Monday, January 04, 2010

Isu Kalimah Allah: Menangani Perbezaan Pendapat


Isu pengunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam nampaknya terus menjadi 'panas' dan sehingga kini ia masih lagi menjadi topik perbualan utama di mana-mana sahaja termasuk di laman maya atau di kedai-kedai kopi. Meneliti sepintas lalu pandangan-pandangan yang diberikan, ada yang melihat seolah-olah umat Islam sendiri masih lagi berbelah bahagi bagaimana pendirian yang perlu diambil dalam menangani isu ini. Malah perbezaan pendapat ini sudah mula menimbulkan bibit-bibit perpecahan, apabila pihak-pihak yang mempunyai pandangan berbeza mula cabar-mencabar dan saling memprovokasi. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam keadaan yang genting ini sepatutnya semua umat Islam bersatu dan mula memikirkan pelan tindakan yang sesuai dan berkesan agar situasi ini tidak terlalu memberi kesan yang buruk kepada kita.

Daripada pandangan-pandangan yang diberikan, secara ringkasnya terdapat sekurang-kurangnya 3 pandangan yang dilihat mendominasi perbahasan isu ini iaitu:

  1. Pendapat yang mentakan bahawa kerajaan perlu menggunakan undang-undang yang sesuai untuk menangani situasi ini termasuk melalui arahan KDN atau melalui perintah mahkamah semata-mata.
  2. Pendapat yang melihat isu ini dari sudut positif di mana isu ini memberi kelebihan kepada umat Islam untuk menyampaikan dakwah kepada penganut kristian dengan lebih berkesan.
  3. Pendapat yang menyeru umat Islam agar memngukuhkan dan memantapkan akidah masing-masing agar dakwah agama lain dapat ditangkis. Bagi mereka isu ini mengambarkan bagaimana keadaan umat Islam yang lemah dari segi pemahaman akidah sehingga boleh terpedaya dengan dakyah agama lain.

Daripada semua pandangan yang diberikan jelas masing-masing mahu mempertahankan kesucian kalimah Allah dan mahu memartabatkan agama Islam di negara ini namun mereka cuma berbeza pandangan tentang bagaimana pendekatan terbaik yang sewajarnya diambil. Perbezaan pendekatan ini hanyalah perbezaan kecil sahaja dan tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan sesama sendiri kerana yang penting matlamat mereka masih lagi sama.

Perpecahan

Namun begitu, apa yang dikesalkan adalah situasi sekarang menyaksikan ketiga-tiga golongan ini seperti menyalahkan satu sama lain. Masing-masing mahu menjadi jaguh. Ada satu pihak yang mahukan kerajaan dan undang-undang sahaja yang bertindak dan mereka tidak perlu melakukan apa-apa selain daripada mendesak melalui saluran media, provokasi dan demonstrasi. Mereka langsung tidak berminat untuk menyediakan pelan bagi memantapkan akidah orang Islam dan bagaimana menambah ilmu pengetahuan untuk berhujah dengan golongan kristian. Malah ramai dari kalangan mereka ini tidak berbuat apa-apa apabila melihat ramai umat Islam mulai meminggirkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Begitu juga dengan golongan ke dua dan ke tiga apabila mereka juga hanya berminat mempromosikan pendekatan mereka sahaja tanpa melihat sebarang kebaikan pendekatan yang dicadangkan oleh golongan yang memperjuangkan hak umat Islam dari sudut undang-undang.

Memang diakui bahawa pendekatan melalui perundangan sangat penting kerana ia sebagai satu jaminan dan benteng yang akan mempertahankan kedudukan Islam dan kepentingan umat Islam secara umum di negara ini. Namun kita juga harus mengakui bahawa pendekatan melalui akidah juga penting kerana ia menjadi benteng kepada setiap individu dalam menghadapi dakyah kristian.

Begitu juga dengan pendekatan melalui usaha dakwah, kerana isu ini akan membuka peluang kepada para pendakwah untuk mendekati penganut Kristian dan berdepan dengan mereka secara terbuka. Namun, sesuatu yang harus difikirkan juga adalah sebelum berhasrat untuk berdakwah atau berdebat, kita juga perlu pastikan yang akidah umat Islam sendiri berada dalam keadaan yang mantap agar tidak mudah diperdayakan oleh pihak lain.

Bersatu

Hakikatnya, semua umat Islam perlu bersatu dalam isu ini kerana semua pandangan dan pendekatan yang diberikan saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dalam memperjuangkan agama ini, kita perlu merebut segala peluang yang ada dan jangan sesekali memberi musuh kita laluan yang mudah sebagaimana yang telah berlaku di negara-negara umat Islam yang lain.Semua pihak perlu bersatu dan berkerjasama menentang musuh kita yang sebenar kerana yang penting bukan keegoan kita tetapi agama Allah yang dipertahankan. Bersatu Teguh Bercerai Roboh....

No comments: