Wednesday, December 29, 2010

Kewajaran Peguam Syarie Dari Bukan Islam: Satu Pandangan

Ketika ini masyarakat masih lagi membahaskan tentang kewajaran keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang baru-baru ini telah mengeluarkan fatwa bahawa peguam bukan Islam diharamkan diterima sebagai peguam syarie di Malaysia.

Keputusan fatwa berkenaan bukanlah sesuatu yang baru dan ganjil, kerana sebelum ini,, sebahagian besar negeri-negeri telah mensyaratkan peguam syarie mestilah terdiri dari seorang yang beragama Islam. Negeri-negeri tersebut adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan dan yang terbaru adalah Selangor.

Sebelum berbuat demikian, Negeri Selangor pernah menerima 2 orang peguam syarie yang bukan beragama Islam untuk beramal di negeri ini. Manakala bagi negeri Kedah dan Johor, syarat yang lebih ketat dikenakan iaitu selain seorang Islam, peguam syarie juga mestilah berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jama’ah {kaedah 9(d) Kaedah-kaedah Peguam Syarie}.

Walaupun begitu, isu ini hanya menjadi hangat apabila seorang peguam bukan Islam telah mempertikaikan tindakan Wilayah Persekutuan yang menolak permohonannnya sebagai peguam syarie di Mahkamah syariah negeri tersebut atas alasan beliau bukan seorang Islam.

Agak memeranjatkan juga kerana perkara ini tidak pernah dipertikaikan dan dibawa ke mana-mana mahkamah sebelum ini sedangkan syarat Islam ini telah termaktub di dalam undang-undang sejak tahun 1982 lagi di Johor dan diikuti oleh negeri Terengganu 1987, Kelantan dan Kedah 1988 dan lain-lain negeri selepas itu. Malah di Wilayah Persekutuan sendiri syarat Islam ini diletakkan di dalam Kaedah 10 Kaedah-kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan sejak tahun 1993 lagi.

Persoalannya, mengapa hanya sekarang ia mula dipertikaikan iaitu setelah berpuluh tahun diamalkan. Apakah pihak bukan Islam sudah mulai terancam dengan pindaan Per. 121 (A) Perlembagaan Persekutuan(1988) yang menghalang Mahkamah Sivil dari mencampuri keputusan Mahkamah Syariah menurut bidangkuasa yang diberi oleh perlembagaan.

Antara hujah-hujah yang diutarakan oleh peguam bukan Islam tersebut adalah berkaitan dengan kelayakan akademiknya yang membolehkan beliau menjadi peguam syarie iaitu beliau mempunyai ijazah undang-undang (LLB) dan juga berkelulusan Diploma In Syariah Law and Practise (DSLP) dari UIA pada tahun 2004. Beliau berpendapat syarat Islam itu telah memprejudiskan beliau dan bersifat ultra vires kerana menafikan hak-hak beliau yang dijamin oleh perlembagaan di dalam artikel 8 dan 10.

Hakikatnya, dalam masa yang sama, Perlembagaan di dalam Jadual 9 senarai 2 hanya memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk membicarakan dan memutuskan kes-kes yang melibatkan orang-orang Islam sahaja. Justeru, jika mahkamah syariah menerima peguam bukan Islam sebagai peguam syarie bermakna mahkamah syariah juga boleh didakwa telah melakukan perkara yang bertentangan dengan perlembagaan jika menguatkuasakan sebarang peraturan atau perintah terhadap peguam berkenaan. Ini kerana segala hukuman dan arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah nanti tidak boleh melibatkan peguam berkenaan. Bagaimana mahkamah akan mengendalikan perbicaraan jika peguam yang mengendalikan kes boleh sewenang-wenangnya terlepas dari segala peraturan dan arahan mahkamah. Apakah Majlis Peguam atau Mahkamah Sivil juga bersedia menerima peguam-peguam jika mereka tidak tertakluk dengan bidangkuasa mahkamah di Malaysia dan terlepas dari segala peraturan? Sudah tentu tidak sama sekali.

Jika kita mengatakan kelulusan akademik peguam bukan Islam ini tidak memadai dan menuduh beliau sebagai jahil maka kita umpama meludah ke langit kerana kelulusan peguam ini tiada bezanya dengan ratusan malah mungkin ribuan lagi peguam-peguam syarie beragama Islam yang sedang beramal di mahkamah-mahkamah syariah sekarang. Malah ada peguam-peguam Islam yang mempunyai kelulusan lebih rendah dari beliau iaitu hanya berkelulusan LLB semata-mata tanpa DSLP juga diterima sebagai peguam syarie asalkan mereka lulus temuduga atau peperiksaan khas yang diadakan. Justeru, dari segi kelulusan akademik mungkin boleh dikatakan beliau sudah mempunyai kelayakan yang mencukupi menurut amalan sekarang.

Namun, kelulusan akademik semata-mata tidak cukup untuk memaksa mahkamah syariah menerima beliau sebagai peguam syarie kerana faktor akhlak serta amanah dalam menjalankan profesion mereka juga diambil kira dan sangat penting kerana peguam juga dianggap sebagai pembantu mahkamah yang turut bertanggungjawab menegakkan Hukum Allah. Faktor inilah juga yang menyebabkan Jawankuasa Fatwa Kebangsaan melarang orang-orang bukan Islam menjadi peguam syarie namun dipertikaikan oleh sesetengah pihak yang beragama Islam sendiri.

Menurut laporan Malaysiakini, di kalangan para mufti sendiri ada yang berbeza pendapat. Daripada hujah-hujah yang mereka utarakan, hakikatnya tiada perbezaan yang ketara. Perselisihan pendapat ini boleh diselesaikan hanya dengan sedikit muzakarah atau wacana-wacana yang bersifat akademik dan terbuka.

Apa yang menyebabkan pandangan-pandangan mereka berbeza adalah kerana mereka melihat konsep dan kedudukan “peguam syarie” dari sudut yang berlainan. Pandangan yang menentang atau tidak bersetuju dengan fatwa ini melihat peguam syarie dari sudut peranan seorang wakil yang mewakil anak guamnya. Ini kerana akad antara peguam dan anakguamnya adalah berasaskan prinsip “al-wakalah” atau “al-wakalah bil khusumah”.

Mereka mengemukakan nas-nas yang menunjukkan bahawa orang Islam dibenarkan melantik wakil hatta dari kalangan bukan Islam sekalipun untuk menguruskan keperluan mereka. Justeru, bagi mereka, keputusan fatwa ini boleh menghalang orang bukan Islam mendapat keadilan yang sewajarnya di mahkamah syariah kerana hak mereka untuk mempertahankan diri telah dinafikan. Mereka merujuk kepada amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sendiri yang sentiasa memberi keadilan kepada bukan Islam termasuklah kepada orang Yahudi yang terkenal kerana permusuhan berterusan mereka terhadap Islam.

Manakala bagi golongan yang bersetuju dengan fatwa ini pula, mereka mengemukakan hujah-hujah berdasarkan konsep peguam syarie dan peranannya yang lebih menyeluruh iaitu di samping menjadi wakil kepada anakguamnya, peguam juga berperanan sebagai pembantu kepada mahkamah. Ringkasnya, peguam tidak hanya bertanggungjawab terhadap anakguam mereka semata-mata tetapi juga bertanggungjawab dengan mahkamah dan keadilan yang ingin dicapai melalui perbicaraan. Konsep peguam syarie yang menekankan isu akhlak dan amanah inilah yang diterima dan ditekankan oleh pihak mahkamah sendiri dalam seminar-seminar serta konvensyen peguam syarie.

Banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis yang boleh dikaitkan dengan peranan peguam ini diutarakan antaranya ayat-ayat yang berkaitan tanggungjawab menegakkan keadilan dan mengelak dari bersubahat dengan golongan yang zalim iaitu Surah al-Nisa’: 58, al-Nisa’:35, al-Maidah: 8, Ali Imran: 57, 86, al-Maidah 29, 58, al-Baqarah: 270 dan al-Nisa’: 105.

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran tadi ternyata tugas peguam syarie sangat berat kerana mereka menjadi penghubung antara anakguam dengan mahkamah. Di samping membantu anakguam mereka juga perlu ingat dan sedar tentang amaran-amaran Allah agar tidak terjerumus dalam kezaliman dan kebatilan. Justeu, asasnya di sini adalah akidah seorang peguam mestilah betul dengan syariat Islam . Dalam satu artikel tulisan Allahyarham Prof Mahmood Saedon beliau mengingatkan para peguam seperti berikut:

“Peguam Syarie hendaklah mematuhi arahan Allah ini. Mereka wajib mengakkan keadilan walaupun ianya bertentangan dengan kepentingan diri mereka sendiri atau pelanggan mereka, tetapi berpegang kepada prinsip dan mempertahankan nilai yang murni, patuh kepada Allah dan menegakkan keadilan hendaklah diutamakan. Kepentingan peribadi, kemasyhuran dan ingin menang dalam suatu perbicaraan hendaklah diketepikan sebaliknya hendaklah menjadi saksi kerana Allah dan kemenangan yang sebenar ialah keredhaan Allah dan kemuncak kejayaan di dalam menjalankan tugas dan memainkan peranan sebagai peguam ialah Berjaya menegakkan keredhaan ilahi.”

Oleh itu, jika pihak yang tidak bersetuju dengan fatwa ini mengemukakan hujah atas konsep al-wakalah, maka golongan yang bersetuju pula mengemukakan hujah-hujah berdasarkan konsep peguam sebagai pembantu hakim seperti peranan penterjemah (al-murtajim) atau penulis di mahkamah. Ramai di kalangan fuqaha yang mensyaratkan penterjemah mahkamah mestilah terdiri dari orang Islam dan tidak boleh sama sekali dilantik dari kalangan bukan Islam.

Ringkasnya, isu ini boleh diselesaikan dengan mencari jalan penyelesaian sama ada konsep peguam syarie ini cukup sekadar sebagai wakil yang bertanggungjawab terhadap anakguam sahaja atau sebagai pegawai yang membantu mahkamah membuat keputusan dengan tepat dan adil..

Friday, October 08, 2010

Nikah di Thailand: Hanya Diiktiraf di Songkhla





myMetro | Hanya sah di Songkhla

Nikah di Thailand: Hanya Sah Di Songkhla

Diambil Dari akhbar Harian Metro
2010/10/08

SONGKHLA (Selatan Thailand): Pernikahan pasangan luar terutama rakyat Malaysia di Songkhla tidak akan diiktiraf jika menggunakan khidmat sindiket ‘nikah ekspres’ atau jurunikah tidak bertauliah kerana Majlis Agama Islam wilayah Songkhla (Mais) sudah mengeluarkan arahan hanya pejabatnya di sini, sebagai tempat pernikahan yang sah berkuat kuasa 16 September lalu.Berikutan itu, pasangan yang bernikah selain daripada di pejabat Mais di Jalan Klonghaedi di sini, dianggap tidak sah.


Yang Dipertua Mais, Zakaria Saleh berkata, peraturan baru itu dikeluarkan kerajaan Thailand berikutan banyak aduan mengenai kekeliruan serta pemalsuan sijil nikah.


“Selepas ini, pasangan yang bernikah selain daripada di pejabat Mais, tidak sah dan tidak diiktiraf kerana hanya kami mengeluarkan sijil nikah sah dan asli.


“Kami menerima banyak aduan dan rungutan daripada pasangan yang tidak berpuas hati apabila mendapati sijil nikah mereka palsu kerana mereka bernikah menggunakan sindiket atau jurunikah tidak bertauliah,” katanya ditemui di sini, kelmarin.


Menerusi peraturan baru itu, semua pasangan luar yang mahu bernikah di Thailand tidak lagi dibenarkan melakukannya di daerah lain di selatan negara itu seperti Padang Besar, Danok, Patani, Sadao dan Narathiwat supaya pernikahan itu diiktiraf dan didaftarkan dengan Konsulat Malaysia di Songkhla.


Zakaria berkata, terdapat 30 jurunikah bertauliah Mais yang menjalankan tugas mereka di pejabat Mais setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 4 petang.


Menurutnya, jurunikah yang menikahkan pasangan di luar pejabat Mais akan dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat dan mengingatkan pihaknya serius mengendalikan isu pernikahan ini.


“Kami mendapati banyak masalah berlaku sebelum ini kerana tiada sistem sistematik menyebabkan banyak pihak keliru hingga ada pasangan terperangkap dengan sindiket pernikahan palsu.


“Sebelum ini ada pasangan datang untuk melaporkan perkahwinan mereka tetapi menghadapi masalah kerana sijil nikah palsu dan tidak diperakui Mais selain menyebabkan banyak kerumitan kerana kami terpaksa membuat siasatan kesahihan pernikahan mereka sebelum ia didaftarkan dengan Konsulat Malaysia di Songkhla,” katanya.


Selain itu, pasangan yang tidak cukup syarat bermastautin dalam jarak sekurang-kurangnya 90 kilometer (km) dari masjid Mais diwajibkan berurusan dengan Mais yang akan menentukan lokasi lebih sesuai bagi melangsungkan pernikahan.


“Hanya 30 jurunikah bertauliah dibenarkan menikahkan pasangan di masjid Mais. Jika ingkar, mereka akan dipecat serta-merta.


“Bagi pasangan yang tidak cukup syarat iaitu tinggal tidak sampai 90 kilometer dari sini, diwajibkan berurusan dengan Mais dan kami akan menetapkan lokasi sesuai sebelum menikahkan mereka,” katanya.


Menurut Zakaria, pihaknya tidak sewenang-wenangnya menikahkan pasangan sebaliknya meneliti dokumen pasangan kerana sijil nikah perlu diserah kepada konsulat Malaysia di Songkhla untuk pengesahan.


Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, antara Januari hingga Mei lalu, pihaknya menerima 1,321 permohonan rakyat Malaysia yang berkahwin di situ.


“Daripada jumlah itu, rakyat Malaysia yang berkahwin sesama warganegara ialah 999 permohonan, pasangan Malaysia-Thailand (186), Malaysia-Indonesia (19), Malaysia-Pakistan (18) dan Malaysia-Bangladesh (dua permohonan).


“Tahun lalu, kami menerima 2,172 pengesahan pernikahan, 2008 (2,342 permohonan); 2007 (1,944); 2006 (845); 2005 (314); 2004 (55); 2003 (98); 2002 (67) dan 2001 (73).

Monday, October 04, 2010

Ujian DNA:Keputusan amat tepat


myMetro | Keputusan amat tepat

Keputusan amat tepat
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
2010/10/02

Sebelum ini antara kes jenayah yang turut menggunakan ujian DNA ialah kes pembunuhan bekas model dan pelakon (juga isteri kedua isteri kedua Raja Dihilir Perak), Hasleza Ishak pada Oktober 2002 yang dibuang dari jambatan Jalan Sumpitan, dalam daerah Larut Matang dan Selama, Perak; penganalisis teknologi maklumat (IT), Canny Ong Lay Kian (mayatnya ditemui dalam sebuah lubang di Batu 7, Jalan Klang Lama pada 17 Jun 2003) dan eksekutif pemasaran, Noritta Samsuddin, 22, (ditemui mati di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, pada Disember 2003).



Itu kes membabitkan jenayah. Mungkin ada pembaca yang masih ingat pertelingkahan antara dua petani di Pasir Puteh, Kelantan pada 2007 antara Zulkifli Setafa dan Isa Mohamad yang berebutkan anak kerbau jantan berusia tiga tahun. Kedua-dua petani sanggup membayar RM1,500 seorang untuk ujian DNA bagi menentukan pemilik sebenar anak kerbau berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1,500!

Ia adalah kes pertama ujian DNA ke atas haiwan ternakan untuk membuktikan pemilik dilaporkan di negara kita kerana tiada orang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk seekor anak kerbau kerana kos bagi ujian berkenaan boleh membeli dua ekor anak kerbau pada usia yang sama.

Istilah ujian DNA meniti di bibir masyarakat kita - hasil sumbangan peningkatan kes jenayah dan lambakan siri drama penyiasatan yang ditayangkan di televisyen. Namun tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan DNA dan ujian DNA itu? DNA ialah singkatan kepada asid deoksiribonukleik, satu molekul penting bagi semua sel hidup.

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Pasca Siswazah), Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Dr Zafarina Zainuddin, DNA ialah sejenis molekul yang terdapat dalam semua sel, kecuali sel darah merah. Ia adalah molekul yang menyimpan kod genetik yang menentukan semua ciri-ciri manusia seperti warna kulit, mata, jenis rambut dan sebagainya.

DNA dalam semua jenis sel dalam satu individu adalah sama. Ini bermakna, DNA dari air liur, rambut, darah atau air mani adalah sama bagi setiap orang. Bukan manusia saja yang mempunyai DNA malah semua organisma hidup termasuk tumbuhan, haiwan dan bakteria juga mempunyai DNA. Ia adalah molekul asas yang sangat penting dalam semua organisma hidup.

Menariknya, DNA bagi setiap individu di atas muka bumi ini adalah unik iaitu berbeza antara satu sama lain kecuali bagi kembar seiras. Inilah sebabnya ujian DNA digunakan dalam penyelesaian banyak kes jenayah atau bagi penentuan keturunan khususnya untuk kes perebutan anak (yang tidak diketahui bapanya) seperti kerap terjadi di negara Barat.

Teknik ujian DNA mula dilaporkan oleh Sir Dr Alec Jeffreys dari Universiti Leicester, England pada 1984 dan kini menjadi asas kepada data DNA kebangsaan sesebuah negara. Kaedah yang dipelopori Dr Jeffreys ini kemudiannya dikomersilkan (sesiapa boleh mendapatkan ujian ini) pada 1987 apabila syarikat kimia, ICI, membuka pusat ujian darah di England.

Apa yang dimaksudkan dengan profil DNA? “Profil DNA adalah hasil yang diperoleh daripada analisis ke atas DNA seseorang. Ia seperti kod bar (bar code) pada setiap barang di pasar raya di mana setiap kod akan mengenalpasti barang yang berbeza.

“Profil DNA yang terhasil adalah dalam bentuk nombor dan setiap individu akan mempunyai kombinasi nombor yang berbeza. Nombor-nombor ini mewakili alel (gen) tertentu bagi setiap individu,” kata Dr Zafarina.

Jenis ujian DNA

Dr Zafarina berkata sel yang mempunyai nukleus dari semua bahagian daripada badan kita boleh dijadikan sampel dalam ujian DNA. Ujian DNA ada beberapa jenis. Bagi kegunaan forensik, ujian DNA yang dilakukan ialah:

1. Ujian autosomal STR (ulangan tandem atau aturan pendek): Ujian ini sangat khusus bagi pengenalpastian individu. Setiap profil yang diperoleh melalui kaedah ini adalah unik di mana tidak ada dua individu berbeza akan mempunyai profil yang sama, kecuali kembar seiras.

2. Y-STR: Ujian ini bagi mendapatkan profil lelaki terutamanya dalam sampel yang bercampur. Kaedah ini akan dapat mengenalpasti profil lelaki, contohnya dalam kes rogol di mana lelaki berkenaan meninggalkan sisa-sisa air mani di dalam vagina (faraj) mangsa.

Walaupun persekitaran vagina mengandungi lebih banyak sel-sel mangsa (wanita) tetapi kaedah ini masih dapat mengenalpasti profil lelaki atau perogol berkenaan kerana ia khusus kepada kromosom Y; iaitu kromosom yang hanya terdapat pada lelaki. Kromosom ialah satu struktur seakan benang yang mengandungi maklumat genetik.

Kaedah ini juga dapat membantu mengenalpasti individu yang hilang melalui perbandingan dengan profil ayah, saudara lelaki atau sepupu lelaki dari sebelah ayah (anak bapa saudara dari datuk yang sama). Ia juga dikenali sebagai ujian bagi mengenalpasti individu melalui keturunan sebelah bapa.

3. Mitokondria DNA: Kaedah ini biasanya digunakan apabila kaedah autosomal STR gagal memberikan profil. Ia biasanya berlaku apabila sampel biologi yang diuji terlalu sedikit, sudah terlalu lama terdedah ke persekitaran yang ekstrem (keterlaluan); terbakar teruk atau sampel yang sudah lama.

Jumlah DNA mitokondria yang banyak dalam sel dan jenis DNA ini yang lebih tahan lasak berbanding autosomal DNA, membolehkan ia menjadi harapan terakhir dalam mengenalpasti individu melalui ujian DNA.

Berbeza dengan Y-STR, mitokondria DNA adalah ujian pengenalpastian menggunakan keturunan sebelah ibu. Setiap individu dari keturunan ibu yang sama, akan mempunyai profil DNA mitokondria yang sama.

Contohnya saudara (adik beradik) dari ibu yang sama, sepupu (anak ibu saudara) dari nenek yang sama. Ujian ini sesuai digunakan untuk mengenalpasti individu yang hilang, terutamanya apabila kualiti dan kuantiti sampel yang ditemui tidak mengizinkan untuk ujian DNA lain.

Bagaimana pula dengan kes perebutan anak kerbau jantan yang disebut di atas? Adakah ia juga menggunakan kaedah yang sama?

Ujian yang dilakukan sama saja dengan ujian DNA dalam forensik. Kedua-duanya menggunakan kaedah autosomal STR. Cuma kit yang digunakan adalah khusus kepada lembu; sedangkan untuk manusia, kit yang digunakan adalah khusus untuk manusia.

Maknanya, sekiranya sampel darah yang ditemui adalah milik haiwan seperti monyet atau orang utan, profil DNA tidak akan diperoleh apabila menggunakan kit yang khusus untuk manusia dan sebaliknya.

Siapa yang boleh melakukan ujian DNA? Bagaimana ia dilakukan?

Menurut Dr Zafarina yang juga merupakan pakar rujuk DNA forensik bagi Polis Di Raja Malaysia (PDRM), ujian DNA boleh dilakukan di mana-mana makmal yang menawarkan perkhidmatan ini. Ujian ini dimulakan dengan kaedah pengesktrakan DNA daripada sampel menggunakan kaedah Reaksi Rantaian Polimerase (Polymerase Chain Reaction).

Kaedah ini sama seperti mesin fotostat bagi mendapatkan jumlah DNA yang lebih banyak supaya boleh dianalisis). Dari sini, DNA kemudiannya akan melalui kaedah elektroforesis iaitu pemisahan DNA di dalam media polimer dengan menggunakan voltan elektrik yang tinggi dan seterusnya analisis keputusan menggunakan perisian khusus.

“Memang kaedahnya agak rumit dan namun hasil ujian DNA sangat tepat. Profil DNA yang didapati melalui kaedah autosomal STR memberikan keputusan 99.9 peratus tepat dalam pengenalpastian seseorang individu.

“Bagaimanapun kualiti profil juga dipengaruhi oleh kualiti sampel. Justeru itu kualiti sampel sangat penting dalam ujian DNA. Sampel yang bercampur-campur akan memberikan profil yang bercampur juga dan dalam keadaan begini, kita memerlukan bantuan perisian yang lebih canggih untuk menentukan profil setiap individu yang terbabit.

