Wednesday, June 16, 2010

Kes-Kes Nusyuz Di Mahkamah Syariah: Cabaran Dan Permasalahannya

Kes-Kes Nusyuz Di Mahkamah Syariah: Cabaran Dan Permasalahannya*

Oleh: Hamdi Bin Ishak



*Kertas kerja asal dibentangkan di Seminar Pemahaman Enakmen Keluarga Islam Kedah di Baling, Kedah pada 22 April 2010 anjuran Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Jawatankausa Syariah Badan Peguam Kedah/Perlis.

*Kertas Kerja asalnya ini ditulis dan dibentangkan dengan menggunakan format Microsoft Power Point.


Pendahuluan



Kertas kerja ini mengandungi perbincangan yang dikhususkan kepada topik masalah-masalah dan cabaran yang dihadapi dalam perbicaraan kes-kes Nusyuz di Mahkamah Syariah. Dalam membincangkan topik ini penulis memilih untuk merujuk secara khusus kepada undang-undang keluarga Islam yang terpakai di Negeri Kedah iaitu Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008. Penulis juga memilih untuk merujuk kepada kes-kes yang dilaporkan di dalam jurnal-jurnal sahaja walaupun kes-kes itu bukanlah kes yang diputuskan di Mahkamah Syariah Negeri Kedah. Ini bagi memudahkan peserta Seminar membuat rujukan sendiri selepas ini.


Nusyuz Wanita Dalam al-Quran



Al-Nisa’: 34

“Dan wanita-wanita (isteri-isteri) yang kamu khuatir nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahlah diri di tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari untuk menyusahkan mereka sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar”


Nusyuz lelaki Dalam al-Quran



Surah al-Nisaa’: 128

“Dan jika seseorang perempuan bimbang (akan ) timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya maka tidaklah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai). Sedangkan sifat bakhil, kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semulajadi manusia yang ada pada manusia dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (dari melakukan kezaliman) maka sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan”


Cabaran Dan Masalah


1. Kekeliruan, kekaburan dan ketidakfahaman masyarakat tentang maksud Nusyuz itu sendiri terutama di kalangan kaum suami. Ini kerana ramai pihak telah mentafsirkan istilah ‘nusyuz’ ini dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ulamak muktabar.



2. Terdapat perkataan-perkataan atau istilah yang digunakan di dalam undang-undang membawa maksud yang seakan-akan sama seperti Nusyuz seperti berkelakuan buruk (fahisyah) atau boleh ditafsirkan sebagai membawa makna Nusyuz.



3. Isu nusyuz isteri ini telah dijadikan senjata ampuh bagi para suami dan telah cuba dibangkitkan oleh pihak suami dalam semua kes termasuk dalam tuntutan mutaah, fasakh kerana penganiayaan, hadhanah, harta sepencarian dan sebagainya.



4. Prosedur tuntutan nusyuz yang berubah-ubah dan kurang jelas baik prosedur Mal mahupun Jenayah.



5. Beban Pembuktian yang berat dalam kes-kes nusyuz.


Nusyuz Menurut Undang-Undang



Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 tidak memberi sebarang tafsiran secara khusus sebagaimana istilah-istilah fiqh lain. Di Kelantan, Enakmen 1983 memperuntukkan:



“suatu tindakan isteri terhadap suaminya yang dianggap derhaka menurut Hukum Syarak”



Seksyen 115 Enakmen Keluarga Islam Kedah, 1979*



“ Seseorang yang dengan sengaja tidak menurut perintah yang munasabah atau tidak taat dan tamkin kepada suaminya atau tidak menjalankan tugas-tugasnya sebagai seorang isteri, hendaklah apabila dithabitkan nusyuz dan gugur semua haknya di sisi Hukum Syarak “.


*Undang-undang ini telah dimansuhkan


Nusyuz Isteri


Istilah Nusyuz hanya dikaitkan dengan tindakan isteri sahaja dan tiada tafsiran berkenaan nusyuz suami.

Walaupun terdapat undang-undang yang menyebut mengenai tindakan suami Nusyuz seperti tidak berlaku adil dalam berpoligami, menganiayai isteri, meninggal langsung isteri, namun istilah Nusyuz tidak digunakan ke atas suami



Definisi Nusyuz



Di dalam EUUKIK 2008, perkataan nusyuz disebutkan sebanyak 3 kali sahaja iaitu 2 kali disebutkan di dalam sek 60 dan sekali disebutkan di dalam sek 66. Di dalam Sek. 60 disebutkan berkaitan hak isteri untuk mendapat nafkah dari suaminya semasa dalam pernikahan, manakala sek 66 pula adalah mengenai hak isteri untuk mendapatkan nafkah ketika di dalam iddah.


Ringkasnya, isu Nusyuz hanya berkaitan dengan nafkah isteri semasa dalam pernikahan dan selepas perceraian atau di dalam iddah.


Sek. 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah (EUUKIK) 2008.


(2) Tertakluk kepada Hukum Syara’ dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia NUSYUZ atau enggan dengan tidak munasabah menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain-

  1. apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya.
  2. apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
  3. apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,

tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syara’.



(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi NUSYUZ.



Fakta Penting Berkaitan Nusyuz


  1. Undang-undang sangat berhati-hati memberi kuasa kepada para suami.
  2. Hukum Syarak yang menjadi rujukan utama.
  3. Perlu kepada pengesahan Mahkamah.
  4. Bukan semua arahan atau perintah suami yang wajar dipatuhi tetapi hanya perintah yang sah sahaja.
  5. Rangkaikata “enggan dengan tidak munasabah” dan “tanpa apa-apa sebab yang sah menurut Hukum Syarak” menunjukkan bahawa ketaatan isteri kepada suaminya itu tidak bersifat mutlak.
  6. Tidak berkekalan tetapi mungkin juga bersifat sementara sahaja iaitu apabila isteri bertaubat


Kes-Kes Nusyuz Di Mahkamah Syariah


  1. Kebanyakan kes-kes nusyuz yang dibangkitkan di Mahkamah adalah berkaitan tindakan isteri meninggalkan rumah yang suaminya. Namun, sejak kebelakangan ini, penulis mendapati semakin banyak muncul kes-kes nusyuz di mana pihak suami mendakwa isterinya mempunyai hubungan intim dengan lelaki lain.
  2. Dalam kes dakwaan isteri meninggalkan rumah, sebelum mensabitkan nusyuz, biasanya Mahkamah akan merujuk kepada Hukum Syarak terlebih dahulu seperti tentang keadaan tempat tinggal (maskan syarie) atau rumah yang dicadangkan tersebut.



Tempat Tinggal (Maskan Syar’ie)


Perkataan ‘Maskan Syarie’ adalah diambil daripada bahasa Arab yang bermaksud tempat tinggal atau rumah yang sesuai yang wajib disediakan oleh suami kepada isterinya berdasarkan kemampuan suami dan kedudukan isteri mengikut sebagaimana yang digariskan oleh Hukum Syara`.



Al-Quran ( Al-Talaq – ayat 6 )telah menegaskan bahawa :-


Maksudnya : “ Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani eddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu ”.



Menyediakan tempat tinggal merupakan kewajipan suami terhadap isterinya sebagaimana diwajibkan suami menyediakan peruntukan nafkah yang lain seperti pakaian, makan-minum, perhiasan, giliran, nafkah batin dan sebagainya.


Ciri-Ciri Maskan Syarie Menurut Fuqaha’



Kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh’ jil. 10, m/s ; 8392 karangan Dr Wahbah al-Zuhayli, yang menyebut :-



“ Para Fuqaha’ telah sepakat menyatakan bahawa di antara ciri-ciri Maskan Syarie itu hendaklah mempunyai prasarana-prasarana yang sekurang-kurangnya (dharuriah) menurut kebiasaan terdapat di dalam sebuah rumah iaitu bilik air, dapur dan perabut. Dan prasarana-prasarana tersebut hendaklah dikhususkan untuk kegunaan maskan itu sahaja kecuali sekiranya suami itu faqir ia bolehlah tinggal di dalam sebuah bilik daripada bilik-bilik yang terdapat dalam sebuah rumah dan terdapat orang lain yang tinggal di situ dengan syarat jiran-jirannya terdiri daripada mereka yang Sollehin. ”


Ciri-ciri Maskan Syarie Menurut Mahkamah


Di dalam Kes Abd. Hanif v. Robiah Jld. IX Bahagian 1 JH (1418H-1997) 58, Hakim Dato’ Syeikh Ghazali Bin Abdul Rahman telah menggariskan beberapa ciri maskan syarie itu. Antaranya adalah ;


  • Tempat tinggal yang disediakan adalah berasingan dan sesuai dengan taraf kewangan suami.
  • Tempat tinggal itu sesuai dengan keadaan kedua-dua suami isteri dan dapat memberi perlindungan cukup untuk menjaga diri dan harta benda.
  • Cukup dengan keperluan sebagai tempat tinggal dengan hamparan dan perabot.
  • Tempat itu lengkap dengan bahagian penting seperti bekalan air, tandas, dapur dan sebagainya.
  • Tempat itu tidak mendatangkan gangguan kepada dia daripada sesiapa yang turut tinggal di situ.
  • Tempat itu diduduki oleh jiran-jiran yang seagama.


Kes Khatijah lwn Ismail (1981) 6 JH 269

  • Pihak Menuntut telah menuntut perceraian ta’alik talak kerana suaminya telah meninggalkannya lebih daripada enam tahun.
  • Selepas perkahwinan mereka telah tinggal di rumah Pihak Menuntut selama lebih kurang 40 hari.
  • Kemudiannya PKT telah mengajak PM berpindah ke sebuah rumah yang tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna di kilang di mana PKT berkerja.
  • Permohonan perceraian ini telah ditolak oleh Kadi kerana PM didapati telah enggan untuk mengikut PKT dan tinggal bersama dengan PKT dirumah yang disediakan. “


Keputusan Rayuan


PM telah membuat rayuan dan Jawatankuasa Rayuan telah memutuskan bahawa Kadi telah membuat kesilapan apabila menolak permohonan isteri berdasarkan bahawa ia tidak mahu tinggal di tempat tinggal yang disediakan suaminya sedangkan rumah tersebut hanyalah seperti sebuah stor di tempat kerja suaminya.


Oleh itu keengganan untuk tinggal bersama dengan suami di bilik yang disediakan tidak sesuai dengan kedudukan isteri tidak boleh dianggap nusyuz.


Kes Aisny lwn Haji Fahro Razi (1990) 7 JH 216



Fakta Kes: Aisny telah menuntut disahkan perceraian mereka kerana suaminya, Haji Fahro Razi telah melanggar ta’alik yang dilafazkannya apabila telah gagal menyediakan nafkah untuknya selama lebih 4 bulan.


Di dalam Pembelaannya, suami telah membangkitkan dakwaan Nusyuz bahawa isterinya telah meninggalkan rumah tanpa keizinan dari suami.

Nas dari Kitab al-Muhazzab juzuk 2, ms 160 dirujuk:



“Dan jika seseorang perempuan berpindah dari rumah suaminya kepada rumah yang lain dengan ketiadaan izin suaminya maka gugurlah nafkahnya sama ada suami itu ada atau ghaib, kerana perbuatan perempuan tersebut terkeluar daripada kekuatan klekuasaannya dan ketaatannya kepada suaminya, maka gugurlah nafkahnya, maka jadilah ia sebagai orang yang ingkar terhadap suaminya.”


Penghakiman oleh Lembaga Rayuan Syariah:


“Dari fakta di dalam kes ini jelas pihak isteri terpaksa berbuat demikian kerana ia tidak mampu membayar ansuran yang tinggi atas rumah itu. Ia telah memutuskan ada baik berpindah kepada rumah yang lain supaya rumah yang pertama itu dapat disewakan. Rumah-rumah itu juga kepunyaan mereka berdua yang asal itu atas nama isteri dan yang kedua itu atas nama suami.

Selepas isteri berpindah ke rumah baru pada Disember 1996, terdapat juga suami ikut tinggal dengannya di rumah itu hingga pertengahan tahun 1997 sebelum ia meninggalkan mereka. Keadaan ini menunjukkan suami meredai atas isterinya berpindah rumah. Isteri tidak menjadi nusyuz dan berhak mendapat nafkah.”


Kes Normah lwn Ahmad Kamarudin (1977) 5 JH 355


  • Normah membuat tuntutan cerai taklik terhadap suaminya kerana suaminya telah menghantarnya ke rumah bapanya dan telah gagal mengambilnya semula dan juga gagal memberi nafkah kepadanya. Suami pula mendakwa bahawa isterinya telah dihantar pulang atas persetujuan bersama kerana isterinya akan bersalin. Namun selepas bersalin, suami telah berusaha menjemput isterinya lebih dari 10 kali tetapi isterinya enggan mengikutnya pulang.Suami mengaku bahawa ia telah tidak memberi nafkah kepada isterinya kerana tidak taatkannya.


  • Selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak dan saksi mereka , Mahkamah menolak tuntutan isteri kerana ketaatan isteri kepada suaminya diragukan.”


Kesimpulan

  • Meskipun di dalam undang-undang, peruntukan mengenai Nusyuz ini kurang jelas, namun Mahkamah merujuk kepada pandangan fuqaha’ bagi mendapat gambaran yang sebenar.
  • Sabitan Nusyuz tidak dibuat sewenang-wenangnya oleh pihak Mahkamah, sebaliknya dibuat dengan sangat berhati-hati.
  • Pihak isteri mempunyai ruang yang sangat luas untuk mempertahankan haknya di mahkamah sekiranya isu nusyuz ditimbulkan oleh pihak suami.



Isu Nusyuz dalam Kes Mutaah


Sek. 58 EUKIK 2008



“Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak”



Kes Piah Binti Said lwn Che Lah Bin Awang (1983) 3 JH 220


Dalam kes ini isu nusyuz telah dibangkitkan oleh suami. Terdapat bukti bahawa isteri telah meninggalkan rumah kediaman kerana telah dikasari oleh suaminya. Usaha-usaha perdamain juga tidak berhasil. Mahkamah telah memutuskan bahawa isteri tidak berhak mendapat nafkah ‘iddah tetapi berhak mendapat mutaah.



Kadi Besar, Haji Harussani bin Zakaria telah berkata:


“Mutaah adalah pemberian yang tertanggung ke atas suami yang menceraikan isteri. Tanggungan mutaah tidak gugur dalam apa [pun perceraian berlaku kecuali jika perceraian itu disebabkan keaiban di pihak isteri terhadap suaminya atau sebaliknya atau perceraian kerana mati.


Tersebut di dalam Kitab Kifayah al-Akhyar, juz 2, ms. 42 iaitu:


“Mutaah adalah nama harta yang dibayar atau diberikan oleh seseorang lelaki kepada isteri disebabkan oleh perpisahan dengan perempuan itu. Dan sertiap perpisahan daripada atau dari orang luar sama hukumnya dengan talak seperti saling tuduhan berzina atau bapa si suami atau anaknya menyetubuhi isteri secara syubhah dan sebagainya – setiap perpisahan dari pihak perempuan atau dengan sebab-sebab pada isteri tidak terkena mutaah pada perpisahan itu seperti ia memfasakhkan nikah kerana ketidak mampuan suami pada memberi nafkah zahir atau kerana ia menghilangkan diri atau difasakh oleh suami kerana keaiban yang ada pada isteri.”



Kes Sanisah lwn Zulkifli (2002) 15 JH 197


Dalam kes ini, isteri telah menuntut mutaah dari bekas suaminya, namun suami pula mendakwa isterinya tidak berhak mendapat mutaah akibat perceraian ini kerana isterinya sendiri yang selalu mendesak dia untuk bercerai.



Namun begitu, Mahkamah berpendapat isteri masih berhak menuntut mutaah kerana perceraian itu berlaku di luar mahkamah. Dalam penghakimannya, YA Hakim menyatakan:



“Walaupun defendan mendakwa dia menceraikan isteri akibat didesak oleh isteri tetapi beliau sepatutnya tidak menceraikan isterinya, perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana isteri masih boleh mendapat mutaah disebabkan desakan seperti itu tidak dikira oleh hukum syarak sebagai desakan tetapi pilihan isteri itu sendiri, isteri tidak berhak mendapat mutaah sekiranya perceraian secara fasakh atas dua alasan, iaitu:
i. kerana suami mati pucuk atau

ii. Kerana suami murtad.


Oleh kerana perceraian itu disebabkan suami sendiri yang melafazkan cerai di luar mahkamah dan desakan itu pula bukannya desakan pada pandangan hukum syarak sudah tentulah isteri layak mendapat mutaah itu.



Nusyuz Dalam Kes Hadhanah


Sek 83 Kelayakan Yang Perlu Untuk Penjagaan



“Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika-

(1) orang itu adalah seorang Islam

(2) orang itu adalah sempurna akal

(3) orang itu berumur melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;

(4) orang itu berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan;

(5) orang itu tinggal di mana kanak-kanak I tidak mungkin menghadap apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.


Sek 84 Bagaimana hak penjagaan hilang


“Seseorang perempuan hilang hak hadhanah-

(1) Jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang…

(2) Jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka atau fahisyah;

(3) ….

(4) ….

(5) ……



Kes Nong Azman Shah lwn Ahood Thamar Badei (1997) 11 JH (II) 165


“Mahkamah telah memutuskan bahawa Yang Kena Tuntut tidak layak untuk mendapatkan hak hadhanah kerana kurang setia terhadap suaminya. Mahkamah berpendapat kelakuan buruk ini boleh menyumbang kepada pengaruh tidak sihat ke atas pemebsaran akhlak anak-anak mereka.”


Prosedur


Menurut Undang-undang, kes-kes nusyuz boleh difailkan dan didaftarkan melalui :

· Prosedur Kes Mal

· Prosedur Kes Jenayah.



Kes Mal:



Secara umumnya, tiada sebarang prosedur yang khusus dan jelas diperuntukkan dalam kes-kes nusyuz. Jadi, sepatutnya prosedur kes-kes nusyuz ini sama seperti kes-kes Mal yang lain iaitu boleh dimulakan sama ada melalui Saman atau Permohonan.



Namun Kes Nusyuz ini agak unik kerana ia boleh difail dan dibicarakan melalui beberapa cara, iaitu:

  • · Kes induk iaitu melalui Permohonan atau Saman.
  • Pembelaan atau Tuntutan Balas sahaja



Terdapat keputusan Mahkamah yang memerintahkan agar kes nusyuz difailkan terlebih dahulu sebagai kes induk sebelum digunakan di dalam pembelaan bagi kes-kes perceraian.



Kes Fakhariah lwn Johari (1994) 9 JH 69



Kes ini adalah Kes Rayuan Mal berlaku pada 1988 di Selangor. Fakta kesnya adalah isteri menuntut cerai taklik dengan alasan suaminya telah gagal memberi nafkah kepadanya lebih 4 bulan.

Di dalam perbicaraan suami membangkitkan isu bahawa isterinya tidak berhak mendapat nafkah kerana telah Nusyuz, iaitu keluar meninggalkan rumah tanpa keizinan. Dalam penghakiman mereka, Mahkamah Rayuan telah menyatakan:



Keterangan yang diberi dalam kes ini menunjukkan walaupun isteri itu tidak lagi tinggal bersama suami itu selepas 25 November 1986, suami tidak membuat apa-apa aduan kepada Mahkamah bahawa isterinya nusyuz dan tidak mengambil langkah untuk mendapat perintah nusyuz dari mahkamah……. …Di atas alasan ini juga kami berpendapat isteri berhak mendapatkan cerai takliknya disabitkan”



Berdasarkan kes di atas, jelas bahawa apabila suami mendapati isterinya Nusyuz, suami perlu memulakan tindakan proaktif iaitu dengan membuat aduan ke mana-mana Pejabat Agama untuk satu sesi kaunseling untuk menasihati pihak-pihak bagi menyelesaikan krisis yang dihadapi.




Jika suami tidak mengambil sebarang tindakan wajar, maka kemungkinan isteri tidak dapat disabitkan sebagai Nusyuz.



Nusyuz ini biasanya akan dimulakan dengan tuntutan taat terlebih dahulu yang dikemukakan oleh suami. Jika selepas perintah isteri taat dikeluarkan, isteri masih lagi enggan, maka isteri boleh disabitkan Nusyuz.



Prosedur Selepas Tahun 2001


Pada tahun 2001, pihak JKSM telah mengeluarkan pelbagai Arahan Amalan yang bertujuan untuk menjelaskan prosedur tuntutan di Mahkamah Syariah yang kabur dan kerap menimbulkan masalah. Arahan-Arahan Amalan ini telah dikeluarkan melalui mesyuarat –mesyuarat yang dihadiri dan dipersetujui oleh Ketua-Ketua Hakim Syarie di seluruh Malaysia.



Salah satu Arahan Amalan yang dikeluarkan adalah khusus mengenai prosedur kes Nusyuz iaitu di dalam Arahan Amalan No. 11 Tahun 2001 yang menyatakan:


“Kes ini hendaklah didengar di dalam kes induk dan tidak perlu dibuat secara berasingan. Mana-mana kes Nusyuz yang telah diputuskan sebelum daripada permohonan cerai, tidak boleh dibuka semula dalam kes permohonan cerai tersebut. Arahan ini berkuatkuasa serta-merta.”


Kesan Dari Arahan Amalan


Pihak suami tidak boleh memfailkan sebarang kes nusyuz terhadap isterinya jika isterinya belum memfailkan apa-apa tuntutan nafkah atau perceraian yang berkaitan derngan nafkah terhadapnya. Pihak suami menjadi resah dan gelisah untuk menghentikan bayaran nafkah terhadap isterinya walaupun suami yakin dan pasti isterinya telah nusyuz.


Nusyuz Suami Dan Tindakan Isteri


· Isteri boleh menuntut cerai dengan menggunakan peruntukan taklik talak atau fasakh.


· Sek121- Permohonan oleh isteri yang ditinggal langsung

Jika seseorang telah tidak lagi hidup bersama dengan isterinya mengikut cara yang dikehendaki oleh Hukum Syarak, isteri itu boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya orang itu hidup bersama semula dengan isterinya”



Prosedur Kes Jenayah


Antara peruntukan undang-undang berkaitan dengan nusyuz isteri yang boleh didakwa menggunakan prosedur jenayah adalah:


Sek. 129 EUUKIK 2008-Isteri Tidak menurut perintah



“Seseorang perempuan yang bersengaja tidak menurut sesuatu perintah yang dieri oleh suaminya yang sah mengikut Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ratus ringgit atau bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudiannya, denda tidak melebihi lima ratus ringgit.”



Sek. 127- Ingkar perintah hidup bersama semula dengan isteri



“Jika seseorang telah diperintahkan oleh Mahkamah supaya hidup bersama semula dsengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.



Sek 129- Tidak Memberi Keadilan Sewajarnya Kepada Isteri



Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajarnya kepada isterinya mengikut Hukum Syarak adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.



Sek 128- Menganiayai isteri atau suami



“Seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.”


Kesimpulan


· Undang-Undang hanya mentakrifkan nusyuz dikaitkan dengan tindakan isteri sahaja dan tiada istilah nusyuz digunakan untuk suami.


· Sabitan nusyuz isteri hanya boleh berlaku jika keengkaran isteri itu bukan berpunca dari kegagalan suami menjalankan tanggungjawabnya.


· Nusyuz menjadi hujah pembelaan kepada suami dalam kes tuntutan nafkah sahaja dan ia tiada kaitan dengan mutaah.


· Jika suami nusyuz, isteri mempunyai pilihan sama ada untuk mendapatkan haknya iaitu layanan yang baik dari suami atau boleh juga menuntut perceraian.


· Perlu penambahbaikan prosedur Nusyuz ini kerana ia dilihat memberi terlalu banyak kelebihan kepada pihak isteri dengan sekurang-kurangnya suami dibenarkan memfailkan tuntutan isteri kembali taat.