Wednesday, February 11, 2009

Wanita dan Hak Wanita

Beberapa tahun yang lalu, saya pernah dijemput oleh NGO-NGO yang membela kaum wanita dan juga badan-badan kerajaan seperti Krisis Wanita, Yayasan Sultanah Bahiyah, Program Literasi Undang-Undang, sekolah-sekolah dll untuk menyampaikan ceramah berkenaan Hak-hak Wanita di Mahkamah Syariah. Bukanlah sebab saya ni pandai ceramah sangat tetapi di kalangan peguam syarie tak ramai yang sanggup buat kerja ni. Biasanya tajuk ceramah berkaitan Mahkamah Syariah ni, audiennya terdiri dari kalangan kaum Hawa...ya 99 % wanita. Kalau ada pun kaum Adam..hanyalah orang politik dan beberapa orang kuatnya yang datang merasmikan majlis ceramah tersebut.

Setelah sekian lama menyepi, tiba-tiba bulan lepas sekali lagi saya dijemput untuk memberi ceramah berkenaan Mahkamah Syariah dan kali ini jemputan itu datangnya daripada pelajar-pelajar KUIN, Mergong. Ceramah ini telah dihadiri oleh lebih kurang 100 orang pelajar KUIN yang semuanya anggota badan beruniform Pergerakan Puteri Islam. Dah tentulah semuanya wanita. Wanita lagi...saya merungut. Kenapa kalau ceramah berkenaan dengan Mahkamah Syariah hanya kaum wanita sahaja yang hadir. Kenapa mereka sangat berminat dengan apa yang berlaku di Mahkamah Syariah. Adakah kaum wanita di negara kita ini masih lagi ditindas dan didiskriminasi? Apa dah jadi dengan kaum bapa ni..?

Berbalik kepada ceramah di KUIN..seperti biasa saya dijemput memberi ceramah bertajuk Hak-hak Wanita di Mahkamah Syariah. Tajuk sebegini memang sangat sinonim dengan profesion saya dan diakui sangat berjaya menarik kaum wanita untuk hadir mendengarnya kerana mereka merasakan mereka perlu mengetahui hak mereka agar tidak diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kaum lelaki.

Tetapi izinkan saya untuk berbeza pandangan dengan mereka dalam hal ini. Bagi saya, sepatutnya kaum Hawa perlu lebih banyak mempelajari ilmu yang berkaitan hak-hak suami (lelaki) dari asyik menumpukan untuk berjuang menuntut Hak wanita sahaja. Saya bimbang jika kaum wanita hanya berminat mengetahui hak yang berkaitan wanita sahaja dan tidak mengendahkan hak-hak para suami ke atas mereka manakala kaum lelaki pula hanya mendalami hak-hak lelaki sahaja akan mewujudkan satu pasangan yang masing-masing tidak bertimbang rasa antara satu sama lain.

Alangkah baiknya jika kaum wanita mengadakan seminar atau ceramah khas yang berkaitan dengan hak-hak suami dalam rumahtangga dan apakah hak suami ke atas diri mereka. Manakala kaum lelaki pula perlu menganjurkan forum yang sama cuma isi kandungannya lebih menumpukan kepada hak-hak isteri dalam rumahtangga seperti hak mendapat nafkah, layanan dan pergaulan yang baik dari seorang suami, tempat tinggal yang sesuai dan lain-lain. Apabila masing-masing memahami hak pasangan masing-masing maka rumahtangga yang dibina akan bertambah bahagia kerana wujud suasana harmoni dan menghormati pasangan. Berbeza pula jika masing-masing hanya asyik menumpukan dan menuntut hak masing-masing yang akan mengakibatkan situasi tegang dan krisis dalam rumahtangga.

4 comments:

Anonymous said...

ya betol... sokong sangat. contohnya, suami kena memahami hak isteri yang memerlukan pembantu rumah untuk menguruskan, rumah, suami dan anak-anak. tambahan pula isteri zaman sekarang yang juga sama-sama keluar bekerja mencari nafkah untuk keluarga. dan isteri juga perlu memahami situasi suami iaitu dari segi kemampuannya menyediakan pembantu, keselesaan keluarga di rumah jika mempunyai pembantu di rumah, mengenai aurat dan tanggungjawab agama yang lain yang perlu sepasang suami isteri titik beratkan ke atas pembantu rumah mereka.

jika semua ini difahami oleh kedua pihak suami dan isteri, maka tak akan berlakulah ketegangan dalam rumahtangga. masing2 memahami dan akan saling bantu-membantu dlm urusan rumah tangga yang dikongsi bersama serta dalam tugas membesarkan dan mendidik anak-anak yang juga anak bersama.

peringatan untuk diri dan yang lain...

min

cahayaqalbi said...

ikutilah contoh rasulullah wahai suami-suami

hamdi ishak said...

Lihatlah dunia....tak habis-habis nak tuntut hak depa.

Cik Diana said...

maaf, bagi saya adalah sangat penting wanita mula berceramah. Saya telah jumpa beberapa wanita yang tidak tahu langsung tentang hak mereka sebagai seorang wanita. Kalau dah semua ustaz nak berceramah tentang lelaki sahaja dan tiada siapa yang mahu pertahankan hak wanita.. adakah adil begitu?? saya hidup di kalangan masyarakat wanita yang suaminya.. MasyaAllah.. kaki pukul, kaki minum, mengambil kesempatan terhadap kewangan isteri, curang.. salahkah seandainya wanita mula bersuara? salahkah wahai ustaz? Memang suami berhak semuanya ke atas isteri tetapi bukan semua perkara yang suami buat pada isteri boleh dihalalkan!

Share it