Wednesday, April 22, 2009

Penyelesaian Pertambahan Anak Luar Nikah

Di dalam Majalah al-Islam edisi Mei 2009 yang baru saya baca, terdapat satu ruangan E-mel yang memberi peluang kepada Dr Asri Zainul Abidin (Bekas Mufti Perlis) untuk menjawab pelbagai persoalan yang berkaitan dengan ummah. Menariknya pada ruangan kali ini, Dr Asri menjawab isu mengenai penyelesaian lambakan anak luar nikah. Ya memang berlambak-lambak bilangan anak luar nikah ini, kalau tidak percaya lihat sahaja statistik yang didedahkan oleh akhbar Kosmo (klik di sini) atau di sini dan sini.

Jika kita meneliti dari data yang diberikan sejak tahun 2000 sehingga Julai 2008 ini bermakna statistik ini melibatkan tempoh masa selama 103 bulan atau 3090 hari (103 X 30).

Justeru, secara purata terdapat 2,500 kes anak luar nikah setiap bulan yang didaftarkan (iaitu 257,411 ÷ 103) secara rasmi di Jabatan Pendaftaran Negara, dan 83 kes setiap hari. Ini juga bermakna dalam setiap 17 minit dan 17 saat JPN akan menerima satu pendaftaran kelahiran anak luar nikah.

STATISTIK PENDAFTARAN KELAHIRAN ANAK LUAR NIKAH (1999-2003)
*Sebanyak 30,978 dari 70,430 adalah anak orang Islam

Pecahan mengikut negeri

SELANGOR = 12,836 orang
PERAK = 9,788 orang
KUALA LUMPUR = 9,439 orang
JOHOR = 8,920 orang
SABAH = 8,435 orang
NEGERI SEMBILAN = 4,108 orang
PAHANG = 3,677 orang
KEDAH = 3,496 orang
PULAU PINANG = 3,412 orang
MELAKA = 2,707 orang
KELANTAN = 1,730 orang
PERLIS = 691 orang
SARAWAK = 617 orang
TERENGGANU = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang

Sumber: Kosmo


Justeru Dr Asri mencadangkan penyelesaiannya iaitu anak-anak luar nikah boleh dibinkan dengan bapanya (biological father) walaupun anak ini dilahirkan kurang daripada 6 bulan pernikahan ibubapanya. Menurut beliau lagi, perkara ini telah dilaksanakan di negeri Perlis kerana semasa beliau menjadi Mufti Perlis sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipimpin oleh beliau sendiri telah mengeluarkan fatwa yang membenarkan anak luar nikah dibin atau dibintikan dengan bapa biologinya.

Nampaknya penyelesaian yang dicadangkan ini sangat mudah. Ya lah apabila semua anak walaupun yang diperolehi luar nikah atau melalui penzinaan boleh dibinkan dan dinasabkan kepada bapanya yang penzina maka dengan sendirinya statistik kelahiran anak luar nikah akan menurun malah mungkin menjadi sifar. Berkemungkinan besar suatu hari nanti istilah anak luar nikah atau anak zina ini pun sudah tidak wujud lagi.

Begitu juga apabila semua negeri-negeri lain di Malaysia memperketatkan peraturan poligami hingga menyebabkan banyak pasangan yang pergi bernikah di Thailand. Maka negeri Perlis melonggarkan syarat poligami dengan tujuan mengelak pernikahan di Thailand. Statistik pernikahan poligami di Thailand memang akan menurun tapi masalah ketidakadilan dan ketidakmampuan dalam berpoligami terus meluas. Sama juga dalam kes khalwat, oleh kerana begitu banyak kes khalwat di Malaysia maka mantan Mufti ini mencadangkan kepada pihak Penguatkuasa Agama agar berhenti dari menyerbu bilik-bilik hotel kerana Islam melarang tajassus. Maka akan berkuranganlah umat Islam yang ditangkap khalwat walaupun mereka sebenarnya memang sedang melakukan maksiat di dalam bilik hotel tersebut.

Penyelesaian hanya bersikap kosmetik seperti ini tidak akan membantu menyelesaikan masalah sebenar. Persoalan begitu ramai anak zina menunjukkan bahawa masyarakat kita sudah semakin nipis keimanannnya dan mungkin akan timbul masyarakat yang kucar-kacir kerana tidak tahu keturunan sebenar. Sepatutnya penyelesaian yang dicadangkan adalah bagaimana kita hendak memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya anak-anak muda agar tidak terjebak ke dalam maksiat dan pergaulan bebas sehingga melahirkan zuriat yang tiada bapa. Mereka perlu diberitahu bahawa anak itu tidak bersalah sebaliknya ibubapa yang bertanggungjawab. Ringkasnya, penyelesaian yang dicadangkan oleh negeri Perlis ini tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar tetapi hanya menyelesaikan masalah statistik sahaja.

Apa yang lebih mendukacitakan juga adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Negeri Perlis itu juga sebenarnya boleh dipertikaikan kerana tidak diambil dari nas dan sandaran yang kukuh. Fatwa tersebut seolah-olah mengiyakan dan membenarkan stigma masyarakat sebelum ini bahawa anak luar nikah ini kotor dan jijik serta tidak boleh mendapat tempat dalam masyarakat. Perkara ini Insya Allah akan diulas dalam posting yang akan datang.

6 comments:

Anonymous said...

Asalamualaikum!

Harap saudar dapat jelaskan melalui dalil Al Quran dan sunnah yg menyatakan fatwa perlis tu tidak diambil dari nas dan sandaran yang kukuh.

Tokngah

hamdi Ishak said...

Terima kasih...harap saudara ikuti posting saya yang akan datang

Min said...

memang kosmetik, memang, memang...

al Baidhowi said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Non said...

Salam.

Saya lebih suka jika diamalkan cara memberi kritikan membina. Maksud saya seandainya kita tidak bersetuju atau tidak sependapat dengan apa yang dicadangkan oleh Dr. Asri, adalah perlu untuk kita mencadangkan alternatif yang lebih baik dari cadangan beliau. Jika tidak ada pihak yang berani mengemukakan cadangan alternatif ini secara tidak langsung cadangan beliau akan dilihat seolah-olah satu-satunya cara penyelesaian yang ada.

Saya yakin cara ini akan membawa kita kepada cara penyelesaian yang terbaik untuk sesuatu permasalahan.

hamdi Ishak said...

Saudara Non..
Saya tidak perlu mencadangkan cadangan lain kerana penyelesaiannya telah pun ada sejak sekian lama. Semua negeri telah memperuntukan undang-undang berkaitan poligami dan anak tak sahtaraf ini, dan undang-undang itu sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa. Bagi sesetengah orang, mungkin undang-undang ini menyusahkan tetapi hakikatnya undang-undang itulah yang terbaik kerana mengambil kira segala aspek dan bukan hanya untuk memudahkan sebelah pihak sahaja.

Poligami misalnya, adalah sesuatu yang baik dan bukan untuk nafsu semata-mata. Akan tetapi jika pihak lelaki dibenarkan berpoligami secara rahsia dengan tidak diketahui oleh isteri yang sedia ada seperti di Perlis, maka sudah pasti akan mendatangkan masalah dalam rumahtangga apabila rahsia tersebut bocor kelak. Natijahnya, agama Islam pula akan dituduh sebagai agama yang zalim dan menghina golongan wanita kerana poligami telah menyebabkan keruntuhan dalam rumahtangga. Di mana keindahan poligami menurut ajaran Islam? Kaedah yang digunapakai dalam Islam adalah sesuatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.