Friday, June 11, 2010

Analisa sek. 111 (Kesahtarafan Anak) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008


Sejak 1 April 2010 yang lalu, Negeri Kedah secara rasminya telah menggunakan Undang-Undang Keluarga Islam yang baru yang dinamakan dengan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 (EUUKIK).



Setelah meneliti Enakmen tersebut, saya dapati terdapat beberapa perkara atau peruntukan undang-undang yang perlu dinilai semula dan mungkin juga perlu dipinda bagi membolehkan enakmen ini bergerak sesuai dengan ajaran Islam. Antara peruntukan undang-undang yang agak kabur dan perlu dinilai semula adalah di dalam sek. 111, iaitu:



"Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak-


  1. lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu; atau
  2. dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula,

maka anak itu HENDAKLAH dinasabkan kepada lelaki itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li'an, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.


Apa yang dapat difahami dari peruntukan di atas, jelas bahawa Undang-undang tidak memberi sebarang pilihan kepada Mahkamah untuk menolak sabitan nasab seseorang anak dengan bapanya jika anak itu dilahirkan lebih daripada 6 bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibubapanya atau 4 tahun dari tarikh perceraian ibu dan bapanya.


Lihat sahaja perkataan-perkataan yang digunakan di dalam seksyen ini seperti "….enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu…" jelas menunjukkan yang perlu diambil kira bukanlah 6 bulan dari tarikh persetubuhan seperti pandangan Mazhab Syafii tetapi dari tarikh perkahwinan yang menyamai pandangan Mazhab Hanafi.


Perkataan "HENDAKLAH DINASABKAN" yang disebut di dalam undang-undang ini jelas menunjukkan bahawa Mahkamah tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan mesti menasabkan anak tersebut kepada lelaki yang mengahwini ibunya.


Inilah yang membezakan antara undang-undang ini dengan undang-undang yang lama yang tidak menggunakan perkataan "hendaklah dinasabkan" sebaliknya digunakan perkataan "boleh disifatkan sebagai bapa".


Hanya terdapat satu pengecualian sahaja bagi Mahkamah untuk tidak menasabkan anak tersebut iaitu jika bapa tersebut membuat penafian anak itu dengan cara LI'AN. Ini juga menyamai pandangan Mazhab Hanafi.


Walaupun dalam Mazhab Syafii ditetapkan beberapa syarat lain seperti syarat mesti ada kemungkinan pasangan itu dapat bertemu seperti mereka tidak tinggal di tempat yang berjauhan (imkan al-talaqqi) antara suami isteri itu, namun syarat tersebut tidak diambil kira dalam undang-undang ini.

Selain itu, dalam EUUKIK 2008 ini juga tidak memperuntukkan mengenai kedudukan anak yang dilahirkan melalui penzinaan ibubapanya. Sedangkan menurut pandangan fuqaha yang muktabar. anak hasil penzinaan tidak diterima sebagai anak yang sahtaraf sama sekali walaupun dilahirkan di dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pernikahan kerana anak ini sudah jelas dan terang terhasil melalui penzinaan. Ini jelas dalam hadis nabi:


الولد للفراش وللعاهرالحجر


Maksudnya: "Anak adalah hak pemilik hamparan (al-firasy) sedangkan orang yang berzina (al-'Ahir)haknya adalah batu (rejam)."




Apa yang dimaksudkan dengan bagi penzina adalah batu iaitu selain direham dengan batu mereka juga tidak mendapat sabitan nasab dengan anak mereka sendiri.



Malah dalam peruntukan yang lain juga undang-undang tidak mentafsirkan anak zina sebagai termasuk dalam kategori anak tidak sahtaraf, dan ini dinyatakan dengan jelas dalam sek. 2 EUUKIK 2008 iaitu:

"tak sahtaraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah"


Namun begitu, pada bulan Mei 2010 yang lalu, tercatat satu lagi sejarah apabila Mahkamah Tinggi Syariah Alor Setar telah memerintahkan bahawa seorang anak yang telah dilahirkan dalam tempoh 7 bulan qamariah selepas pernikahan ibubapanya merupakan anak yang tidak sahtaraf kepada kedua ibubapanya walaupun bapanya tidak pernah membuat li'an.


Meskipun EUUKIK tidak menyatakan sedemikian namun Mahkamah memilih untuk mengenepikan apa yang termaktub dan tercatat di dalam EUUKIK tetapi mengambil pendekatan dengan merujuk kepada pandangan fuqaha' muktabar dan pandangan mufti negeri-negeri. Yang jelas peruntukan undang-undang ini perlu dipinda dengan segera kerana dilihat agak mengelirukan dan tidak dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pandangan fuqaha yang muktabar.


Berikut adalah fakta kes ini:


Pemohon-Pemohon adalah pasangan suami isteri yang telah diakadnikahkan pada 25 Oktober 2008 bersamaan dengan 25 Syawal 1429 Hijriah yang lalu. Pada 20 Mei 2009 atau bersamaan dengan 25 Jamadil Awwal 1430 Hijriyah, Pemohon kedua telah melahirkan seorang anak lelaki yang didaftarkan dengan nama ................. BIN ABDULLAH.


Bagaimanapun, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya mendaftarkan anak tersebut sebagai anak tidak sahtaraf sahaja dan anak tersebut tidak dibin dan tidak dinasabkan dengan Pemohon 1 iaitu suami kepada Pemohon 2 sewaktu anak tersebut dilahirkan.


Oleh itu, melalui kes ini, Pemohon-Pemohon memohon Mahkamah Yang Mulia ini membuat satu perintah berkenaan dengan status sebenar anak tersebut menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2008 yang telah dikuatkuasakan pemakaiannya sejak 1 April 2008 yang lalu.


Di dalam keterangan mereka, Pemohon-Pemohon jelas mengaku dan beriqrar bahawa Pemohon 2 memang telah disahkan mengandung sebelum mereka diakadnikahkan lagi.


Pemohon 1 di dalam keterangannya juga mengakui bahawa walaupun beliau mengetahui bahawa Pemohon 1 telah mengandungkan anak tersebut sebelum pernikahan dengannya namun beliau sama sekali tidak pernah menafikan anak tersebut adalah anaknya atau Li'an dan beliau yakin anak tersebut adalah anaknya.


Pemohon 2 pula di dalam keterangannya mengakui bahawa sebelum diakadnikahkan dengan Pemohon 1, beliau telah melakukan pemeriksaan di sebuah klinik dan beliau telah disahkan mengandung oleh seorang doktor yang beragama Islam tetapi tidak dapat memperincikan butiran lanjut. Namun Pemohon 2 tetap yakin bahawa anak tersebut adalah hasil hubungannya dengan Pemohon 1.


Isu utama dalam kes ini adalah status kesahtarafan anak tersebut memandangkan anak tersebut telah dilahirkan selepas 7 bulan qamariah daripada tarikh pernikahan Pemohon 1 dan Pemohon 2 dan Pemohon 1 juga tidak pernah menafikan anak tersebut adalah anaknya.


1 comment:

Anonymous said...

BAGUS SEKALI