Sunday, February 26, 2012

Hak anak luar nikah kekal

ARKIB : 20/02/2012

Hak anak luar nikah kekal

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Tokoh agama tempatan berpendapat keputusan Mahkamah Perlembagaan Indonesia berhubung hak anak luar nikah, sama sekali tidak boleh diterima pakai di negara ini.

Mufti Negeri Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, keputusan itu sangat bercanggah dengan hukum syarak dan keputusan fatwa kebangsaan dan negeri-negeri.

"Ia perlu ditolak dan tidak boleh dipraktikkan di negara ini kerana ia jelas bercanggah dengan agama Islam dan apa yang dipraktikkan di negara kita selama ini.

"Meskipun anak luar nikah boleh membuktikan melalui profil asid deoksiribonukleik (DNA) sekalipun, hukum syarak sudah jelas menolak dan tidak mengiktiraf mereka dalam perihal menuntut sebarang hak kepada bapa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambahnya, walaupun secara biologikal anak luar nikah boleh membuktikan secara saintifik dan disahkan sendiri oleh bapanya, dalam agama hukumnya tetap jelas dan nyata.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita di Indonesia tentang Mahkamah Perlembagaannya bersetuju memberi anak luar nikah dan anak yang lahir di luar pernikahan rasmi mendapatkan hak hubungan darah dan hubungan sivil dengan bapa dan keluarga bapa.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, keputusan mahkamah Indonesia tersebut sama sekali tidak boleh diterima apalagi dipraktikkan di negara ini.

"Perihal hak anak luar nikah sudah jelas dinyatakan dalam hukum syariat, al-Quran, hadis, ijmak ulama, malah sudah digariskan dalam mahkamah syariah serta enakmen di setiap negeri.

"Saya berpendapat ia bercanggah dengan apa yang sudah jelas dinyatakan. Jadi ia tidak boleh diterima pakai di negara ini. Kita berpegang teguh kepada ajaran Islam dan sebarang perkara yang bercanggah sama sekali ditolak," jelasnya.

Dalam pada itu, pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, keputusan itu mustahil dilaksanakan di negara ini kerana setiap negeri di Malaysia terikat dengan peruntukan enakmen keluarga Islam kerajaan negeri masing-masing.

"Jika dibicarakan di Mahkamah Syariah atau mengikut hukum syarak sekalipun, nasab anak luar nikah adalah mengikut ibu bukannya sebelah bapa.

"Sehubungan itu, mereka tidak berhak membuat sebarang tuntutan meskipun berjaya membuktikan hubungan dengan bapa secara saintifik," katanya.

Tambah beliau, anak luar nikah boleh mendapatkan hak-hak tersebut termasuk mewarisi harta pusaka sekiranya nasab bapa sendiri membenarkan atau bersetuju untuk berbuat demikian.


Indonesia: Anak Luar Nikah Berhak Tuntut Harta Bapa

Utusan Malaysia Online - Terkini

Anak luar nikah ada hak tuntut harta bapa

18/02/2012 2:47pm

JAKARTA 18 Feb. - Mahkamah Perlembagaan Indonesia semalam membuat satu keputusan penting yang memberi hak hubungan darah dan hubungan sivil dengan bapa dan keluarga bapa, kepada anak-anak yang lahir di luar pernikahan rasmi dan yang lahir di luar nikah.

Ia sekaligus memberi mereka hak kepada harta pusaka bapa mereka, dengan syarat hubungan pertalian darah itu dapat dibuktikan secara saintifik atau alat bukti yang dibenarkan oleh undang-undang.

Status itu diperoleh apabila Mahkamah Perlembagaan memansuhkan satu seksyen dalam Undang-undang Perkahwinan 1974, yang menyatakan bahawa anak-anak yang lahir di luar perkahwinan hanya mempunyai hubungan sivil dengan ibu dan keluarga ibu mereka.

Dalam keputusan itu, sembilan hakim Mahkamah Perlembagaan bersetuju bahawa artikel itu tidak berpelembagaan.

"Saya ingin menekankan bahawa sejak keputusan hari ini, anak yang lahir di luar perkahwinan rasmi, baik itu kahwin siri (pernikahan secara agama yang tidak didaftarkan), perselingkuhan atau hidup serumah tanpa nikah adalah mempunyai hubungan darah dan hubungan sivil dengan bapanya," kata Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Mahfud MD.

Keputusan itu dibuat berikutan permohonan kajian semula undang-undang yang dikemukakan seorang penyanyi dangdut, Machica Mochtar atau Aisyah Mochtar yang mempunyai anak hasil perkahwinannya dengan Moerdiono, seorang bekas menteri di era Orde Baru atau pemerintahan Soeharto.

Bagaimanapun, pernikahannya itu hanya secara agama dan tidak didaftarkan secara rasmi. Mereka bernikah pada tahun 1993 tetapi bercerai pada 1998.

Moerdiono meninggal dunia pada Oktober tahun lepas, namun keluarga bekas suaminya itu dilaporkan menolak sebarang hubungan dengan anaknya yang bernama Muhammad Iqbal Ramadhan itu.

Machica mengemukakan permohonan itu kerana berasa dirugikan, khususnya untuk mendapatkan status undang-undang untuk anaknya. - BERNAMA


Tuesday, January 10, 2012

Ust Azhar Idrus- Nikah Penzina

Kahwin Dengan Anak Zina - Ustaz Azhar Idrus

Berita Harian Online | Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu

Berita Harian Online | Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu

Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu


2012/01/10

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa yang pernah menyaman anak lelakinya bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya hampir dua tahun lalu, semalam mengemukakan empat tuntutan baru terhadap anak sulungnya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, berikutan kegagalan defendan membayar nafkah dipersetujui sebelum ini.

Mustafa Ismail, 66, membuat tuntutan terhadap Nasrun Mustafa, 39, supaya membayar tunggakan nafkah penjagaan dua a anak defendan, sejak dia menjaga dua beradik berkenaan lapan tahun lalu sebanyak RM18,866 iaitu RM9,309 bagi anak lelaki defendan kini berusia 17 tahun dan RM9,556 bagi anak perempuan, kini 15 tahun.

Dalam tuntutan yang difailkan melalui peguam, Fazru Anuar Yusoff, Mustafa yang juga pesara sebuah syarikat cari gali turut memfailkan tuntutan duit raya sebanyak RM1,000 setahun.
Selain itu, plaintif mengemukakan tuntutan supaya defendan kembali taat dengan pulang ke kampung menjenguk ibu bapa dan dua anaknya selain menuntut defendan memohon ampun kepadanya dan isteri, Che Meriam Abdullah, 58.

Warga emas itu juga memfailkan permohonan menuntut defendan yang berkhidmat sebagai pengurus syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan membayar RM400 sebulan kepadanya dan isteri sebagai saraan hidup.

Hakim Rushdi Harun menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan dua anak defendan dipanggil untuk memberi keterangan.

Akhbar pada Julai 2010 melaporkan bapa memfailkan tuntutan terhadap anak lelakinya untuk memberi nafkah kepada dua cucunya yang diabaikan defendan sejak ditinggalkan bersama plaintif tujuh tahun sebelum itu.
Dalam tuntutan itu, plaintif berkata, defendan meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama.