Wednesday, December 29, 2010

Kewajaran Peguam Syarie Dari Bukan Islam: Satu Pandangan

Ketika ini masyarakat masih lagi membahaskan tentang kewajaran keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang baru-baru ini telah mengeluarkan fatwa bahawa peguam bukan Islam diharamkan diterima sebagai peguam syarie di Malaysia.

Keputusan fatwa berkenaan bukanlah sesuatu yang baru dan ganjil, kerana sebelum ini,, sebahagian besar negeri-negeri telah mensyaratkan peguam syarie mestilah terdiri dari seorang yang beragama Islam. Negeri-negeri tersebut adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan dan yang terbaru adalah Selangor.

Sebelum berbuat demikian, Negeri Selangor pernah menerima 2 orang peguam syarie yang bukan beragama Islam untuk beramal di negeri ini. Manakala bagi negeri Kedah dan Johor, syarat yang lebih ketat dikenakan iaitu selain seorang Islam, peguam syarie juga mestilah berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jama’ah {kaedah 9(d) Kaedah-kaedah Peguam Syarie}.

Walaupun begitu, isu ini hanya menjadi hangat apabila seorang peguam bukan Islam telah mempertikaikan tindakan Wilayah Persekutuan yang menolak permohonannnya sebagai peguam syarie di Mahkamah syariah negeri tersebut atas alasan beliau bukan seorang Islam.

Agak memeranjatkan juga kerana perkara ini tidak pernah dipertikaikan dan dibawa ke mana-mana mahkamah sebelum ini sedangkan syarat Islam ini telah termaktub di dalam undang-undang sejak tahun 1982 lagi di Johor dan diikuti oleh negeri Terengganu 1987, Kelantan dan Kedah 1988 dan lain-lain negeri selepas itu. Malah di Wilayah Persekutuan sendiri syarat Islam ini diletakkan di dalam Kaedah 10 Kaedah-kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan sejak tahun 1993 lagi.

Persoalannya, mengapa hanya sekarang ia mula dipertikaikan iaitu setelah berpuluh tahun diamalkan. Apakah pihak bukan Islam sudah mulai terancam dengan pindaan Per. 121 (A) Perlembagaan Persekutuan(1988) yang menghalang Mahkamah Sivil dari mencampuri keputusan Mahkamah Syariah menurut bidangkuasa yang diberi oleh perlembagaan.

Antara hujah-hujah yang diutarakan oleh peguam bukan Islam tersebut adalah berkaitan dengan kelayakan akademiknya yang membolehkan beliau menjadi peguam syarie iaitu beliau mempunyai ijazah undang-undang (LLB) dan juga berkelulusan Diploma In Syariah Law and Practise (DSLP) dari UIA pada tahun 2004. Beliau berpendapat syarat Islam itu telah memprejudiskan beliau dan bersifat ultra vires kerana menafikan hak-hak beliau yang dijamin oleh perlembagaan di dalam artikel 8 dan 10.

Hakikatnya, dalam masa yang sama, Perlembagaan di dalam Jadual 9 senarai 2 hanya memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk membicarakan dan memutuskan kes-kes yang melibatkan orang-orang Islam sahaja. Justeru, jika mahkamah syariah menerima peguam bukan Islam sebagai peguam syarie bermakna mahkamah syariah juga boleh didakwa telah melakukan perkara yang bertentangan dengan perlembagaan jika menguatkuasakan sebarang peraturan atau perintah terhadap peguam berkenaan. Ini kerana segala hukuman dan arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah nanti tidak boleh melibatkan peguam berkenaan. Bagaimana mahkamah akan mengendalikan perbicaraan jika peguam yang mengendalikan kes boleh sewenang-wenangnya terlepas dari segala peraturan dan arahan mahkamah. Apakah Majlis Peguam atau Mahkamah Sivil juga bersedia menerima peguam-peguam jika mereka tidak tertakluk dengan bidangkuasa mahkamah di Malaysia dan terlepas dari segala peraturan? Sudah tentu tidak sama sekali.

Jika kita mengatakan kelulusan akademik peguam bukan Islam ini tidak memadai dan menuduh beliau sebagai jahil maka kita umpama meludah ke langit kerana kelulusan peguam ini tiada bezanya dengan ratusan malah mungkin ribuan lagi peguam-peguam syarie beragama Islam yang sedang beramal di mahkamah-mahkamah syariah sekarang. Malah ada peguam-peguam Islam yang mempunyai kelulusan lebih rendah dari beliau iaitu hanya berkelulusan LLB semata-mata tanpa DSLP juga diterima sebagai peguam syarie asalkan mereka lulus temuduga atau peperiksaan khas yang diadakan. Justeru, dari segi kelulusan akademik mungkin boleh dikatakan beliau sudah mempunyai kelayakan yang mencukupi menurut amalan sekarang.

