Friday, April 15, 2011

Tuduhan zina perlu bukti kukuh

Peguam Syarie Menulis: Tuduhan zina perlu bukti kukuh
Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
2011/03/30


Orang ramai patut lapor jabatan agama, elak perbicaraan terbuka





ZINA, suatu perkataan yang masyarakat Islam secara umum mengetahui definisinya, iaitu persetubuhan dilakukan seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak, bukan pasangan suami isteri, pelaku kedua-duanya orang yang mukallaf dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif persetubuhan meragukan (wati’ syubhah).


Menurut hukum syarak, seorang penzina muhson iaitu seseorang yang sudah baligh, berakal, merdeka dan sudah pernah berkahwin, apabila disabitkan melakukan perzinaan wajib dikenakan hukuman hudd (rejam) iaitu dibaling dengan batu sederhana besar hingga mati.





Manakala bagi penzina ghair muhson iaitu seseorang penzina yang tidak cukup syarat dinyatakan di atas, hendaklah disebat sebanyak 100 kali sebatan, seperti firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat dua yang bermaksud: “Perempuan berzina dan lelaki berzina, hendaklah kamu sebat tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat dan jangan kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman.”




Pesalah juga boleh dihukum buang negeri selama setahun seperti terdapat dalam kitab Kifayatul Ahyar, juzuk dua, muka surat 178 yang bermaksud: ”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan ke atas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”




Zina boleh disabitkan dengan ikrar atau pengakuan si pesalah atau dengan keterangan empat saksi yang cukup syaratnya. Namun, sejarah Islam mencatatkan bahawa kebanyakan sabitan zina pada zaman Rasulullah SAW adalah melalui pengakuan salah.




Dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah SAW dalam masjid dan mengaku melakukan zina. Baginda berpaling ke arah lain seperti tidak melayannya sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Selepas itu Baginda bertanya, ‘adakah engkau gila?’ Dia menjawab ‘tidak’. Rasulullah SAW bertanya lagi, ‘adakah engkau berkahwin?’ Dia menjawab ‘ya’. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat membawa lelaki terbabit untuk direjam.




Dalam suatu riwayat dari Sulaiman Buraidah, bahawa seorang wanita dari qabilah al-Ghamidiyah datang berjumpa Rasulullah dan mengaku bahawa dia mengandung hasil perbuatan zina. Baginda meminta wanita itu pulang untuk melahirkan dan menyusukan anak itu terlebih dulu sehingga tamat tempoh susuan baru beliau diperintahkan untuk direjam.




Seseorang yang mengaku melakukan zina kemudian menarik balik pengakuannya diterima penarikan balik itu kerana Rasulullah SAW diriwayatkan menegur sahabat Baginda dengan keras apabila mereka meneruskan hukuman terhadap Ma’iz Malik yang melarikan diri ketika hukuman dijalankan.




Walaupun hukuman terhadap kesalahan zina ditetapkan dalam al-Quran, namun bentuk hukuman ditakninkan dalam Akta Jenayah Syariah pada masa ini lebih kepada hukuman takzir. Seksyen Dua Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam dan untuk kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman itu.



Seksyen 23 (1) dan (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa (1) Mana-mana lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. Manakala sub-seksyen (2) akta itu memperuntukkan hukuman yang sama kepada mana-mana perempuan yang melakukan persetubuhan dengan lelaki bukan suaminya.




Apabila seseorang atau lebih mengetahui maklumat mengenai berlakunya persetubuhan luar nikah, laporkan perbuatan itu kepada Jabatan Agama Islam untuk diambil tindakan, ditangkap, ditahan, disiasat dan didakwa di mahkamah. Kesalahan persetubuhan luar nikah adalah ‘kesalahan boleh ditangkap’, iaitu pegawai penguat kuasa agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran.



Tindakan menyebarkan perbuatan itu kepada khalayak ramai dan menjadi perbincangan umum suatu yang tidak baik untuk masyarakat. Disebabkan mahukan kemenangan politik, nilai moral manusia dikikis. Kehendak emosi dan politik menjadi lebih penting daripada tanggungjawab undang-undang dan moral.




Dari sudut lain, ia mencerminkan kelemahan umat Islam dan memburukkan Islam di mata masyarakat bukan Islam. Walhal, segala prosedur perundangan perlu dilakukan di mahkamah, bukan di tempat lain.




Menuduh seseorang yang baik lagi suci melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil hukumnya haram, termasuk dalam dosa besar dan boleh dikenakan hukuman had qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebatan dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq.




Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat empat bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi. Maka sebat mereka 80 kali sebatan dan jangan kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu orang yang fasiq.” Walaupun dalam ayat itu menyebut kesalahan menuduh zina kepada wanita, ijma’ ulama bersepakat bahawa tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini.




Akta Kesalahan Jenayah Syariah juga ada memperuntukkan mengenai kesalahan qazaf dalam Seksyen 41 akta itu menyebut “kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan bukti, mengikut hukum syarak, empat saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”




Jika aduan dibuat secara tertutup menurut saluran ditetapkan, ia akan dibicarakan dalam mahkamah dengan mengemukakan bukti dan saksi yang boleh membantu dakwaan.


Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, e-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com

Hukum hudud terhalang jika ada unsur syubhah

Hukum hudud terhalang jika ada unsur syubhah
Oleh Shamrahayu A Aziz

Artikel ini telah disiarkan oleh Berita Harian pada 12/4/2011.

Pembuktian, penghakiman sesuatu kes bukan perkara mudah

PERSOALAN berkaitan pembuktian dan penghakiman bukan perkara mudah. Ia hanya boleh dibuat menerusi proses tertentu dan bersandarkan prinsip tertentu saja. Ia hendaklah dilakukan oleh orang yang berkelayakan.


Tidak semua orang boleh membuat penghakiman dan seterusnya menjatuhkan hukuman.
Seseorang yang dilantik menjadi hakim diberikan amanah dan kepercayaan untuk mengendalikan kes menurut paksi undang-undang.


Ini menjadikan jawatan hakim seumpama telur di hujung tanduk. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud (secara ringkasnya): “Terdapat tiga golongan hakim, tetapi hanya satu saja yang akan masuk syurga. Ia adalah golongan hakim yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menghukum mengikut ilmu pengetahuannya.”

Satu lagi hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan kepayahan menjalankan tugas kehakiman ialah: “Seseorang yang dilantik menjadi hakim seolah-olah dia dibunuh tanpa pisau.”


Kedua-dua hadis ini menjadikan jawatan hakim dalam Islam bukan saja diselubungi peraturan ketat dalam proses mahkamah, tetapi juga etika tertentu dalam pergaulan. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ada banyak tulisan berkaitan ‘adab al-qadhi’ atau etika hakim dalam Islam.



Oleh itu, mahkamah adalah mekanisme terbaik untuk menentukan penerimaan atau penolakan sesuatu fakta sebagai keterangan dalam proses perbicaraan. Masyarakat keseluruhannya hendaklah menghormati dan mempercayai keputusan mahkamah.



Saya menyebut mengenai perkara ini kerana ada pihak yang ada kalanya mendahului mahkamah dalam penerimaan atau penolakan sesuatu fakta sebagai keterangan. Walaupun perkara berkaitan sudah lama berlaku di negara ini, kehangatan perkara ini semakin menjadi-jadi. Bahkan ada ceramah di masjid yang membuat andaian tertentu mengenai kedudukan undang-undang mengenai sesuatu isu.


Saya tidak bermaksud memperkecilkan mereka yang tidak terdidik dalam bidang berkaitan untuk memberikan pandangan. Mungkin mereka membaca dan membuat rujukan.


Namun, masalah yang mungkin wujud ialah mereka yang tidak berkepakaran mungkin memberikan gambaran sebahagian kecil saja, sedangkan prinsip lain yang lebih terperinci tidak dihuraikan. Kegagalan menghuraikan prinsip terperinci (terutama dalam kes kompleks) akan mendatangkan banyak salah faham di kalangan khalayak.
Secara kiasannya, bolehkah seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan berkaitan ubatan membuat preskripsi ubatan kepada pesakit yang mempunyai penyakit kompleks? Jawapannya sudah tentu tidak boleh.


Secara kiasan lagi, sekiranya pesakit hanya mengalami penyakit darah tinggi, ubatan yang perlu diberikan mungkin agak mudah berbanding ubatan yang perlu diberikan kepada pesakit yang mempunyai pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, buah pinggang dan sebagainya. Oleh itu, kita memerlukan doktor pakar untuk membuat preskripsi ubatan kepada pesakit yang mengalami penyakit yang kompleks.



Ada kalanya perkara asas diketahui oleh orang ramai, (seperti mengambil paracetamol untuk menghilangkan demam). Namun, apabila demam menjadi serius dan penyakit menjadi kompleks, ubatan asas mungkin perlu digantikan dengan ubatan lain yang ada kalanya di luar jangkauan mereka yang hanya berpendidikan asas. Pesakit memerlukan lebih daripada paracetamol dan mereka mestilah merujuk kepada doktor pakar. Begitu juga dalam bidang undang-undang.



Perlu saya sebut bahawa prinsip undang-undang seperti prinsip dalam bidang lain ada kalanya mempunyai perincian dan pengecualian tertentu. Adakalanya prinsip asas akan berubah mengikut keadaan kes. Seumpama pembuktian zina dalam hukum hudud Islam yang sedang hangat diperkatakan. Seperti diketahui khalayak, zina hendaklah dibuktikan dengan empat saksi atau pengakuan tertuduh. Sekiranya kesalahan zina tidak dapat dibuktikan dengan salah satu daripada dua cara ini, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan.


Namun, ini tidak bermakna tertuduh boleh bebas begitu saja kerana kegagalan orang yang menuduh membawa empat saksi atau tertuduh enggan membuat pengakuan bersalah.



Dalam keadaan ini, tertuduh masih boleh didapati bersalah bagi kesalahan takzir zina sekiranya ada bukti yang kukuh dan diterima oleh mahkamah dalam proses pembuktian atau perbicaraan. Oleh itu, tertuduh masih boleh dihukum dengan hukuman lebih rendah daripada hukuman hudud zina. Dalam kata lain, suatu kesalahan hudud (seumpama kesalahan zina) boleh dihukum dengan hukuman takzir kerana kekurangan bukti mengikut hukum syarak bagi mensabitkan kesalahan hudud.


Sementara itu, prinsip umum lain ialah sekiranya seseorang menuduh seorang lain melakukan zina dan gagal membawa empat orang saksi, maka dia boleh didapati bersalah kerana kesalahan hudud qazaf.


Namun, sekiranya orang yang menuduh itu membawa keterangan selain daripada empat orang saksi dan keterangan itu pula disahkan pakar dalam bidang berkaitan dan diterima mahkamah, maka dia mungkin boleh terlepas daripada hukuman hudud qazaf. Dengan wujudnya keterangan lain (selain daripada empat orang saksi), ini mendatangkan syubhah atau keraguan.


Syubhah menjadikan sesuatu kesalahan hudud tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud. Kesalahan qazaf juga adalah kesalahan hudud yang perlu dielakkan hukuman hudud sekiranya wujud syubhah. Tetapi ini tidak bermakna seseorang yang menuduh boleh dilepas dan dibebaskan begitu saja, dia mungkin boleh didapati bersalah oleh mahkamah. Namun dia tidak boleh dihukum dengan kesalahan hudud qazaf kerana timbulnya syubhah.



Prinsip ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jauhkanlah (daripada melaksanakan) hukuman hudud sekiranya ada syubhah.” Syubhah ini mungkin sedikit saja, tetapi hukum hudud masih perlu dielakkan. Semoga khalayak lebih berhati-hati dalam menilai dan menerima pandangan berkaitan undang-undang dan tidak hanya menerima sebarang pandangan sewenang-wenangnya.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sunday, January 09, 2011

7 kes buang bayi seminggu

7 kes buang bayi seminggu

Berita Harian 2011/01/09


Kempen kesedaran dipertingkat cegah gejala negatif menular



KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh seminggu memasuki tahun baru, sudah tujuh kes pembuangan bayi dicatatkan di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.



Katanya, kerajaan akan memperhebatkan kempen kesedaran dalam usaha menyekat gejala terbabit daripada berlarutan.
“Kerajaan komited membanteras perbuatan membuang bayi yang kini menuntut tindakan segera. Apabila kempen ini diperkenalkan, kita dapati jumlah kes berkurang dan tahun ini angkanya agak meningkat. Kita positif jumlahnya akan berkurangan apabila kesedaran bertambah.


“Justeru program pendidikan mengenai seks dan reproduktif perlu diterapkan kepada remaja pada peringkat sekolah rendah yang mengajar cara melindungi diri daripada menjadi mangsa,” katanya selepas melancarkan kempen Kami Prihatin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini semalam.



Dalam tempoh 2004 sehingga tahun lalu, sebanyak 571 kes pembuangan bayi dilaporkan, termasuk 99 kes sepanjang tahun lalu dengan Selangor mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 147 kes diikuti Johor dengan 113 kes.



Shahrizat berkata, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati kebanyakan remaja tidak memahami kesan serta risiko hubungan intim tanpa perkahwinan dan kementerian akan terus mendekati golongan itu menerusi kempen kesedaran.



Beliau berkata, kementeriannya akan menubuhkan jawatankuasa khas menyelaras dan melaksanakan Dasar Keluarga Negara (DKN) dan Pelan Tindakan Dasar Keluarga Negara (PTDKN) yang diluluskan kerajaan, Disember lalu bagi mengimbangi isu keluarga dalam pembangunan sosial, ekonomi dan perundangan di negara ini.
There was an error in this gadget