“Sampel yang sudah terlalu lama, rosak, terbakar dan sebagainya memerlukan masa yang lebih panjang untuk memperoleh profil DNA kerana beberapa langkah untuk mendapatkan DNA dalam keadaan yang paling optimum (sesuai atau baik) perlu dibuat.

“Berapa cepat keputusan ujian DNA boleh dikeluarkan juga bergantung kepada kualiti dan kuantiti sampel. Jika sampel segar contohnya darah segar, hasil ujian boleh diperoleh dalam tempoh kurang 48 jam. Seperti yang diterangkan, jika sampel sudah lama, kualiti terjejas, rosak atau terbakar maka lebih lamalah masa yang diperlukan,” katanya.

Di Malaysia, siapa yang boleh menjalankan ujian DNA? Setakat ini hanya ada dua makmal saja yang menawarkan ujian DNA. Ujian DNA untuk kes jenayah hanya boleh dilakukan di makmal di Jabatan Kimia Malaysia.

Unit HID/DNA di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) juga menawarkan ujian DNA tetapi bagi kes yang membabitkan pengenalpastian identiti seperti yang dikehendaki oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran sebelum mendapat kad pengenalan atau taraf kerakyatan, atau kes-kes peribadi yang tidak membabitkan undang-undang.

“Bidang kajian genom termasuklah ujian DNA adalah bidang yang sangat menarik dan mempunyai banyak ruang untuk diterokai. Kita masih kekurangan pakar dalam bidang ini.

“Antara kelayakan yang diperlukan untuk menjadi salah seorang da
ripada kumpulan penyelidik atau penganalisa ialah Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains hayat sama ada sains forensik, genetik, biokimia dan sebagainya. Selain itu mereka juga perlu mendapat latihan khas dalam bidang DNA forensik sebelum boleh diiktiraf sebagai penganalisa,” katanya

Berita Harian Online | Persoalan Agama: Sunat rahsiakan status anak luar nikah

Berita Harian Online | Persoalan Agama: Sunat rahsiakan status anak luar nikah

Persoalan Agama: Sunat rahsiakan status anak luar nikah
2010/10/03

Ibu berzina sudah taubat nasuha, zuriat tak sah taraf jangan dicaci

SAYA ingin meminta pandangan mengenai status anak luar nikah. Wajarkah status anak itu dirahsiakan daripada pihak lelaki atau bakal suami kerana bimbang ia boleh mendatangkan aib jika diketahui lelaki berkenaan? Sekiranya dirahsiakan dikhuatiri lambat laun pasangan akan tahu dan mendatangkan masalah. Apakah harus dilakukan? Adakah berterus terang cara terbaik atau patutkah mendiamkan diri dan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan bakal suami.

Insan Dilema.

Dalam Islam, tiada istilah anak lahir di luar nikah itu dengan anak haram. Jika ada yang mengatakan istilah itu ada, sila cari dalam kitab suci al-Quran atau hadis Rasulullah SAW yang menyebutnya demikian.

Sebenarnya, kedudukan anak ini sama saja dengan anak yang lain. Kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT berdasarkan ketakwaannya. Ia juga bukan kerana soal keturunan atau asal usulnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat-13 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa.”

Perlu diingat, anak ini tidak berdosa kerana yang berdosa adalah ibunya. Seharusnya, anak ini tidak turut berdosa hanya disebabkan dosa ibunya. Seperti firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 164: “Dan tidaklah menanggung dosa oleh seseorang akan dosa orang lain.”

Ibunya pula, jika ia sudah taubat dengan taubat nasuha, maka sucilah si ibu terbabit daripada dosanya dengan maghfirah (keampunan) daripada Allah SWT. Kita tidak boleh mencacinya, baik terhadap anak itu atau ibunya akibat kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila sudah berzina seorang hamba perempuan, maka nyatalah zinanya, maka hendaklah dideranya sebagai hukuman dan janganlah dicacinya. Kemudian jika ia berzina pula kali kedua, hendaklah dideranya sebagai hukuman dan janganlah dicacinya. Kemudian jika ia berzina kali ketiga, hendaklah dijualnya walaupun dengan (harga) tali dari bulu.”

Oleh itu, apabila kita mengetahui keadaan dan kedudukan asal usul seseorang yang kurang baik, sunat bagi kita sembunyikan perkara itu dan jangan dihebahkan baik yang berkepentingan atau pun kepada yang lainnya. Kecuali ketika mana ia berbuat mungkar, maka wajib diingkari. Wallahua’lam.

Tuesday, September 14, 2010

Sunday, August 22, 2010

Status Islam: Orang Bukan Islam Juga Boleh Kemukakan Permohonan di Mahkamah Syariah-




Rayuan balu bekas pendaki Everest ditolak
Berita Harian: 21/8/2010

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan semalam memutuskan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status agama pendaki Everest, Sarjan M Moorthy atau Mohammad Abdullah yang yang penukaran agamanya kepada Islam menimbulkan pertikaian.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zainun Ali, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Clement Allan Skinner sebulat suara menolak rayuan isteri Moorthy, S Kaliammal dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan ia tiada bidang kuasa mendengar status agama Moorthy.

Kaliammal merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Disember 2005 yang mengetepikan permohonannya bagi perisytiharan bahawa suaminya beragama Hindu dan dikebumikan mengikut upacara agama berkenaan.

Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan persoalan berhubung status agama Moorthy kerana ia sudah diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam penghakimannya semalam, Zainun berkata, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk menentukan status agama seseorang.

Zainun berkata, andaian bahawa individu bukan Islam dihalang menyaman mahkamah syariah timbul daripada peruntukan yang menyatakan bahawa mahkamah itu tiada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

“Dalam kes ini, perayu tidak dihalang daripada membuat permohonan di mahkamah syariah untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya (mahkamah syariah) membincangkan isu relevan dan memutuskannya dengan adil mengikut agama dan undang-undang Islam.

“Pada pandangan kami, dalam sistem dwi kehakiman akan ada percanggahan dan mahkamah sivil sedaya upaya cuba meleraikan percanggahan itu dengan membuat interpretasi supaya tiada konflik.

“Jika percanggahan itu tidak boleh diselesaikan, maka niat Perlembagaan Persekutuan ialah penggubal undang-undang mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Dalam rayuannya, Kaliammal yang diwakili peguam M Manoharan menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Kaliammal memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2005, bagaimanapun keesokannya MAIWP mendapat perintah ex-parte daripada Mahkamah Syariah bahawa Moorthy sudah memeluk Islam sebelum kematiannya.

Perintah itu juga membenarkan MAIWP mengebumikan Moorthy mengikut agama Islam dan hukum syarak. Beliau dikebumikan pada 28 Disember 2005 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Gombak, Selangor.

Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas

Thursday, July 29, 2010

Fatwa Puasa Ramadhan Pemain Bolasepak Profesional



German soccer gets ruling on Ramadan fasting

(AP)

BERLIN — A Muslim group and German soccer authorities said Wednesday they have determined that professional Muslim players may break their fast during the holy month of Ramadan.

The announcement followed a dispute involving second-division club FSV Frankfurt, which last year gave a formal warning to three of its players for fasting.

During Ramadan, devout Muslims fast from dawn to dusk, abstaining even from water. The club had a clause in contracts stating that wasn't allowed without its express permission.

Germany's Central Council of Muslims said it sought advice from Al-Azhar in Egypt, the pre-eminent theological institute of Sunni Islam, and elsewhere.

Al-Azhar ruled that if a player is obliged to perform under a contract that is his only source of income, if he has to play matches during Ramadan, and if fasting affects his performance, then he can break his fast, the council said.



The European Council for Fatwa and Research supported that ruling, it added.

"The Muslim professional can make good the fasting days in times when there are no matches, and so continue to pay God and the holy month of Ramadan honor and respect," Aiman Mazyek, the general secretary of the Central Council of Muslims, said in a statement.

He noted that "keeping the body healthy plays a leading role in Islam."

"We very much welcome it that an arrangement has now been found that allows players to carry out professionally their work in high-performance sport and in doing so live their faith to the full," FSV Frankfurt manager Bernd Riesig said.

Copyright © 2010 The Associated Press. All rights reserved.

Tuesday, July 27, 2010

*Perbezaan Pendapat di Sebalik Perlantikan Hakim Syarie Wanita


Baru-baru ini apabila kerajaan telah melantik dua orang Hakim Wanita yang pertama di Negara ini, timbul sedikit keluh-kesah di kalangan masyarakat tentang hukumnya - apakah diharuskan atau tidak. Meskipun terdapat fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai isu ini, namun ramai yang masih keliru. Ini berkemungkinan kerana keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu tidak dihuraikan dengan terperinci tentang nas-nas dan dalil-dalilnya. Rujukan dalam laman web fatwa berkenaan, didapati penjelasan yang diberi sangat terbatas dan terlalu ringkas iaitu dengan berpegang kepada pandangan dari mazhab Hanafi yang membenarkan perlantikan Hakim Wanita dibuat dalam kes-kes yang tidak melibatkan Hudud dan Qisas.

Bagi sesiapa yang berpeluang membaca dan mengkaji isu ini, sudah tentu anda akan dapati, banyak penulisan-penulisan yang merumuskan bahawa para fuqaha telah berselisih pendapat mengenai perlantikan hakim wanita ini. Terdapat dua pandangan yang paling popular iaitu pandangan pertama seperti yang dikemukakan oleh Jumhur Fuqaha yang terdiri dari Mazhab Syafii, Maliki dan Hanbali, mereka semuanya menolak perlantikan Hakim Wanita sekalipun dalam kes-kes yang kesaksian wanita diterima seperti dalam kes yang melibatkan pertikaian harta.

1. Antara hujah-hujah mereka adalah tafsiran kepada ayat al-Quran dalam Surah al-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:


“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.”


Menurut al-Mawardy (al-Ahkam al-Sultaniyyah), lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal fikiran sedangkan terdapat kekurangan wanita dari aspek itu.

2. Berdasarkan Hadis:

“Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang melantik wanita mengendalikan urusan mereka.” (Sahih Bukahry. Jil. 9)



3. Dalil Aqli: Tugas seseorang Hakim memerlukan ia duduk di antara pihak-pihak yang bertelagah termasuklah dari kalangan lelaki jadi ditakuti akan menimbulkan fitnah.



4. Faktor sejarah: Tiada sebarang riwayat yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. dan para Khulafa al-Rashidin pernah melantik hakim dari kalangan kaum wanita dan ini diikuti oleh pemerintah Islam selepas itu. Jika dibenarkan, sudah tentu akan tercatat di dalam sejarah bahawa pernah dilantik hakim wanita walaupun seorang.

Manakala Mazhab Hanafi pula dikatakan menerima perlantikan Hakim Wanita di dalam kes-kes yang selain Hudud dan Qisas. Pandangan ini berdasarkan kaedah Qiyas iaitu jika wanita diterima menjadi saksi dalam kes-kes selain Hudud dan Qisas maka dalam kes-kes yang sama wanita juga boleh menjadi Hakim. Dengan kata lain mereka menyamakan tugas memberi kesaksian dengan tugas memberi penghakiman. Hujah ini dikukuhkan dengan ayat al-Quran Surah al-Baqarah: 282….yang membolehkan wanita menjadi saksi dalam keadaan tiada saksi lelaki.

Bagi Mazhab Hanafi, ayat al-Quran yang dihujahkan di dalam Surah al-Nisa’ di atas, hanyalah dikhususkan dalam kepimpinan rumahtangga sahaja dan bukannya mencakupi hal ehwal harta, agama dan urusan amar makruf dan nahi mungkar. Manakala hadis di atas juga ditolak oleh mereka kerana ia menyatakan larangan kepada kaum wanita untuk memegang jawatan pemimpin tertinggi dan bukannya sebagai hakim. Malah ia hanyalah jawapan Rasulullah s.a.w. terhadap persoalan semasa yang dikemukakan oleh para sahabat mengenai tindakan Raja Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai pengganti baginda.

Pandangan mazhab Hanafi ini juga telah diterima dan dipersetujui oleh ulamak kontemporari iaitu Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya Fatawa Mu’asirah, juz 2. Dan seperti mana yang kita maklum, pandangan Mazhab Hanafi ini juga yang menjadi pegangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Benarkah Mazhab Hanafi membenarkan perlantikan Hakim Wanita

Menurut Tuan Guru Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad (bekas pensyarah UM, Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Fellow Kanan, Kulliyah Undang-Undang UIA) dalam kertas kerjanya bertajuk Hukum Perlantikan Hakim Syarie Wanita yang dibentangkan di Muzakarah anjuran Jabatan Mufti Selangor tahun 2006, menyatakan bahawa para mujtahidin telah ijmak bahawa tidak harus melantik wanita sebagai hakim atau kadi, malah jika pihak berkuasa bertegas mahu melantik juga hakim dari kaum wanita, maka perlantikan itu dianggap sebagai berdosa dan wanita yang menerima perlantikan itu juga berdosa kerana menerima perlantikan yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

Bagi Dato Haji Salleh, pandangan yang menyatakan mazhab Hanafi mengharuskan perlantikan Hakim wanita sebenarnya adalah “SATU SALAH TANGGAPAN” kerana hakikatnya Mazhab Hanafi juga tidak pernah mengharuskan perlantikan Hakim Wanita. Punca salah tanggapan ini kerana terdapat satu kenyataan yang dipetik dari kitab al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi karangan al-Marghinani (1936) jld 3, hal. 107 yang bermaksud:

Harus penghakiman (qadha’) wanita dalam semua perkara kecuali hudud dan Qisas sahaja”

Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh pengarang kitab ini dengan perkataan (penghakiman-al-Qadha’) bukanlah bermaksud mengharuskan melantik hakim wanita secara total kerana perlu dibezakan antara tindakan pemerintah melantik Hakim (al-tauliah wa al-taqlid) dengan perbuatan hakim menjatuhkan hukuman (al-Qadha’). Justeru, apa yang dimaksudkan dengan kenyataan ini adalah tindakan pemerintah untuk melantik Hakim wanita tetap dilarang dan berdosa tetapi jika dilantik juga hakim dari kalangan wanita maka hukuman atau keputusan yang dijatuhkan oleh hakim wanita itu tetap dikira sah dan lulus pada kes-kes selain Hudud dan Qisas jika menepati al-Quran dan Sunnah. Menurut Dato’ Hj Salleh lagi dalam tulisannyai:


“Kesimpulannya fuqaha’ dalam mazhab Hanafi bersatu pendapat dengan mazhab jumhur fuqaha’ tentang hukum haram melantik wanita sebagai hakim dan berdosa raja atau mana-mana pihak berkuasa yang melantiknya. Perbezaannya ialah apakah hukuman wanita itu lulus (boleh dikuatkuasakan) atau tidak? Jumhur Fuqaha’ berpendapat tidak lulus hukumannya sama sekali. Sementara ulama mazhab Hanafi berpendapat hukuman lulus dengan dua syarat:

i. Hukuman itu hendaklah pada yang lain daripada Hudud dan Qisas;

ii. Hukuman itu hendaklah menepati al-Quran dan al-Sunnah.


Perbahasan mengenai kesilapan memetik pandangan dari Mazhab Hanafi ini juga turut dikupas dengan panjang lebar oleh Dr Muhammad Ra’fat Usman dalam bukunya al-Nizam al-Qadha’I fi al-Fiqh al-Islami.


Jika hujah ini diterima, timbul persoalan, apakah hujah yang digunakan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam melantik Hakim wanita ini tepat kerana mengikut pandangan ini Mazhab Hanafi sendiri tidak membenarkan perlantikan Hakim wanita.

Realiti

Dalam satu kertas kerjanya yang bertajuk Hakim Wanita: Suatu Paradoks, Prof Madya Datin Dr Siti Zalikhah Md Noor telah menyatakan tentang kedudukan beberapa Negara Islam yang sudah pun melantik wanita sebagai hakim iaitu Sudan dan Pakistan yang kedua-duanya berpegang kepada Mazhab Hanafi. Manakala Negara Indonesia juga telah lama melantik hakim wanita di dalam Pengadilan Agamanya yang menyamai Mahkamah Syariah di Malaysia. Kajian yang dibuat pada tahun 2004, terdapat lebih ramai hakim wanita di Pengadilan Agama di seluruh Indonesia walaupun mereka berpegang kepada mazhab Syafii. Di Malaysia, para wanita juga telah menjawat jawatan yang penting dalam institusi kehakiman Negara malah sudah ramai peguam syarie, pegawai syariah, pendaftar mahkamah syariah juga dilantik dari kalangan kaum wanita.

Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mempertikaikan keputusan Jawatankuasa fatwa kebangsaan, kerana, kita yakin sebelum keputusan membenarkan perlantikan Hakim Wanita ini dibuat, pihak yang berkenaan seperti para mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sendiri telah beberapa kali mengadakan seminar dan wacana mengenai isu ini. Apa yang dipaparkan di sini hanyalah beberapa hujah untuk dikongsi bersama dengan pembaca yang masih ragu-ragu dan keliru dengan situasi yang berlaku.


Pandangan Dato’ Haji Salleh, walaupun mungkin tidak diterima pakai ketika ini, namun kajian mengenainya harus diteruskan kerana ia telah memberi dimensi baru dalam isu ini disokong dengan hujah yang mantap. Apa pun, terserahlah kepada ulil amri untuk menentukan pendapat mana yang sesuai dilaksanakan ketika ini. Walaupun begitu, apa yang pasti, ulil amri juga mempunyai kuasa untuk menerima pakai pandangan yang lain di masa-masa akan datang jika didapati perlantikan hakim wanita ini ia bersesuaian dan tidak mendatangkan masalah.

Namun begitu amatlah tidak wajar sama sekali bagi sesetengah orang yang mensifatkan perlantikan Hakim Wanita di Mahkamah Syariah merupakan satu kejayaan kepada perjuangan memartabatkan kaum wanita di Negara ini. Perlantikan seseorang hakim adalah berdasarkan kriteria yang sangat ketat serta mengikut keperluan. Ia bukan kerana perjuangan kaum wanita dan bukan juga kerana untuk memartabatkan wanita tetapi ia kerana adanya nas-nas dan pandangan yang jelas bersumberkan al-Quran dan Sunnah yang membenarkannya.

*Penulisan ini hanyalah sekadar ulasan ringkas dan tafsiran bebas penulis terhadap makalah-makalah seperti di bawah:

1. Kriteria Perlantikan Hakim Syarie Wanita (Dato’ Syeikh Hj Ghazali Abd Rahman-Mantan Ketua Hakim Syarie Malaysia) JH Mac 2007

2. Hakim Wanita: Satu Paradoks ( Prof Madya Datin Dr. Siti Zalikhah Md Noor-Pensyarah Jabatan Syariah UKM) JH Jun 2007

3. Hukum Perlantikan Hakim Syarie Wanita (Dato’ Hj Md Salleh Hj Ahmad-Fellow kanan Kulliyah Undang-Undang UIA dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor) JH September 2007

Rujukan tambahan:

1. Dr Muhammad Ra’fat Usman, al-nizam al-Qadha’I fi al-Fiqh al-Islamy

2. Dr Abdul Karim Zaidan, Nidzam al-Qaha’ Fi al-Syariat al-Islamiyah

Friday, July 09, 2010

Germany's Mesut Ozil recites Holy Quran before World Cup matches

Germany's Mesut Ozil recites Holy Quran before World Cup matches

Berlin, July 3, IRNA - Germany's new star midfielder Mesut Ozil who is of Turkish-origin, recites the Holy Quran before the World Cup matches in a bid to help him focus.

Talking to the Berlin-based daily Der Tagesspiegel on Saturday, Ozil said, "I always do that before I go out (on the pitch). I pray and my team-mates know that they cannot talk to me during this brief period."

A third generation Turkish-German, Ozil has become one of the superstars at the 2010 World Cup in South Africa.

Triple World Cup winners Germany are to face Argentina in the World Cup quarter-finals in Cape Town later in the day in what is seen as a the battle of the football titans.

Sunday, July 04, 2010

Dua Wanita Dilantik Hakim Syarie


mStar Online : Dua Wanita Dilantik Hakim Syarie



Dua Wanita Dilantik Hakim Syarie

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan buat julung kalinya pelantikan dua orang wanita sebagai Hakim Syarie.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Suraya Ramli, 31, dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"(Pelantikan ini) bagi mempertingkatkan keadilan dalam sesuatu kes berkaitan kekeluargaan dan hak-hak wanita dan keperluan semasa," katanya pada majlis Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12 di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibaca Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Najib berkata keputusan luar jangka itu merupakan sebahagian komitmen kerajaan bagi menggalakkan transformasi dalam JKSM.

"Sebagai contoh, bagi mentranformasikan institusi perundangan syariah, kerajaan telah bersetuju memperuntukkan kewangan sebanyak RM15 juta kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi membantu pihak-pihak yang teraniaya akibat daripada kegagalan pihak suami dalam melaksanakan perintah nafkah di Mahkamah Syariah...ini adalah satu komitmen kerajaan yang tidak pernah digambarkan sebelum ini," katanya.

Najib berkata, selain itu, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim daripada 58 tahun kepada 66 tahun.Beliau berkata, kerajaan juga bersedia membantu untuk memberi peluang dan galakan kepada pegawai syariah yang ingin melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Katanya, insentif itu dapat meningkatkan kepakaran pegawai syariah dalam bidang masing-masing dan seterusnya mendepani polemik dan permasalahan isu syariah baru yang semakin kompleks.

Isu semasa dan global seperti perebutan hadhanah (hak jagaan anak) bagi pihak berlainan agama, perebutan mayat, pengesahan status agama, pertikaian harta pusaka di kalangan orang Islam dan bukan Islam, kehadiran peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah serta kes tuntutan yang mencapai nilai berbilion ringgit menuntut kepakaran dan kebijaksanaan yang tinggi dalam menyelesaikan pertelingkahan tersebut, katanya.

Justeru, katanya, corak pengurusan JKSM perlu ditransformasikan secara lebih kreatif dan gaya kepimpinan yang inovatif dalam memartabatkan Mahkamah Syariah dan memperkasa integriti para hakim dan pegawai syariah.

"Pegawai Syariah dan Hakim Syarie juga hendaklah bijak dan berani dalam memberikan pentafsiran yang lebih menguntungkan umat Islam dan masyarakat keseluruhannya," katanya.

Bagaimanapun, Najib meminta segala perancangan yang bakal dilakukan perlu dibuat secara berhemah dan beretika.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, bilangan rakyat yang memeluk agama Islam kian bertambah dengan seramai 76,663 orang sejak 2000 hingga 2009.

Katanya, faktor kepelbagaian penduduk yang berbilang kaum dan agama mendorong kepada statisik berkenaan - BERNAMA