Namun, kelulusan akademik semata-mata tidak cukup untuk memaksa mahkamah syariah menerima beliau sebagai peguam syarie kerana faktor akhlak serta amanah dalam menjalankan profesion mereka juga diambil kira dan sangat penting kerana peguam juga dianggap sebagai pembantu mahkamah yang turut bertanggungjawab menegakkan Hukum Allah. Faktor inilah juga yang menyebabkan Jawankuasa Fatwa Kebangsaan melarang orang-orang bukan Islam menjadi peguam syarie namun dipertikaikan oleh sesetengah pihak yang beragama Islam sendiri.

Menurut laporan Malaysiakini, di kalangan para mufti sendiri ada yang berbeza pendapat. Daripada hujah-hujah yang mereka utarakan, hakikatnya tiada perbezaan yang ketara. Perselisihan pendapat ini boleh diselesaikan hanya dengan sedikit muzakarah atau wacana-wacana yang bersifat akademik dan terbuka.

Apa yang menyebabkan pandangan-pandangan mereka berbeza adalah kerana mereka melihat konsep dan kedudukan “peguam syarie” dari sudut yang berlainan. Pandangan yang menentang atau tidak bersetuju dengan fatwa ini melihat peguam syarie dari sudut peranan seorang wakil yang mewakil anak guamnya. Ini kerana akad antara peguam dan anakguamnya adalah berasaskan prinsip “al-wakalah” atau “al-wakalah bil khusumah”.

Mereka mengemukakan nas-nas yang menunjukkan bahawa orang Islam dibenarkan melantik wakil hatta dari kalangan bukan Islam sekalipun untuk menguruskan keperluan mereka. Justeru, bagi mereka, keputusan fatwa ini boleh menghalang orang bukan Islam mendapat keadilan yang sewajarnya di mahkamah syariah kerana hak mereka untuk mempertahankan diri telah dinafikan. Mereka merujuk kepada amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sendiri yang sentiasa memberi keadilan kepada bukan Islam termasuklah kepada orang Yahudi yang terkenal kerana permusuhan berterusan mereka terhadap Islam.

Manakala bagi golongan yang bersetuju dengan fatwa ini pula, mereka mengemukakan hujah-hujah berdasarkan konsep peguam syarie dan peranannya yang lebih menyeluruh iaitu di samping menjadi wakil kepada anakguamnya, peguam juga berperanan sebagai pembantu kepada mahkamah. Ringkasnya, peguam tidak hanya bertanggungjawab terhadap anakguam mereka semata-mata tetapi juga bertanggungjawab dengan mahkamah dan keadilan yang ingin dicapai melalui perbicaraan. Konsep peguam syarie yang menekankan isu akhlak dan amanah inilah yang diterima dan ditekankan oleh pihak mahkamah sendiri dalam seminar-seminar serta konvensyen peguam syarie.

Banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis yang boleh dikaitkan dengan peranan peguam ini diutarakan antaranya ayat-ayat yang berkaitan tanggungjawab menegakkan keadilan dan mengelak dari bersubahat dengan golongan yang zalim iaitu Surah al-Nisa’: 58, al-Nisa’:35, al-Maidah: 8, Ali Imran: 57, 86, al-Maidah 29, 58, al-Baqarah: 270 dan al-Nisa’: 105.

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran tadi ternyata tugas peguam syarie sangat berat kerana mereka menjadi penghubung antara anakguam dengan mahkamah. Di samping membantu anakguam mereka juga perlu ingat dan sedar tentang amaran-amaran Allah agar tidak terjerumus dalam kezaliman dan kebatilan. Justeu, asasnya di sini adalah akidah seorang peguam mestilah betul dengan syariat Islam . Dalam satu artikel tulisan Allahyarham Prof Mahmood Saedon beliau mengingatkan para peguam seperti berikut:

“Peguam Syarie hendaklah mematuhi arahan Allah ini. Mereka wajib mengakkan keadilan walaupun ianya bertentangan dengan kepentingan diri mereka sendiri atau pelanggan mereka, tetapi berpegang kepada prinsip dan mempertahankan nilai yang murni, patuh kepada Allah dan menegakkan keadilan hendaklah diutamakan. Kepentingan peribadi, kemasyhuran dan ingin menang dalam suatu perbicaraan hendaklah diketepikan sebaliknya hendaklah menjadi saksi kerana Allah dan kemenangan yang sebenar ialah keredhaan Allah dan kemuncak kejayaan di dalam menjalankan tugas dan memainkan peranan sebagai peguam ialah Berjaya menegakkan keredhaan ilahi.”

Oleh itu, jika pihak yang tidak bersetuju dengan fatwa ini mengemukakan hujah atas konsep al-wakalah, maka golongan yang bersetuju pula mengemukakan hujah-hujah berdasarkan konsep peguam sebagai pembantu hakim seperti peranan penterjemah (al-murtajim) atau penulis di mahkamah. Ramai di kalangan fuqaha yang mensyaratkan penterjemah mahkamah mestilah terdiri dari orang Islam dan tidak boleh sama sekali dilantik dari kalangan bukan Islam.

Ringkasnya, isu ini boleh diselesaikan dengan mencari jalan penyelesaian sama ada konsep peguam syarie ini cukup sekadar sebagai wakil yang bertanggungjawab terhadap anakguam sahaja atau sebagai pegawai yang membantu mahkamah membuat keputusan dengan tepat dan adil..