Sunday, August 22, 2010

Status Islam: Orang Bukan Islam Juga Boleh Kemukakan Permohonan di Mahkamah Syariah-




Rayuan balu bekas pendaki Everest ditolak
Berita Harian: 21/8/2010

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan semalam memutuskan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status agama pendaki Everest, Sarjan M Moorthy atau Mohammad Abdullah yang yang penukaran agamanya kepada Islam menimbulkan pertikaian.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zainun Ali, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Clement Allan Skinner sebulat suara menolak rayuan isteri Moorthy, S Kaliammal dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan ia tiada bidang kuasa mendengar status agama Moorthy.

Kaliammal merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Disember 2005 yang mengetepikan permohonannya bagi perisytiharan bahawa suaminya beragama Hindu dan dikebumikan mengikut upacara agama berkenaan.

Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan persoalan berhubung status agama Moorthy kerana ia sudah diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam penghakimannya semalam, Zainun berkata, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk menentukan status agama seseorang.

Zainun berkata, andaian bahawa individu bukan Islam dihalang menyaman mahkamah syariah timbul daripada peruntukan yang menyatakan bahawa mahkamah itu tiada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

“Dalam kes ini, perayu tidak dihalang daripada membuat permohonan di mahkamah syariah untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya (mahkamah syariah) membincangkan isu relevan dan memutuskannya dengan adil mengikut agama dan undang-undang Islam.

“Pada pandangan kami, dalam sistem dwi kehakiman akan ada percanggahan dan mahkamah sivil sedaya upaya cuba meleraikan percanggahan itu dengan membuat interpretasi supaya tiada konflik.

“Jika percanggahan itu tidak boleh diselesaikan, maka niat Perlembagaan Persekutuan ialah penggubal undang-undang mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Dalam rayuannya, Kaliammal yang diwakili peguam M Manoharan menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Kaliammal memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2005, bagaimanapun keesokannya MAIWP mendapat perintah ex-parte daripada Mahkamah Syariah bahawa Moorthy sudah memeluk Islam sebelum kematiannya.

Perintah itu juga membenarkan MAIWP mengebumikan Moorthy mengikut agama Islam dan hukum syarak. Beliau dikebumikan pada 28 Disember 2005 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Gombak, Selangor.

Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas