Friday, December 18, 2009

Mahkamah Syariah Diiktiraf oleh AS


Bukanlah menjadi rahsia lagi bagi masyarakat umum, bahawa sesuatu Perintah atau Notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di Malaysia masih lagi tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya, malah ia dipandang 'lekeh' sahaja oleh sesetengah orang. Ramai yang mengeluh bahawa mereka tidak mendapat kerjasama yang baik dari pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu perintah mahkamah syariah. Malah kadang-kadang perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah sesuatu negeri juga turut dipertikaikan oleh mahkamah syariah di tempat yang lain.

Namun begitu, baru-baru ini saya terkejut dan terharu apabila dimaklumkan bahawa perintah Mahkamah Syariah telah diiktiraf oleh pihak Kedutaan Amerika Syarikat. Seorang ibu yang telah mendapat perintah hak jagaan anak dari mahkamah, tiba-tiba diberi tawaran untuk menyambung pengajiannya ke Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa tahun. Ibu itu berhasrat untuk membawa anaknya ke luar negara dan tinggal bersamanya di sana sehingga tamat pengajiannya.

Bagi menyokong hasratnya ini, ibu muda itu telah menunjukkan perintah dari Mahkamah Syariah yang memberi Hak Jagaan anak tersebut kepadanya bagi membolehkan visa kepada anaknya dikeluarkan. Dia menyangka hanya dengan perintah tersebut dia akan dibenarkan membawa anaknya ke luar negara. Masakan tidak, Mahkamah telah memberi dia hak jagaan. Apatah lagi AS adalah sebuah negara bukan Islam dan sudah tentu mereka tidak memahami undang-undang dan prosedur yang diamalkan di Mahkamah Syariah. Kerana begitu yakin dengan teorinya itu, ibu ini enggan memaklumkan hasratnya kepada bekas suaminya iaitu bapa anak berkenaan. Beliau mahu membawa anak tersebut senyap-senyap dan tanpa pengetahuan bekas suaminya yang tidak menahu akan hal ini.

Namun hasrat si ibu tersekat, kerana pihak kedutaan AS yang disangkanya jahil tentang mahkamah syariah telah menolak permohonannya, kerana menurut mereka, walaupun perintah tersebut meletakkan beliau sebagai penjaga kepada anaknya, tetapi perintah Mahkamah Syariah itu juga turut memperuntukkan hak kepada bapa untuk melawat dan mengambil anak mereka setiap 2 kali sebulan. Tambah mereka lagi, jika anak tersebut dibawa ke luar negara selama beberapa tahun, sudah tentu hak si bapa untuk melawat anak tersebut akan dinafikan. Atas alasan itu, permohonan ibu untuk mendapatkan visa bagi anaknya telah ditolak kecuali ada satu perintah lain yang membenarkan ibu membawa anaknya.

Daripada kisah ibu muda ini ternyata bahawa pihak Kedutaan AS sangat memahami prosedur dan undang-undang Islam yang diamalkan di Mahkamah Syariah. Malah bagi saya, mereka bukan sahaja sangat-sangat faham tetapi juga mereka mentafsirkan perintah mahkamah dengan begitu tepat sekali. Jangan sesekali kita menyangka bahawa mereka jahil mengenai Islam dan Undang-Undang Islam. Mereka sebenarnya lebih menguasai bidang ini jika dibandingkan dengan pengetahuan ibu muda berkenaan. Mereka tahu bahawa sesuatu perintah hak penjagaan anak bukan bermaksud penjaga mempunyai kuasa mutlak.

Apa yang membanggakan adalah, meskipun AS bukanlah negara Islam malah dikenali pula sebagai negara yang kuat menentang Islam, namun mereka masih mengiktiraf Mahkamah Syariah sebagai salah satu institusi yang mempunyai bidangkuasanya tersendiri. Bandingkan pula bagaimana riuh-rendahnya pelbagai pihak di dalam negara ini, termasuk pemimpin negara yang masih mempertikaikan segala perintah dan undang-undang yang diamalkan di Mahkamah Syariah dalam kes-kes seperti sebatan ke atas peminum arak dan mengajar agama tanpa tauliah sedangkan undang-undang tersebut telah diluluskan melalui prosedur yang sah.

No comments: