Friday, November 14, 2014

Selaraskan status anak tak sah taraf. sinarharian.com.my

Selaraskan status anak tak sah taraf

AYER KEROH - Pusat Perkhidmatan BN Negeri Melaka (Pembela BN) mencadangkan supaya undang-undang syariah mengenai status anak tidak sah taraf di setiap negeri diseragamkan agar tidak berlaku kekeliruan di kalangan umat Islam terutama yang berdepan masalah sedemikian.

Pengarahnya, Amir Hamzah Aziz berkata definisi anak tidak sah taraf mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan adalah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

Menurutnya, ketika ini, Majlis Fatwa Perlis menetapkan anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin boleh dibinkan kepada suaminya, kecuali jika dinafikan si suami.

“Sedangkan mengikut majlis fatwa kebangsaan, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh memusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali," katanya ekoran Pembela BN Melaka menerima banyak kes seumpama itu di negeri ini.

Beliau berkata, perkara ini perlu diberikan pemahaman sejelasnya kepada rakyat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Sekiranya boleh digunakan pakai seperti Perlis justeru masing masing akan lari ke Perlis untuk mendaftar dan Majlis Fatwa Peringkat Kebangsaan perlu menyelaraskan supaya setiap negeri mempunyai perundangan berkaitan yang sama.

“Penyelarasan ini memudahkan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) supaya sekiranya fatwa berkenaan boleh digunakan pakai, pihak berkenaan boleh mendaftarkan anak berstatus sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Mufti Melaka, Dr Mohd Muhadis Yasin turut menjelaskan negeri ini masih menggunakan pakai fatwa diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh), ia tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

“Anak itu juga tidak boleh pusaka memusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali,” katanya.

No comments: