Tuesday, March 31, 2009

Malaysia Bila Lagi....

Denda berseluar londeh di Amerika

FESYEN berseluar londeh sehingga menampakkan seluar dalam atau boxer mungkin tidak lagi boleh digayakan di Tennessee, Amerika Syarikat setelah satu rang undang-undang yang mengharamkan pemakaian seluar jenis itu telah diluluskan oleh jawatankuasa kecil perundangan negeri itu.

Malah, sesiapa yang didapati melanggar `Undang-undang Seluar Londeh' itu akan dikenakan denda sehingga AS$1,000 (RM3.500) dan wang tersebut akan disalurkan untuk membeli bekalan peralatan sekolah termasuk buku dan peralatan sukan.

Ekoran itu, seorang wakil Demokrat dari Memphis, Karen Camper menuduh rakan-rakan sekerjanya termasuk Joe Town yang juga wakil Demokrat Memphis, cuba menggubal undang-undang fesyen yang disifatkan akan menyebabkan remaja lebih cepat mencipta kesalahan kecil dalam sejarah hidup mereka.

“Soalan saya apakah sebenarnya hala tuju dan harapan terhadap pengubalan undang-undang ini?” tanya Camper kepada rakan-rakan Demokratnya termasuk Town.

“Ini tidak ada kena mengena dengan fesyen, sebaliknya ia berkaitan kesopanan dan kebersihan,'' tegas Town.

Undang-undang yang telah diluluskan oleh jawatankuasa kecil itu, kini telah dibawa ke Jawatankuasa Badan Kehakiman.- Agensi

Friday, March 06, 2009

Mahkamah Syariah Menyusahkan Wanita??

Petikan tulisan Dr Asri Zainal Abidin beberapa minggu lepas yang dipetik dari Mstar Online:

"Kita hendaklah jelas bahawa yang patut dikritik bukan hukam-hakam Islam, tetapi kerenah pengurusan atau birokrasi mereka yang diamanahkan menguruskan urusan orang Islam, terutama mahkamah yang dinamakan syariah yang menyusahkan wanita, menangguhkan kes-kes talak bertahun lamanya, yang sempit dalam pemikiran hukum, menyusahkan urusan perkahwinan yang halal dan lain-lain kerenah sehingga yang halal begitu sukar dicapai dibandingkan yang haram.

Salah urus perkara-perkara ini yang menzalimi hak umat Islam yang berkaitan urusan rumahtangga; lelaki dan wanita.

Sehingga Islam menjadi kabur dan wanita menjadi prejudis dengan hukum-hakam syarak. Betapa ramai kaum wanita yang menghantar email dan surat kepada saya menceritakan kekecewaan mereka terhadap pengurusan yang bernama syariah. Mereka sebahagiannya termasuklah yang baru menganut Islam.

Pun begitu, kita lihat di Malaysia, ada jawatan-jawatan baru yang kurang perlu diwujudkan demi memberi tempat kepada ‘orang agama’ yang pencen. Sesiapa yang memerhati, akan dapat melihatnya. Ini berlaku, termasuk di badan-badan keagamaan yang penting termasuk kehakiman."

Ini pula petikan tulisan beliau yang disiarkan sekitar tahun 2006 atau 2007 yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia:

Kes-kes isu talak yang tertangguh perbicaraannya sampai bertahun-tahun masih berterusan kita dengar sehingga hari ini. Walau apa pun alasan yang cuba diberikan oleh Mahkamah Syariah, ia pada hakikatnya tidak lebih dari kezaliman terhadap wanita. Sama ada disebabkan kongkongan kesempitan pemikiran hukum atau pengurusan yang kurang kualiti atau tenaga yang dibekalkan tidak mencukupi. Sehingga kadangkala susah benar nampaknya untuk dipisahkan isteri daripada suaminya sekalipun ternyata kemudaratan telah berlaku. Padahal pada zaman Nabi isteri Thabit bin Qais datang menemui Nabi lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka Rasulullah pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia (Riwayat al-Bukhari).


Adalah sangat tidak patut apabila seorang yang diberi peluang untuk menulis di dalam dada akhbar terus menghentam dan melempar pelbagai tuduhan negatif terhadap institusi Mahkamah Syariah tetapi dalam masa yang sama gagal sama sekali dibuktikan dengan data dan fakta. Sepatutnya sebelum mahu menuduh Mahkamah Syariah sebagai zalim dan sempit pemikiran beliau perlu menliti angka-angka yang diberi oleh pihak berkuasa seperti yang dilaporkan oleh pihak yang berautoriti dan bukan hanya sekadar melayan email-email peribadi yang dihantar kepadanya.


Mengikut statistik di atas, setiap tahun tidak kurang dari 10,000 pasangan suami isteri Islam yang bercerai. Pada setiap sejam terdapat 2 pasangan Islam yang bercerai. Pada tahun 2004 sahaja seramai 16,509 pasangan Islam yang bercerai dan angka tersebut menurun sedikit pada tahun 2005 apabila hanya 13465 pasangan Islam yang didaftarkan bercerai.

Namun data yang terbaru diperolehi lebih mengejutkan, apabila Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim telah menyatakan ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 2 Mac 2009 yang lalu (Rujuk Laporan di bawah: Utusan Malaysia 3 Mac 2009) menunjukkan peningkatan yang ketara apabila sebanyak 75,299 kes perceraian telah direkodkan di seluruh negara pada tahun 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak sebelumnya. Daripada jumlah itu Johor mencatat jumlah tertinggi iaitu 2023 kes dan Perlis mencatat angka terendah iaitu 24 kes sahaja.

Kes cerai kini mencecah 75,299

KUALA LUMPUR 2 Mac – Sebanyak 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.

Jumlah kes perceraian itu didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes pada tahun lepas, Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 2,023 kes manakala catatan terendah ialah di Perlis iaitu 24 kes.

Menurut Mashitah, antara punca perceraian ialah tiada persefahaman dalam menguruskan rumah tangga, suami atau isteri terbabit dengan hubungan orang ketiga dan poligami.

‘‘Selain itu, wujudnya campur tangan keluarga secara berlebihan dan tekanan bebanan kerja sehingga masa untuk bersama keluarga diabaikan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd. Jidin Shafee (BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mashitah berkata, jumlah kes perceraian di negeri lain pada 2008 ialah Kedah sebanyak 1,561 kes, Kelantan (1,386), Selangor (1,138), Perak (1,081), Terengganu (881), Melaka (675), Sarawak (571), Pahang (524), Wilayah Persekutuan (380), Sabah (346) dan Negeri Sembilan (78).

Katanya, bagi menangani masalah membabitkan perceraian, kerajaan menubuhkan sulh di setiap mahkamah Syariah bagi menyelesaikan isu di peringkat awal sebaik saja difailkan di mahkamah.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Jidin sama ada hanya mahkamah dibenarkan membuat keputusan mengenai perceraian, Mashitah berkata, ia wajib dilakukan di mahkamah untuk mengelak berlakunya penganiayaan kepada mana-mana pihak.

‘‘Lafaz perceraian wajib difailkan di dalam mahkamah untuk mengelakkan berlakunya penganiayaan pada mana-mana pihak dan membolehkan sulh memanggil kedua-dua pihak bagi menjalani kaunseling untuk mengelakkan perceraian,” katanya.



Ramai yang merungut dengan perangkaan yang terbaru ini kerana bagi mereka ini menunjukkan betapa institusi kekeluargaan Islam sedang mengalami zaman kejatuhan dan keruntuhan. Namun bagi penulis artikel di atas, angka 75,000 perceraian tersebut mungkin masih belum memadai dan tidak dapat memuaskan hatinya, justeru beliau dengan mudahnya terus melemparkan tuduhan-tuduhan terhadap Mahkamah Syariah yang didakwanya sering melewat-lewatkan kes-kes perceraian pasangan Islam.