Monday, November 16, 2009

'Jihad Cinta'


'Strategi jihad cinta tak wujud'

Polis India nafi Muslim guna taktik perkahwinan untuk tarik gadis Hindu

KAHERAH: Polis India menafikan tuduhan penduduk Hindu bahawa masyarakat Muslim di negara itu menggunakan percintaan sebagai cara berjihad menarik mereka memeluk agama baru.
“Banyak pertubuhan Muslim menafikan sekeras-kerasnya wujud jihad cinta,” kata polis dalam satu laporan, kelmarin. “Mereka kata jika seorang wanita Hindu dewasa memutuskan untuk mengahwini lelaki Muslim, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menyekatnya. Itu bukan perkara baru dalam isu perkahwinan berlainan agama,” kata laporan itu lagi.

Perkara itu berbangkit selepas seorang lelaki Hindu menuduh belia Muslim memaksa anak perempuannya memeluk Islam sebagai syarat untuk berkahwin.
Isu itu mendapat liputan meluas di negara majoriti penduduk Hindu itu dengan media tempatan menggelarnya ‘jihad cinta.’

Bagaimanapun, wanita terbabit, Siljaraj menafikan laporan dia dipaksa suaminya memeluk Islam. “Jihad cinta tidak wujud. Saya mengahwininya dengan sukarela,” kata Siljaraj kepada wartawan di luar mahkamah tinggi Karnataka.

Kes itu menyebabkan masyarakat Muslim India menuduh media dan pihak berkuasa sengaja memperbesar-besarkan perkara tidak benar mengenai Islam. T Arifali, pemimpin Jamat e-Islami di Kerala, mendesak media tidak menyebarkan maklumat salah mengenai penduduk Muslim India. Katanya, jihad bermaksud berjuang melawan ‘maksiat’ dan tidak ada kena mengena dengan cinta. “Kini ada cubaan untuk menghina perkataan jihad itu sendiri dengan menyamakannya dengan cinta sedangkan Islam tidak menggalakkannya. Itulah tujuan cubaan yang disengajakan ini,” katanya. Jihad adalah antara konsep dalam Islam yang sering disalah tafsirkan oleh kalangan bukan Islam, lapor Islam Online. – Agensi


dari Berita Harian: Ahad, 15-11-2009.

No comments: