Wednesday, February 11, 2009

Wanita dan Hak Wanita

Beberapa tahun yang lalu, saya pernah dijemput oleh NGO-NGO yang membela kaum wanita dan juga badan-badan kerajaan seperti Krisis Wanita, Yayasan Sultanah Bahiyah, Program Literasi Undang-Undang, sekolah-sekolah dll untuk menyampaikan ceramah berkenaan Hak-hak Wanita di Mahkamah Syariah. Bukanlah sebab saya ni pandai ceramah sangat tetapi di kalangan peguam syarie tak ramai yang sanggup buat kerja ni. Biasanya tajuk ceramah berkaitan Mahkamah Syariah ni, audiennya terdiri dari kalangan kaum Hawa...ya 99 % wanita. Kalau ada pun kaum Adam..hanyalah orang politik dan beberapa orang kuatnya yang datang merasmikan majlis ceramah tersebut.

Setelah sekian lama menyepi, tiba-tiba bulan lepas sekali lagi saya dijemput untuk memberi ceramah berkenaan Mahkamah Syariah dan kali ini jemputan itu datangnya daripada pelajar-pelajar KUIN, Mergong. Ceramah ini telah dihadiri oleh lebih kurang 100 orang pelajar KUIN yang semuanya anggota badan beruniform Pergerakan Puteri Islam. Dah tentulah semuanya wanita. Wanita lagi...saya merungut. Kenapa kalau ceramah berkenaan dengan Mahkamah Syariah hanya kaum wanita sahaja yang hadir. Kenapa mereka sangat berminat dengan apa yang berlaku di Mahkamah Syariah. Adakah kaum wanita di negara kita ini masih lagi ditindas dan didiskriminasi? Apa dah jadi dengan kaum bapa ni..?

Berbalik kepada ceramah di KUIN..seperti biasa saya dijemput memberi ceramah bertajuk Hak-hak Wanita di Mahkamah Syariah. Tajuk sebegini memang sangat sinonim dengan profesion saya dan diakui sangat berjaya menarik kaum wanita untuk hadir mendengarnya kerana mereka merasakan mereka perlu mengetahui hak mereka agar tidak diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kaum lelaki.

Tetapi izinkan saya untuk berbeza pandangan dengan mereka dalam hal ini. Bagi saya, sepatutnya kaum Hawa perlu lebih banyak mempelajari ilmu yang berkaitan hak-hak suami (lelaki) dari asyik menumpukan untuk berjuang menuntut Hak wanita sahaja. Saya bimbang jika kaum wanita hanya berminat mengetahui hak yang berkaitan wanita sahaja dan tidak mengendahkan hak-hak para suami ke atas mereka manakala kaum lelaki pula hanya mendalami hak-hak lelaki sahaja akan mewujudkan satu pasangan yang masing-masing tidak bertimbang rasa antara satu sama lain.

Alangkah baiknya jika kaum wanita mengadakan seminar atau ceramah khas yang berkaitan dengan hak-hak suami dalam rumahtangga dan apakah hak suami ke atas diri mereka. Manakala kaum lelaki pula perlu menganjurkan forum yang sama cuma isi kandungannya lebih menumpukan kepada hak-hak isteri dalam rumahtangga seperti hak mendapat nafkah, layanan dan pergaulan yang baik dari seorang suami, tempat tinggal yang sesuai dan lain-lain. Apabila masing-masing memahami hak pasangan masing-masing maka rumahtangga yang dibina akan bertambah bahagia kerana wujud suasana harmoni dan menghormati pasangan. Berbeza pula jika masing-masing hanya asyik menumpukan dan menuntut hak masing-masing yang akan mengakibatkan situasi tegang dan krisis dalam rumahtangga.

Friday, February 06, 2009

Apa Yang Dikejar tu Yob…!!!

Minggu ni asyik mengadap laptop saja. Banyak betul benda yang nak dibaca terutama sekali di negeri yang pernah dipaksa menerima penasihat Inggeris suatu ketika dulu JWW Birch.. Kehadirannya amat tidak disenangi oleh rakyat pada ketika itu. Itu sejarah. Tapi kita mungkin tidak pernah mengambil iktibar dari sejarah. Hari ini sekali lagi penasihat (MB) dilantik dari parti yang tidak disenangi oleh sebilangan rakyat Perak. Statistik menunjukkan pada PRU 12 yang lalu, bagi seluruh negeri Perak, PR mendapat 442,660 undi manakala BN mendapat 399,565 undi sahaja. Lebihan sebanyak 43, 095 undi.

Situasi semasa yang berlaku di negeri Perak sekarang ini sangat mendukacitakan kita. Sebagai rakyat yang sepatutnya diberi pilihan untuk memilih pemimpin dan kerajaan di dalam negera demokrasi ini, kita rasa telah diperbodohkan oleh beberapa orang pemimpin yang suka melompat. Memang ramai yang marah dan malu dengan perkembangan ini. Mengikut kajian yang dilakukan oleh seorang Profesor (bercermin mata fancy) yang diwawancara dalam Astro Awani tadi, lebih 90% penduduk Perak yang mahukan pilihanraya semula. Menurutnya lagi perkembangan yang berlaku sekarang menyebabkan mereka sudah tidak yakin dengan sistem pemerintahan negara kita termasuklah sampai tidak mengiktiraf perlembagaan dan institusi Parlimen. Katanya lagi, daripada 30 blog yang dipantau yang biasanya blog-blog ini tidak memihak, tetapi kali ini semua blog-blog ini menuntut pengundian semula diadakan atau DUN Perak dibubarkan segera.

