Saturday, November 28, 2009

Keraguan Status agama Siti Hasnah


Siti Hasnah Vanggarama Binti Abdullah, satu nama yang kini menjadi sebutan lantaran timbul pertikaian berhubung dengan status agamanya. Beliau dilahirkan pada 13 Ogos 1982 di Keratong, Pahang. Bapanya seorang pekerja ladang, B Subramaniam dan ibunya bernama Latchumy Ramadu. Ketika dilahirkan, agamanya adalah Hindu dan ini tercatat di dalam sijil kelahirannya.

Beliau kemudiannya telah ditempatkan di Rumah Kebajikan Taman Bakti, Kepala Batas, Pulau Pinang setelah didapati sedang tidur di tepi jalan sekitar pekan Kepala Batas. Bagaimanapun, ketika umurnya mencecah 16 tahun, beliau telah melarikan diri dari Rumah Kebajikan tersebut dan ini menyebabkan semua dokumen pengenalannya turut tiada dalam simpanannya.

Pada tahun 2000, beliau bernikah dengan seorang lelaki yang beragama Hindu, beliau cuba mendaftarkan pernikahan tersebut, namun telah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana dia didapati didaftarkan sebagai seorang yang beragama Islam. Sehingga kini pernikahannya masih gagal didaftarkan lagi.


Apa yang menjadi isu adalah beliau mendakwa bahawa beliau sama sekali tidak mengetahui mengenai status agamanya adalah Islam. Beliau mendakwa beliau beragama Hindu dan masih mengamalkan ajaran agama Hindu. Justeru, bagaimana pula pihak JPN boleh mendakwa terdapat di dalam rekod mereka bahawa dia adalah seorang Islam. Setelah diselidiki dengan pihak Rumah Kebajikan tersebut, dia didapati telah memeluk Islam ketika umurnya 7 tahun iaitu pada tahun 1989 iaitu ketika beliau berada di bawah jagaan rumah kebajikan tersebut. Satu salinan Sijil Memeluk Islam yang bertandatangan Siti Hasnah sendiri telah ditunjukkan kepadanya.


Kronologi kes ini saya ambil daripada Malaysiakini.com. Sekiranya berlaku kesilapan fakta, saya memohon maaf.


Isu-Isu


Apa yang jelas dari kronologi kes di atas, Siti Hasnah telah dilahirkan sebagai seorang Hindu tetapi kemudiannya telah memeluk Islam ketika zaman kanak-kanak. Menurut Per. 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana yang pernah diputuskan dalam kes Suzie Teoh ( Teoh Eng Huat v. The Kadhi of Pasir Mas & Anor (1990) 1 CLJ ) bahawa seorang kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun tidak boleh ditukar agamanya kecuali oleh ibu atau bapanya sahaja.


Isunya adalah, jika dia memeluk Islam ketika berada di Rumah Kebajikan tersebut, tanpa pengetahuan dan keizinan dari ibubapanya, maka pengIslaman tersebut kemungkinan besar tidak diiktiraf sama sekali di sisi undang-undang negara dan beliau dianggap masih beragama Hindu. Dan yang lebih parah lagi, JKM sebagai salah satu agensi di bawah pentadbiran kerajaan juga boleh dituduh kemungkinan terlibat dalam pengIslaman Siti Hasnah, sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara.


Justeru, pihak JKM telah melakukan siasatan dan menurut laporan terkini dari JKM menyebut bahawa Siti Hasnah sebenarnya telah memeluk Islam bersama dengan bapanya sejak usianya setahun lagi iaitu sebelum beliau dimasukkan ke rumah kebajikan berkenaan. Ini menimbulkan kekeliruan kerana kenyataan ini bercanggah sama sekali dengan dokumen pemelukan Islam yang diserahkan kepadanya oleh pihak Rumah Kebajikan.


Jika benar dia memeluk Islam bersama-sama dengan bapanya ketika berumur setahun, maka keislamannya itu adalah sah di sisi undang-undang negara ini dan sehingga kini Siti Hasnah diiktiraf sebagai seorang Islam. Jika beliau mahu dirinya diisytiharkan sebagai seorang yang beragama Hindu, maka beliau terlebih dahulu perlu memohon kepada Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa untuk menentukan keIslaman seseorang. Kes Siti Fatimah Tan yang suatu ketika dulu telah menggemparkan negara boleh dijadikan rujukan.


Isu pemelukan Islam atau penukaran agama di kalangan kanak-kanak sebegini bukanlah isu yang baru di negara kita. Malah kes sebegini pernah dibicarakan di Mahkamah Sivil sendiri kerana ia melibatkan peruntukan berkenaan agama kanak-kanak sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Kes Suzie Teoh misalnya, di mana melibatkan seorang gadis bernama Suzie yang telah memeluk Islam ketika usianya 16 tahun tanpa kebenaran dari bapanya. Walaupun keIslamannya telah diiktiraf sebagai sah oleh Mahkamah Syariah (kerana ketika memeluk Islam, beliau telah mencecah usia baligh , namun Mahkamah Agung telah membuat keputusan sebaliknya kerana pengIslamannya bertentangan dengan Perlembagaan kerana ia masih berumur di bawah 18 tahun dan tidak direstui oleh bapanya. Akan tetapi, akidah gadis ini masih berjaya dipertahankan kerana pada ketika keputusan dibuat anak tesebut telah berusia lebih 18 tahun dan ia memilih untuk kekal dalam agama Islam. Walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan namun, tafsirannya sangat sempit, dimana undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan dalam kes pengIslaman seorang kanak-kanak di negara ini.


Namun dalam kes Siti Hasnah ini, nampaknya dia memilih agama Hindu sebagai agamanya. Malah dia juga telah berkahwin dengan seorang lelaki beragama Hindu dan mempunyai 2 cahaya mata. Bagaimanakah kesudahan kes ini?






2 comments:

hamdi Ishak said...
This comment has been removed by the author.
hamdi Ishak said...

Siti Hasnah masih Islam: Maipp
Oleh Amin Ridzuan Ishak

BUTTERWORTH: "Siti Hasnah masih beragama Islam" demikian kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Shabudin Yahaya, ketika mengemukakan hasil siasatan berhubung status Siti Hasnah Vangarama Abdullah atau S Banggarma yang mendakwa dirinya diislamkan tanpa kerelaan ketika kanak-kanak.


Shabudin berkata, siasatan mendapati bapa wanita itu, Mohd Yusof Abdullah atau B Subramaniam serta ibunya, Siti Aisyah Abdullah memeluk Islam di Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, Pahang pada 30 November 1983.


Mohd Yusof dan Siti Aisyah juga membuat perakuan bahawa lima anak mereka masing-masing tiga lelaki serta dua perempuan termasuk Siti Hasnah yang ketika itu berumur setahun tahun turut sama memeluk Islam.


"Ini bermakna Siti Hasnah sudah memeluk agama Islam pada 1983 dan bukannya seperti didakwa peguamnya (Gooi Hsiao Leung) yang mengatakan anak guamnya diislamkan tanpa kerelaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 1989 ketika dia dimasukkan ke Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas.


"Surat ditunjukkan oleh peguamnya itu tidak benar. Malah, mengikut siasatan kami, Siti Hasnah hanya masuk ke Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti pada 5 Mac 1990 bersama tiga adik beradiknya yang lain iaitu Mohd Ali, Mohd Rasul dan Siti Khadijah.


"Bagaimana JKM boleh terbabit sedangkan pada 1989 iaitu tempoh peguam Siti Hasnah mendakwa anak guamnya memeluk Islam, Siti Hasnah masih belum lagi dimasukkan ke rumah kebajikan terbabit," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.


Sidang media itu diadakan bagi memberi penjelasan kedudukan pengislamam Siti Hasnah yang dibangkitkan Gooi yang dilaporkan media pada 19 November lalu.


Gooi dari Parti Keadilan Rakyat mendakwa Siti Hasnah diislamkan oleh JKM ketika berumur tujuh tahun apabila Sijil Akuan Masuk Islam dikeluarkan pada 28 Disember 1989 dan mempertikaikan bagaimana kanak-kanak boleh menandatangani sijil berkenaan. Siti Hasnah yang kini mempunyai dua anak juga mendakwa dia terkejut ketika diberitahu dia adalah seorang Islam apabila ingin mendaftarkan perkahwinannya bersama seorang lelaki beragama Hindu.


Shabudin berkata, adalah sesuatu yang mengejutkan kerana Siti Hasnah mendakwa terkejut apabila diberitahu dia seorang Islam.Ini kerana Siti Hasnah pernah mengakui bahawa dirinya masih Islam ketika bertemu dengan ibu angkatnya, Shabariah Abu Bakar yang juga Pegawai Agama Islam Kepala Batas, tahun lalu.


"Siti Hasnah memberitahu perkara itu (dia masih beragama Islam) ketika kenduri perkahwinan Siti Khadijah di rumah Shabariah di Sungai Petani pada 19 April 2008.


"Keterangan abangnya (Mohd Ali) yang mengakui semua adik beradiknya beragama Islam sejak ibu bapa mereka memeluk Islam dan status Islam tercatat pada MyKad membuktikan bahaw Siti Hasnah adalah Islam," katanya.


Beliau menegaskan bahawa Sijil Akuan Masuk Islam yang bertarikh pada 28 Disember 1989 hanya untuk pengesahan pengislaman dan tidak bermaksud Siti Hasnah masuk Islam ketika berumur tujuh tahun.


Shabudin turut membidas serta mempersoalkan tindakan peguam Siti Hasnah serta pelbagai pihak yang sengaja menimbulkan isu terbabit tanpa memeriksa dengan pihaknya terlebih dulu.


"Saya hendak tanya kepada mereka bila Siti Hasnah ini berkahwin dan siapa kahwinkan mereka. Bagaimana ia boleh diteruskan sedangkan Siti Hasnah beragama Islam dan lelaki hendak dikahwinkan dengannya pula beragama Hindu.


"Mereka perlu menjawab persoalan ini terlebih dulu. Di pihak Maipp, kami akan lakukan tindakan susulan dengan meminta Siti Hasnah bertemu kami atau kami mencarinya bagi mengetahui perkara sebenar, bukannya diwakili oleh pihak lain," katanya.

Baca selanjutnya di sini: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Mutakhir/20091205103455/Article/index_html