Sunday, January 09, 2011

7 kes buang bayi seminggu

7 kes buang bayi seminggu

Berita Harian 2011/01/09


Kempen kesedaran dipertingkat cegah gejala negatif menular



KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh seminggu memasuki tahun baru, sudah tujuh kes pembuangan bayi dicatatkan di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.



Katanya, kerajaan akan memperhebatkan kempen kesedaran dalam usaha menyekat gejala terbabit daripada berlarutan.
“Kerajaan komited membanteras perbuatan membuang bayi yang kini menuntut tindakan segera. Apabila kempen ini diperkenalkan, kita dapati jumlah kes berkurang dan tahun ini angkanya agak meningkat. Kita positif jumlahnya akan berkurangan apabila kesedaran bertambah.


“Justeru program pendidikan mengenai seks dan reproduktif perlu diterapkan kepada remaja pada peringkat sekolah rendah yang mengajar cara melindungi diri daripada menjadi mangsa,” katanya selepas melancarkan kempen Kami Prihatin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini semalam.



Dalam tempoh 2004 sehingga tahun lalu, sebanyak 571 kes pembuangan bayi dilaporkan, termasuk 99 kes sepanjang tahun lalu dengan Selangor mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 147 kes diikuti Johor dengan 113 kes.



Shahrizat berkata, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati kebanyakan remaja tidak memahami kesan serta risiko hubungan intim tanpa perkahwinan dan kementerian akan terus mendekati golongan itu menerusi kempen kesedaran.



Beliau berkata, kementeriannya akan menubuhkan jawatankuasa khas menyelaras dan melaksanakan Dasar Keluarga Negara (DKN) dan Pelan Tindakan Dasar Keluarga Negara (PTDKN) yang diluluskan kerajaan, Disember lalu bagi mengimbangi isu keluarga dalam pembangunan sosial, ekonomi dan perundangan di negara ini.