Apa pun sekarang MB baru telah dilantik dan Perak masih berada dalam keadaan kacau-bilau. Namun apa yang berlaku ini mengingatkan saya kepada sepotong ayat al-Quran yang selalu kita baca terutama semasa dalam wirid selepas solat iaitu:


26. Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Surah Ali Imran: 26

Mengapa dalam ayat di atas Allah telah mengasingkan antara terma kekuasaan atau kerajaan dengan terma kemuliaan. Menurut ahli Tafsir, ini menunjukkan bahawa tidak semestinya yang diberi kekuasaan itu akan turut sama mendapat kemuliaan di sisi Allah. Firaun juga diberi kekuasaan tetapi dicabut kemuliaan daripadanya. Begitu juga tidak semestinya tanpa kekuasaan, kita tidak akan mendapat kemuliaan di sisi Allah. Justeru bagi mereka yang dicabut kekuasaan diharap jangan berputus asa kerana kemungkinan Allah ingin memberi kemuliaan kepada mereka pada waktu yang lain.

Apa nak dihairankan dengan 4 ekor katak yang melompat tu..kerana dalam al-Quran telah diberitahu bahawa perjuangan menyeru ke arah kebaikan ini adalah sangat berliku (syuqqah) dan memang ramai yang tidak sanggup mengikutinya. Ini telah ditegaskan dalam al-Quran dan ia memang berlaku. Alhamdulillah kita diberi peluang oleh Allah untuk melihat sendiri telatah mereka ini yang hanya mahukan keuntungan dan kemewahan sehingga lari meninggalkan perjuangan asal. Firman Allah:.



Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, Pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri[644] dan Allah Mengetahui bahawa Sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.[644] (Maksudnya mereka akan binasa disebabkan sumpah mereka yang palsu....Surah altaubah: 42

Wednesday, February 04, 2009

Confirm..!!! Sekolah ni memang hebat.

Sebelum ni isteriku dah selalu sangat puji sekolah ni. Macam-macam kehebatannya ditonjolkan….sekolah cemerlang lah…sekolah gred A lah….. hebatlah dan banyak lagi. Tapi saya tak ambil kisah sangat. Ada juga kawan yang hairan kenapa saya daftarakan anak saya di sekolah lain tapi tidak di sekolah ni. Dia yang baru saja dapat balik ke sini dari pantai timur memang bersemangat nak masukkan anak dia di sekolah tu. Hebat sungguh ka sekolah ni.

Saya pernah pi masuk sekolah ni..tengok sepintas lalu macam biasa saja. Tapi pasai apa ramai sangat yang suka sekolah ni.

Baru-baru ni ada seorang ibu yang telah berpisah dengan suaminya menghadapi masalah kerana bekas suaminya telah datang mengambil anak mereka dan terus enggan menghantar kembali. Sejak bercerai anak-anak ni memang tinggal dengan dia dan suaminya akan datang mengambil anak pada hujung minggu. Keadaan ini berjalan dengan baik sehinggalah tetiba di penghujung tahun lepas (seminggu sebelum buka sekolah) apabila sibapa telah ambil terus anak tu dan enggan membenarkan siibu berjumpa dan bertemu dengan anaknya. Si ibu ni amat hairan dengan sikap sibapa yang tiba-tiba saja berubah. Persoalan tu akhirnya terjawab apabila musim persekolahan mula dibuka baru-baru ni…anak sulung mereka telah didaftarkan oleh sibapa di sekolah ni. Bapa mengakui bahawa dia ambil anak tu untuk disekolahkan di sekolah yang terbaik dan cemerlang ni, selain berdekatan dengan rumahnya pulak.. Lawyer dia pun siap hujah benda yang sama terus memuji sekolah ni. Bapa tetap berkeras tak mahu anak dia masuk sekolah lain.

Begitulah hebatnya sekolah ini dan namanya cukup tersohor di pekan Jitra. Kesiannya kat bapa penyayang ni. Sepatutnya bapa berusaha macam mana nak bagi anak ni jadi murid cemerlang biar di sekolah mana sekali pun. Didik dia…beri kasih sayang pada dia...beri asuhan dan bimbingan agama dan yang paling penting sekali jangan rosakkan emosi anak ini hanya kerana ibubapa telah berpisah. Jangan pisahkan anak ni dengan ibunya kerana itu akan merosakkan emosi dan jiwanya kelak. Apalah gunanya di tempatkan di sekolah yang terbaik tapi anak pula hidup dalam keadaan yang memberontak. Saya yakin bukan sekolah yang menentukan kecemerlangan anak. Ramai yang dah berjaya walaupun sekolah di Banai, Tandop Besar dll. Hebat sungguh penangan Ahmad Tajudin ni.