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka sebagai anak yang sah kerana pihak JPN tidak menerima Sijil Nikah Thailand sebagai bukti pernikahan mereka kecuali pernikahan itu disahkan oleh Mahkamah Syariah. Lebih malang lagi jika, setelah siasatan dilakukan didapati pernikahan tersebut adalah tidak sah di sisi Hukum Syarak.
3. Pernikahan selepas mengandung
Pasangan seperti ini akan menghadapi masalah untuk mendaftarkan kelahiran bayi mereka sebagai anak yang sah jika anak mereka dilahirkan dalam tempoh kurang daripada 6 bulan selepas tarikh pernikahan. Terdapat juga pasangan yang gagal mendaftarkan kelahiran anak mereka walaupun anak mereka dilahirkan dalam tempoh melebihi 6 bulan dari tarikh pernikahan tetapi kurang dari 9 bulan kerana mungkin dikhuatitiri anak tersebut telah diperolehi melalui penzinaan sebelum pihak-pihak diakadnikahkan.
Penyelesaian:
Bagi jenis kes pernikahan sindiket dan pernikahan di Thailand, Mahkamah akan menerima anak-anak ini sebagai anak yang sahtaraf jika pasangan tersebut dapat meyakinkan Mahkamah bahawa pernikahan mereka itu sememangnya pernikahan yang sah.
Namun jika didapati pernikahan tersebut tidak sah , ia bukanlah penamat segala-galanya kerana mahkamah masih mengiktiraf anak ini sebagai anak yang sah asal sahaja pasangan ini secara sucihati langsung tidak menyedari bahawa pernikahan mereka adalah pernikahan sindiket atau pernikahan yang tidak sah kerana tidak memenuhi Rukun Nikah. Persetubuhan yang mereka lakukan ketika itu tidak dianggap sebagai satu penzinaan tetapi di terima sebagai "wat'i syubhah".
Bagi kategori kes ketiga pula, ia agak sukar dijangka keputusannya kerana terdapat pelbagai pandangan mengenai isu ini. Di kebanyakan negeri, telah dimasukkan ke dalam Undang-Undang keluarga Islam masing-masing bahawa anak yang dilahirkan selepas 6 bulan pernikahan pihak-pihak adalah anak yang sah kepada pasangan itu. Jadi, jika anak tersebut dilahirkan dalam tempoh 6 bulan beberapa hari atau 7 bulan selepas pernikahan mereka adalah memadai untuk anak tersebut diktiraf sebagai anak yang sah melainkan bapanya menafikan secara 'lian'.
Uniknya, di negeri Perlis, walaupun undang-undangnya hanya mengiktiraf anak yang sah adalah anak yang lahir 6 bulan selepas pernikahan ibubapanya namun Mufti Perlis sebelum ini dilaporkan pernah mengeluarkan fatwa bahawa anak yang dilahirkan kurang 6 bulan dari tempoh pernikahan ibubapanya diterima layak dinasabkan dan diiktiraf sebagai anak yang sahtaraf asalkan ibubapanya bersungguh-sungguh mahu bertaubat. Persoalannya, apakah fatwa ini mengikat Mahkamah Syariah dalam keputusannya kerana di dalam Undang-undang tiada peruntukan seperti itu. Jika fatwa ini diterima pemakaiannya, bagaimana pula pertimbangan Mahkamah dalam menilai taubat seseorang. Dalam kes Kahar rasul palsu, jelas Mahkamah tidak dapat menerima pengakuan taubat beliau walaupun kenyataan taubat tersebut dibuat secara bersumpah. wallahu alam.




2 komen anda:
Abang hamdi, ramai juga yang JPN daftarkan anak bagi pasangan yang berzina, kemuadian anak tu tak cukup la 9 bulan tu lepas depa terpaksa kawen. Tapi didaftarkan juga tanpa meletakkan bin, direct letak nama anak dan ayah contoh. Minah Mat, bukan Minah bin Mat. Camana tu?
Ya betul. Walau apa pun diletakkan nama anak tu tapi kita masih dapat bezakan antara anak sah dan yang tidak sah. Bagi anak yang tidak sah, di dalam ruangan berkaitan bapa ditulis dengan "Tidak Diperolehi". Manakala bagi anak yang sah dimasukkan nama dan biodata bapa bagi anak tersebut. Jadi, kena tengok betul-betul surat beranak.
Post a Comment