Sunday, February 26, 2012

Hak anak luar nikah kekal

ARKIB : 20/02/2012

Hak anak luar nikah kekal

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Tokoh agama tempatan berpendapat keputusan Mahkamah Perlembagaan Indonesia berhubung hak anak luar nikah, sama sekali tidak boleh diterima pakai di negara ini.

Mufti Negeri Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, keputusan itu sangat bercanggah dengan hukum syarak dan keputusan fatwa kebangsaan dan negeri-negeri.

"Ia perlu ditolak dan tidak boleh dipraktikkan di negara ini kerana ia jelas bercanggah dengan agama Islam dan apa yang dipraktikkan di negara kita selama ini.

"Meskipun anak luar nikah boleh membuktikan melalui profil asid deoksiribonukleik (DNA) sekalipun, hukum syarak sudah jelas menolak dan tidak mengiktiraf mereka dalam perihal menuntut sebarang hak kepada bapa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambahnya, walaupun secara biologikal anak luar nikah boleh membuktikan secara saintifik dan disahkan sendiri oleh bapanya, dalam agama hukumnya tetap jelas dan nyata.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita di Indonesia tentang Mahkamah Perlembagaannya bersetuju memberi anak luar nikah dan anak yang lahir di luar pernikahan rasmi mendapatkan hak hubungan darah dan hubungan sivil dengan bapa dan keluarga bapa.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, keputusan mahkamah Indonesia tersebut sama sekali tidak boleh diterima apalagi dipraktikkan di negara ini.

"Perihal hak anak luar nikah sudah jelas dinyatakan dalam hukum syariat, al-Quran, hadis, ijmak ulama, malah sudah digariskan dalam mahkamah syariah serta enakmen di setiap negeri.

"Saya berpendapat ia bercanggah dengan apa yang sudah jelas dinyatakan. Jadi ia tidak boleh diterima pakai di negara ini. Kita berpegang teguh kepada ajaran Islam dan sebarang perkara yang bercanggah sama sekali ditolak," jelasnya.

Dalam pada itu, pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, keputusan itu mustahil dilaksanakan di negara ini kerana setiap negeri di Malaysia terikat dengan peruntukan enakmen keluarga Islam kerajaan negeri masing-masing.

"Jika dibicarakan di Mahkamah Syariah atau mengikut hukum syarak sekalipun, nasab anak luar nikah adalah mengikut ibu bukannya sebelah bapa.

"Sehubungan itu, mereka tidak berhak membuat sebarang tuntutan meskipun berjaya membuktikan hubungan dengan bapa secara saintifik," katanya.

Tambah beliau, anak luar nikah boleh mendapatkan hak-hak tersebut termasuk mewarisi harta pusaka sekiranya nasab bapa sendiri membenarkan atau bersetuju untuk berbuat demikian.


No comments: