Monday, November 09, 2009

Taklik Talak Dalam Ba'iah PAS

Tajuk-tajuk utama akhbar tempatan dua tiga hari lepas dipenuhi dengan berita dan macam-macam komen berkaitan dengan bai'ah yang dikatakan diamalkan oleh wakil rakyat Pas sebelum diterima sebagai calon pilihanraya. Namun perkara tersebut seakan diakui kebenarannya kerana beberapa individu yang pernah menjadi calon PAS sendiri turut mengakui bahawa mereka sendiri pernah berbuat demikian.

Menurut akhbar Utusan Malaysia....

"Baiah ini akan diikrarkan oleh semua calon yang akan bertanding dalam pilihan raya di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri dan dilakukan bagi menjamin kesetiaan mereka yang telah dipilih.

"Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Mohd. Khairuddin Othman berkata, beliau sendiri pernah melakukan bai'ah semasa dipilih sebagai calon pilihan raya 2004 untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Paya Jaras tahun lalu.

Beliau berkata, bai'ah itu yang disediakan oleh Dewan Ulama Pas Pusat akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum pilihan raya berlangsung.

''Bai'ah itu antara lain berbunyi 'sekiranya kami mengkhianati parti maka akan tertalak tigalah isteri-isteri kami'," katanya ketika dihubungi di sini hari ini."



Antara yang memberi komen kepada isu ini adalah Dato Harussani, Dato Jamil Khir dan Prof Dato Mahmood Zuhdi. Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan baiah ini terutama dari segi moral pimpinan Pas yang mengutamakan ketaksuban kepada parti dari keluarga mereka sendiri. Malah ada penulis yang mengaitkan baiah ini sebagai menzalimi kaum wanita serta salah satu eksploitasi terhadap agama. Namun tidak ramai yang memberi komen tentang permaslaahan ini dari sudut Hukum Syarak secara terperinci.



Taklik Talak menurut Hukum Syarak

Menurut Hukum Syarak, baiah yang dilakukan ini adalah satu lafaz ta'alik talak iaitu perceraian yang tergantung kerana dikaitkan dengan sesuatu syarat. Jika syarat itu berlaku atau telah dilanggar maka talak akan jatuh serta merta. Ini seperti lafaz suami kepada isterinya: "Jika kau keluar dari rumah ini jatuh satu talak". Sekiranya selepas lafaz ini, isterinya bertindak keluar dari rumah yang dimaksudkan maka akan terjatuhlah talak ketika itu juga.



Inilah pandangan yang diterima oleh para ulamak muktabar termasuk Mazhab Syafii sendiri kerana mereka berhujah berdasarkan terdapat banyak nas-nas sama ada dari al-Quran dan Sunnah yang mewajibkan setiap orang Islam menunaikan janji masing-masing. Pada pandangan fuqaha, taklik talak diibaratkan seperti satu perjanjian yang dikaitkan dengan sesuatu syarat. Justeru, syarat tersebut mengikat pihak yang membuatnya iaitu suami. Maka jika suami sanggup meletakkan ungkapan "perceraian" dalam perjanjian tersebut semestinya perjanjian tersebut mengikat dirinya sendiri.


Dalam Kitab al-Majmu’, juz 17, hlm. 152
, disebutkan iaitu :-



“Apabila dita’alikkan talaq dengan sesuatu syarat yang tidak mustahil boleh berlaku seperti masuk ke dalam rumah @ kedatangan awal bulan, maka tergantunglah talak itu dengan syarat tersebut. Apabila berlaku syarat tersebut maka jatuhlah talak yang disebutkan itu (tanpa berhajat kepada lafaz talak yang baru)”




Amalan Taklik Talak di Malaysia

Terdapat komen-komen yang keras dan mencemuh bai'ah ini seolah-olah perkara berkenaan dengan talak ini sesuatu yang amat jijik dan tidak patut dihampiri oleh PAS. Hakikatnya, ta'alik talak ini telah menjadi amalan biasa di negara kita. Setiap pasangan Islam yang diakadnikahkan diwajibkan untuk membaca lafaz ta'alik talak yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam negeri-masing-masing. Lafaz taklik talak itu biasanya tercatat di belakang Sijil Nikah masing-masing. Setakat yang saya maklum hanya Negeri Perlis sahaja yang tidak menguatkuasakan peraturan ini walaupun mereka mengiktiraf perceraian melalui taklik talak ini. Malah pernikahan yang dilangsung di Thailand juga diwajibkan berlafaz taklik. Jadi boleh dikatakan setiap pasangan atau individu yang berumahtangga di Malaysia sebenarnya telah pun melafazkan perceraian ke atas isteri masing-masing tetapi perceraian tersebut hanya akan berlaku apabila syarat yang terkandung dalam ta'alik itu dilanggar pada bila masa-masa sahaja. Tidak perlu takut dengan taklik talak ini jika kita yakin kita seorang yang bertanggungjawab terhadap isteri kita.

Ta'alik talak yang biasa diamalkan di negara ini dikaitkan dengan syarat seperti tindakan suami yang meninggalkan isterinya atau tidak memberi nafkah kepada isterinya selama tempoh tertentu. Selain itu, suaminya juga tidak boleh memudaratkan isterinya atau melakukan penganiayaan terhadap isterinya. Namun taklik talak yang diamalkan ini tidak menjadikan pihak isteri akan tertalak serta-merta apabila berlakunya perlanggaran terhadap syarat tadi, tetapi perceraian hanya akan berlaku selepas isteri membuat pengaduan kepada Mahkamah Syariah dan disabitkan pengaduan itu oleh pihak Mahkamah. Maksudnya para isteri masih mempunyai pilihan sama ada untuk meminta Mahkamah melaksanakan taklik talak ini atau tidak. Berbeza dengan taklik yang dibuat oleh PAS yang tidak memberi pilihan lain kepada para isteri.

Taklik Talak PAS

Menurut Utusan Malaysia:
''Bai'ah itu antara lain berbunyi 'sekiranya kami mengkhianati parti maka akan tertalak tigalah isteri-isteri kami',"



Berdasarkan petikan akhbar di atas, kita dapati syarat yang dikaitkan dengan talak ini adalah "mengkhianati parti". Bagi saya syarat ini sangat umum dan sukar dibuat tafsiran. Apakah yang dimaksudkan dengan sayarat mengkhianati parti itu? Apakah melompat parti atau melawan dasar yang ditetapkan parti? Berunding dengan UMNO? Contohnya jika pemimpin itu didapati melanggar disiplin parti dan diambil tindakan ke atasnya, jadi apakah itu juga termasuk dalam pengkhianatan terhadap parti? Tetapi saya yakin lafaz yang diberi oleh Khairudin kepada akhbar Utusan ini adalah tidak lengkap sepenuhnya kerana terdapat ramai alim-ulamak dalam PAS yang pastinya akan menyediakan lafaz taklik yang lebih terang, jelas dan mudah difahami.

Dalam lafaz taklik ini juga turut dikaitkan dengan perceraian talak tiga sekaligus. Hal ini juga perlu diteliti kerana walaupun di sisi mazhab Syafii, talak sebegini dianggap sabit dengan talak tiga berdasarkan pandangan Saiyidina Umar, namun terdapat pandangan lain yang semakin popular kerana mereka hanya mensabitkan perceraian talak tiga sekaligus ini dengan hanya satu talak sahaja sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah. Tetapi berdasarkan kes-kes yang pernah diputuskan di Mahkamah Syariah, pandangan Imam Syafii yang diterima.



Ketaksuban??


Saya tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan taklik ini menunjukkan ketaksuban PAS kepada parti kerana perlu dibezakan antara ahli PAS dan wakil rakyat yang dipilih mewakili PAS. Taklik ini tidak diwajibkan kepada semua ahli PAS. Ahli PAS tidak terikat dengan baiah ini. Ahli PAS bebas keluar masuk parti. Justeru adalah tidak benar jika dikatakan taklik ini telah membawa kepada ketaksuban kepada parti kerana bukan semua ahli PAS diwajibkan membaca taklik tersebut. Hanya yang wajib bertaklik adalah calon yang bertanding dalam pilihanraya sahaja. Dengan kata lain mereka yang berbaiah ini adalah calon wakil rakyat. Itupun kerana mereka bukan sahaja mewakiili PAS tetapi mereka juga mewakili rakyat di tempat mereka. Mereka yang membuat tuduhan ini perlu meletakkan emosi di sebelah dan melihat fakta dengan tepat.



Mengkhianati Parti atau Mengkhianati rakyat

Kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa mana-mana wakil rakyat yang melompat atau mengkhianati parti sebenarnya mereka bukan sahaja bersalah terhadap parti sahaja tetapi mereka juga mengkhianati rakyat yang mengundi mereka. Ini kerana mereka dipilih sebagai wakil rakyat kerana pengundi yakin dengan kewibawaan dan kekuatan parti yang diwakilinya. Jika ia melompat parti bererti ia telah menipu beribu-ribu pengundi di kawasannya.

Apa yang saya faham dari taklik ini adalah PAS sangat mementingkan integriti setiap wakil rakyatnya. Mereka tidak mahu wakil rakyat yang sangup membelot. Ini selari dengan aspirasi rakyat. Rakyat juga tidak mahu serta marah jika wakil rakyat mereka membelot atau melompat parti. Melalui taklik ini juga bererti PAS menjaga hak pengundi. Para pengundi tidak perlu risau dengan kredibiliti wakil rakyat PAS kerana mereka telah mengikat baiah yang kukuh. Pengundi-pengundi akan rasa sangat berbaloi memilih mereka kerana ada jaminan yang kukuh bahawa mereka ini tidak akan mengkhianati mereka. Apa yang jelas dari taklik ini, PAS nampaknya mahukan setiap wakil rakyat yang bertanding atas tiketnya mesti bertanggungjawab dan beramanah terhadap parti yang diwakilinya dan pengundi yang mewakilinya. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Taklik Talak ini adalah undang-undang anti lompat parti versi PAS.

Jadi pada asasnya, taklik talak ini adalah mempunyai tujuan baik dan bukannya hendak menganiaya sesiapa cuma mungkin agak melampau kerana mempertaruhkan kebahagiaan rumahtangga sendiri demi rakyat. al-Quran sendiri memerintahkan kita agar bergaul dengan para isteri secara makruf. Tetapi dengan taklik talak yang sebegini, jelas tidak menunjukkan bahawa para bakal wakil rakyat PAS itu menggauli isteri mereka dengan baik terutamanya kerana isteri mereka akan tertalak tiga sekaligus. Talak tiga sekaligus sebegini hukumnya adalah haram (talak Bid'i) tetapi talak masih sah. Justeru adalah diharapkan, amalan ini dapat dihentikan dan pendekatan baru perlu diperkenalkan.

Perlunya Undang-Undang Anti Lompat Parti

Setiap wakil rakyat PAS sanggup mempertaruhkan keluarganya untuk rakyat Malaysia yang mengundi mereka. Inilah pengorbanan mereka untuk anda semua. Ia bukannya semata-mata untuk kepentingan PAS sahaja. Tetapi jika cara ini dianggap keterlaluan maka cara dan pendekatan baru perlu dilaksanakan. Mungkin sudah tiba masanya undang-undang anti lompat parti dikuatkuasakan di negara ini. Dengan itu, masalah pengkhianatan dan lompat parti di kalangan wakil rakyat ini akan selesai dan tiada lagi baiah seperti ini.


1 comment:

hamdi Ishak said...

Khalid: Tiada arahan amal bai'ah talak tiga
Nov 12, 09 11:20pm
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mengakui tidak mendapat arahan daripada PAS pusat dan majlis syura untuk mengamalkan bai'ah talak tiga, tetapi sebaliknya ia hanya pilihan di kalangan wakil rakyat PAS.

Bai'ah adalah sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti.

"Ada (anggota PAS) tapi (secara) sukarela, bukan arahan, bai'ah (sumpah taat setia) dan taklik berasingan, terpulang kepada individu untuk mengukuhkan pendirian," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan memberitahu siapakah pihak yang mengesyorkan bai'ah talak tiga itu.

"Ada ramai lah yang 'anu' kan... tapi akhirnya terpulang pada individu masing-masing," kata Khalid, yang sebelum ini mengakui mengamalkan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya melompat parti semasa pilihan raya umum ke-12 pada Mac tahun lepas.

Katanya beliau tidak boleh mengesahkan sama ada semua wakil rakyat PAS di Selangor yang turut berbuat demikian.

Khalid berkata beliau memilih untuk memasukkan lafaz taklik dalam bai'ah bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti.

Beliau berkata isterinya Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar juga menganggap tindakannya itu sebagai satu penghargaan kepada perkahwinan mereka kerana dalam konsep ini, isteri bukan dijadikan cagaran sebaliknya untuk mengukuhkan pendirian.

"Bagi saya rumah tangga, isteri cukup penting, itu sebagai penghalang kita (lompat parti), bukan kita panggil sebagai cagaran, ini sebagai penghalang, orang tidak faham seolah-olah kita berjudi, ini bukan berjudi.

"Walaupun diletak sogokan RM20 juta sekalipun saya tak akan khianati parti kerana menghargai ikatan perkahwinan," katanya.

Sementara itu, PAS akan menyiasat amalan bai'ah talak tiga di kalangan wakil rakyatnya kerana arahan itu tidak dikeluarkan oleh PAS Pusat atau Majlis Syura, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub.

Beliau juga menegaskan bai'ah yang dilakukan oleh parti itu hanyalah berkaitan dengan sumpah taat setia memegang jawatan setiap dua tahun sekali yang dilakukan pada hari pertama memegang jawatan dalam parti.

"Apa pun yang berlaku di mana-mana peringkat, itu bukan daripada PAS pusat dan bukan daripada majlis syura.

"Perkara ini tidak berbangkit dan bukan isu besar. Saya boleh tegaskan apa pun yang berlaku itu bukan daripada parti dan bukan keputusan dan pendirian parti," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Ditanya sama ada bai'ah adalah pilihan atau peraturan yang dijalankan oleh pemimpin PAS di negeri-negeri, Salahuddin berkata mereka akan menyiasat punca perkara itu timbul.

"Ini juga telah ditegaskan oleh Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz) sendiri bahawa ia tidak pernah datang dari PAS pusat dan Majlis Syura," katanya. - Bernama